Tuesday, June 22, 2021

Jodoh tak lekat, silap siapa?

 

Soalan:

Assalamualaikum. Ustaz, saya ada satu soalan. Saya sudah mencapai umur 33 tahun dan masih belum berjumpa jodoh. Kemudian, saya diberitahu bahawa antara sebab jodoh saya lewat ialah kerana saya seorang wanita yang agak pandai berdikari dan tidak bersifat ‘bodoh-bodoh’. Tapi, bukankah jodoh ini soal takdir? Mohon pencerahan daripada pihak ustaz.

Jawapan ringkas: 

Matlamat hidup kita di dunia adalah untuk mengejar reda Allah. Perkahwinan bukanlah penanda aras kualiti hidup seseorang di sisi Allah. Namun, perkahwinan boleh menjadi wasilah menggapai reda. Hakikatnya, tiada sedikit pun ancaman atau kekurangan buat kedua-dua pihak lelaki mahupun perempuan apabila golongan perempuan menjadi semakin terpelajar atau terkedepan kerana sifat قَوَّامَة qawwamah (kepimpinan) seorang lelaki tetap mendahului wanita dalam perkahwinan. 

Jodoh adalah urusan takdir yang telah ditentukan oleh Allah SWT. Ia tidak berkait dengan perwatakan seseorang individu. Namun, seorang hamba perlu berusaha dan berikhtiar serta tidak lekang untuk terus berdoa agar dikurniakan jodoh yang baik. Dalam usaha ini juga, tidak menjadi satu kesalahan bagi seorang wanita untuk memulakan langkah dengan cara yang terhormat seperti yang dibuktikan oleh Saidatina Khadijah R.Anha ketika beliau meminang Baginda SAW.

Huraian jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat. Terlebih dahulu, penting untuk kita tahu bahawa perkahwinan bukanlah penanda aras kualiti hidup seseorang di sisi Allah. 

Ia juga bukan tujuan akhir hidup seorang wanita mahupun lelaki. Namun, perkahwinan boleh menjadi wasilah menggapai reda Allah.

Benarkah wanita memiliki kerjaya stabil menyebabkan jodoh menjadi lambat?

Isu ini berkait rapat dengan sifat قَوَّامَة   qawwamah  (kepimpinan) bagi seorang lelaki dan suami. Firman Allah SWT:

ٱلرِّجَالُ قَوَّٰمُونَ عَلَى ٱلنِّسَآءِ بِمَا فَضَّلَ ٱللَّهُ بَعۡضَهُمۡ عَلَىٰ بَعۡضٖ وَبِمَآ أَنفَقُواْ مِنۡ أَمۡوَٰلِهِمۡۚ

Maksudnya: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.” (Surah al-Nisa’: 34)

Menurut Imam al-Qurtubi (5/169) di dalam tafsirnya, perkataan qawwam (قَوَّامٌ) bermaksud mengetuai sesuatu dan memiliki kuasa penentu dalam suatu keputusan serta bertanggungjawab menjaganya dengan penuh kesungguhan. Maka, seorang lelaki atau suami memiliki sifat qawwam dalam suatu rumahtangga kerana nafkah yang telah dibelanjakan buat isterinya. [1]

Ayat ini juga menunjukkan keharmonian hubungan antara suami dan isteri dapat dikekalkan melalui pelaksanaan tanggungjawab oleh suami selaku ketua keluarga dan ketaatan daripada pihak isteri. Apabila hubungan ini dijaga sebaiknya, suatu rumahtangga akan menjadi harmoni. Ini lah yang ditekankan dalam Islam.

Namun, tiada sebarang halangan bagi wanita atau isteri untuk bekerja, mengejar cita-cita dan memiliki karier apabila dia mematuhi segala garis panduan yang ditetapkan oleh syarak. Malah, gaji dan perolehan harta itu adalah milik isteri secara mutlak. Jika dia dengan ihsan berkongsi lebihan hartanya bersama suami, pastinya Allah akan menguatkan lagi kasih sayang antara mereka. Perbincangan lanjut boleh dirujuk di artikel kami bertajuk: IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-304: HUKUM WANITA BERKERJAYA.

Kita dapat lihat di sini bahawa tiada sedikit pun ancaman atau kekurangan kepada kedua-dua pihak lelaki mahupun perempuan apabila golongan wanita menjadi semakin terpelajar atau terkedepan kerana sifat qawwam seorang lelaki tetap mendahului wanita dalam perkahwinan.

Rasulullah SAW juga menegur isteri yang tidak berterima kasih kepada suami melalui sabdanya:

لَا يَنْظُرُ اللَّهُ إِلَى امْرَأَةٍ لَا تَشْكُرُ لِزَوْجِهَا وَهِيَ لَا تَسْتَغْنِي عَنْهُ

Maksudnya: “Allah SWT tidak memandang kepada seorang wanita yang enggan berterima kasih kepada suaminya sedangkan dia memerlukan suaminya”. (Riwayat al-Nasa’ie (9086) dan al-Baihaqi (7/294)

Jodoh itu takdir atau pilihan?

Jodoh merupakan perkara yang telah ditentukan oleh Allah SWT. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas’ud:

إِنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمعُ خَلْقُهُ فِي بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا ثُمَّ يَكُونُ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ ثُمَّ يَكُونُ مُضْغَةً مِثْلَ ذَلِكَ ثُمَّ يَبْعَثُ اللهُ مَلَكًا فَيُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ كَلِمَاتٍ، وَيُقَالُ لَهُ: اكْتُبْ عَمَلَهُ وَرِزْقَهُ وَأَجَلَهُ وَشَقِيٌّ أَوْ سَعِيدٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap dari kalian akan dihimpunkan kejadiannya di dalam perut ibunya selama 40 hari kemudian menjadi segumpal darah dalam tempoh yang sama. Kemudian menjadi segumpal daging dalam tempoh yang sama. Kemudian Allah mengutuskan malaikat dan diperintahkan (malaikat tersebut) dengan empat kalimat. Dikatakan kepada malaikat: tuliskan amalannya, rezekinya, ajalnya, adakah dia bahagia atau derita…” (Riwayat al-Bukhari 3208)

Walau bagaimanapun, kita dituntut untuk tetap berusaha dan berdoa dalam pencarian jodoh. Setiap individu mempunyai hak untuk memilih pasangan hidup dalam membina rumahtangga. Nabi SAW meraikan fitrah manusia yang memiliki kecenderungan untuk memilih menerusi sabdanya:

تُنْكَحُ الْمَرْأَةُ لِأَرْبَعٍ لِمَالِهَا وَلِحَسَبِهَا وَجَمَالِهَا وَلِدِينِهَا فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّينِ تَرِبَتْ يَدَاكَ

Maksudnya: “Wanita dinikahi kerana empat perkara; kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka peganglah dengan yang mempunyai agama. Engkau akan bahagia.” (Riwayat al-Bukhari (5090) & Muslim (3708)

Jodoh merupakan rencana Allah SWT sebagai sebaik-baik perancang. Allah SWT menetapkan waktu yang tepat bersesuaian dengan individu. Tiada yang namanya cepat atau lambat. Dalam usaha ini, tidak menjadi satu kesalahan bagi seorang wanita memulakan langkah dengan cara yang terhormat seperti yang dibuktikan oleh Saidatina Khadijah R.Anha ketika beliau meminang Baginda SAW. Sabdanya:

إنِّي قدْ رُزِقْتُ حُبَّها

Maksudnya: “Sesungguhnya aku telah direzekikan dengan cinta Khadijah.” (Riwayat Muslim 2435)

Informasi tambahan, rujuk pautan artikel berikut:

Sekufu dalam perkahwinan (https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3201-al-kafi-1153-maksud-sekufu-dalam-perkahwinan)

Benarkah bernikah boleh mendatangkan kekayaan (https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2258-al-kafi-696-bernikah-boleh-mendatangkan-kekayaan)

Penutup

Kesimpulannya, jodoh adalah urusan takdir yang telah ditentukan oleh Allah SWT. Ia tidak berkait dengan perwatakan seseorang individu. Namun, seorang hamba perlu berusaha dan berikhtiar serta tidak lekang untuk terus berdoa agar dikurniakan jodoh yang baik. Buat individu yang masih dalam usaha mencari pasangan hidup, teruskanlah berusaha serta amalkanlah doa-doa berikut:

قَالَ رَبِّ هَبْ لِي مِن لَّدُنكَ ذُرِّيَّةً طَيِّبَةً ۖ إِنَّكَ سَمِيعُ الدُّعَاءِ ‎‏

Maksudnya: “Katanya, ‘Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisi-Mu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan’”. (Surah Ali Imran: 38)

رَبِّ لَا تَذَرْنِي فَرْدًا وَأَنتَ خَيْرُ الْوَارِثِينَ ‏

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan daku seorang diri (dengan tidak meninggalkan zuriat); dan Engkaulah jua sebaik-baik yang mewarisi”. (Surah al-Anbiya’: 89)

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.” (Surah al-Furqan: 74)

Wallahu a’lam.

[1] Syamsuddin al-Qurtubi, al-Jami’ li Ahkam al-Quran (Tafsir al-Qurtubi) pentahkik: Ahmad al-Bardouni dan Ibrahim Atfisy, cetakan kedua, (1964M), Kaherah: Dar al-Kutub al-Misriyyah. – HARAKAHDAILY 19/6/2021

Tulisan ini diambil daripada laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di ruangan Irsyad Al-Fatwa yang diterbitkan pada 12 Jun 2021.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails