Monday, June 21, 2021

Parlimen hanya bincang isu Covid-19, ekonomi -Prof Madya Dr Rusdi

 

KANGAR: Persidangan parlimen sebagaimana disaran Yang di-Pertuan Agong hanya wajar memberi tumpuan utama kepada isu Covid-19 dan ekonomi sahaja.

Prof Madya Dr Rusdi Omar dari Universiti Utara Malaysia berkata, persidangan itu hendaklah mengenepikan seketika sebarang isu berkaitan politik.

“Saya beranggapan sudah tiba masanya parlimen dibuka dan darurat ditamatkan demi kebaikan serta masa depan negara,” katanya ketika dihubungi di sini.

Semalam Yang di-Pertuan Agong menzahirkan pandangan persidangan parlimen diadakan bagi membolehkan Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahas ahli-ahli Dewan Rakyat.

Malah sebelum ini kerajaan mengumumkan mengkaji lebih terperinci persidangan Parlimen secara hibrid, merupakan satu-satu pilihan yang ada dalam suasana pandemik Covid-19 sekarang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Dato’ Seri Takiyuddin Hassan memberitahu konsep yang akan dilaksanakan itu tidak jauh beza dengan parlimen-parlimen di negara lain.

Persidangan secara hibrid bermakna sebahagian ahli-ahli parlimen akan hadir ke parlimen secara fizikal dan sekumpulan lagi mengikuti secara atas talian.

Yang Dipertuan Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim sebelum ini juga memberitahu tarikh dan tempoh persidangan secara hibrid dibincang pada mesyuarat khas.

Menurutnya tarikh dan tempoh persidangan akan dibincang di peringkat kabinet sebelum dipesembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Dr Rusdi juga berkata, Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dianggap sebagai satu langkah baik untuk rakyat dan negara bagi menangani pandemik Covid-19.

Menurutnya Pelan Pemulihan Negara perlu bersifat komprehensif dan memerlukan pelan tindakan yang lebih jelas bagi menangani krisis.

“Cuma terdapat segelintir pihak tertanya mengapa baru sekarang dibangkit pelan seperti itu, sepatutnya ia sudah dibuat awal lagi ketika pengisytiharan proklamasi darurat.

“Walau bagaimanapun pelan ini amat perlu dilaksanakan oleh kerajaan bagi mengeluarkan negara daripada krisis kesihatan dan ekonomi,” katanya.

Menurutnya sekiranya pelan itu boleh dilaksanakan dengan baik dan teratur dengan kerjasama serta ganding bahu semua pihak ia akan membuahkan hasil.

“Penglibatan kerajaan dan pembangkang diperlukan dalam pelan seperti itu di samping pihak lain termasuk teknorat, profesional dan sebagainya,” katanya.

Selasa lepas perdana menteri mengumumkan Pelan Pemulihan Negara yang meliputi fasa 1 hingga fasa empat. Fasa 1 pada Jun perkhidmatan perlu sahaja dibenarkan beroperasi.

Fasa 1 pada Julai dan Ogos sektor sosial kekal ditutup, fasa 3 pada September dan Oktober sektor sosial dibuka secara berperingkat dan fasa 4 pada November dan Disember pembukaan penuh termasuk sektor sosial.

Dr Rusdi turut mencadangkan dua majlis tindakan wajar ditubuh dalam pelan pemulihan negara tersebut iaitu Majlis Tindakan Covid-19 Negara dan Majlis Tindakan Ekonomi Negara supaya kerajaan lebih fokus dalam menangani dua krisis utama yang berlaku sekarang.

Kata beliau Majlis Tindakan Covid-19 Negara boleh menumpukan perhatian isu berkaitan kesihatan, manakala Majlis Tindakan Ekonomi Negara pula memberi fokus hal berkaitan ekonomi.

“Keahlian dalam dua majlis itu perlu melibatkan pakar kesihatan dan ekonomi di samping tokoh tertentu yang mempunyai pengalaman dan hubungkait dengan dua isu utama tersebut,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 17/6/2021

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails