Thursday, June 24, 2021

Bela kegiatan X bermoral pusat bandar, lorong Wong Ah Jang. Al-hamdulillah

 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman meninjau tempat berwuduk di Surau Al Hidayah untuk komuniti lorong Wong Ah Jang. - Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat

MUIP bela nasib komuniti lorong Wong Ah Jang

KUANTAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) kini dalam fasa pertama program pembangunan insan komuniti lorong Wong Ah Jang, di sini.

Lokasi di tengah pusat bandar ini terkenal dengan pelbagai kegiatan tidak bermoral.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman, berkata pelbagai aktiviti keagamaan sedang dan akan diadakan dalam usaha memberi kesedaran kepada komuniti berkenaan untuk tidak terus bergelumang dengan kegiatan terlarang.

Menurutnya, fasa pertama dilakukan dengan menyediakan surau al Hidayah yang boleh memuatkan 20 hingga 30 jemaah dalam satu masa, selain menyediakan seorang guru agama untuk mengajar al-Quran.

Katanya, peruntukan sebanyak RM20,000 disediakan untuk membina tandas dan tempat berwuduk, selain bayaran sewa surau yang terletak di bangunan kedai itu selama setahun sebanyak RM13,800 turut disediakan.

"Untuk keselesaan jemaah menunaikan solat, mengikuti kuliah agama dan belajar membaca al-Quran di surau Al Hidayah, beberapa unit pendingin hawa berharga RM20,000 turut diberikan.

"Matlamat utama MUIP menjayakan program pembangunan insan komuniti lorong Wong Ah Jang ialah untuk memberi sinar baharu kepada golongan berkenaan yang sebelum ini terbabit dengan kegiatan tidak bermoral selain penagihan dadah dan pelayan pusat hiburan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau pembinaan tandas dan tempat berwuduk di surau Al Hidayah lorong Wong Ah Jang, di sini semalam.

Dr Asmadi berkata, untuk menarik minat komuniti lorong Wong Ah Jang menyertai kelas al-Quran, MUIP akan menyediakan elaun kehadiran buat ketua isi rumah selain berpeluang menerima elaun bulanan kepada yang layak.

Katanya, bagi golongan kanak-kanak kemudahan pendidikan serta asrama disediakan bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam bidang akademik.

"Bagi ketua keluarga yang ingin membina kehidupan baharu seterusnya terbabit dalam bidang perniagaan, bantuan modal akan disediakan mengikut jenis perniagaan yang ingin diceburi.

"Matlamat utama MUIP ialah untuk memastikan komuniti lorong Wong Ah Jang membina kehidupan baharu yang lebih bermakna," katanya.


No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails