Saturday, June 26, 2021

Kurma berbuah lebat, bolehkah M'sia jadi negara pengeluar kurma?

 

Bekas Adun tidak sangka ‘kurma hiasan’ berbuah lebat

Oleh ZULKEFLI HUSSIN
PASIR PUTEH:
 Bekas Adun, Zulkifli Ali tidak menyangka salah satu daripada 10 pokok kurma yang ditanam sebagai hiasan di halaman rumahnya kini mengeluarkan buah lebat.

Sekarang buah kurma ‘Variety Ajwa’ sedang kekuningan dan hampir masak.

Zulkifli berkata, pokok kurma berkenaan ditanam empat tahun lepas di mana benihnya dibeli di Rantau Panjang.

Katanya pokok yang mengeluarkan buah terdapat sebanyak lapan tandan sehingga menjadi perhatian penduduk tempatan.

“Ini merupakan tahun ketiga pokok tersebut berbuah di mana kali pertama dan kedua tidak mendapat hasil apabila kesemua buahnya gugur selepas berputik.

“Saya dapati proses pengeluaran buah seiring dengan perkembangan pokok kurma yang terdapat di Madinah, juga sedang mengeluarkan buah dan hampir masak,” katanya ketika ditemui di Kampung Alor Hijau, Selising di sini hari ini.

Oleh itu kata beliau dakwaan sesetengah pihak pokok kurma sukar berbuah di negara ini tidak tepat.

Katanya, berdasarkan pengalaman selama empat tahun menjaga pokok kurma didapati ia boleh dikomersialkan sekiranya penjagaan yang rapi terutama pembajaan cukup seperti baja bunga dan buah selain baja subur.

“Cuaca panas terik sangat sesuai bagi membantunya dalam proses mengeluarkan buah dan mengekalkan kualiti asal yang ragup dan manis,” katanya.

Menurutnya juga beliau akan memproses buah berkenaan dengan memeramnya menggunakan alat khas supaya tidak dimasuki angin (kedap).

“Saya juga akan menyira buah kurma berkenaan sebelum disedekahkan kepada penduduk. Selebihnya buah itu akan disemai untuk dijadikan benih bagi memperluaskan tanaman kurma dalam kalangan penduduk,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 25/6/2021

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Pihak berwajib atau syarikat, sila buat kajian terperinci bolehkah Malaysia dijadikan negara pengeluar buah korma di Asia?

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails