Saturday, June 26, 2021

MB Kedah sedia kena tindakan

 

Muhammad Sanusi (tengah) mendengar taklimat Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman (kiri) ketika meninjau tapak Kompleks Pendidikan Asnaf Zakat Kedah di Kampung Batu Seketol, di Sik, hari ini. - Foto NSTP/Noorazura Abdul Rahman

SIK: Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor sedia menerima tindakan undang-undang susulan dakwaan beliau memandu uji kenderaan di sebuah pusat pameran dan jualan di Autocity, Juru, Pulau Pinang pada 5 Jun lalu.

Beliau berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) Pulau Pinang untuk membuat keputusan sama ada mahu mendakwa atau tidak.

"Saya dapat maklumat mengenai kes saya sudah diserah kepada PPN menerusi laporan berita, jadi saya serah kepada PPN dan sedia untuk menerima keputusan sama ada dikompaun atau sebagainya.

"Saya akui saya terkhilaf pergi tengok kereta itu, saya pun manusia biasa tapi janganlah kecam dan hina saya di luar batasan kerana saya pun ada ibu bapa, isteri dan anak-anak," katanya ditemui selepas mengadakan lawatan tapak Pusat Pendidikan Asnaf Zakat Kedah di Kampung Batu Seketol, hari ini.

Kelmarin media melaporkan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abdul Manan berkata, kertas siasatan mengenai dakwaan itu sudah lengkap dan diserahkan kepada PPN untuk tindakan selanjutnya.

Sebelum ini, tular gambar dan video mengenai Muhammad Sanusi yang dipercayai memandu uji sebuah kenderaan di media sosial dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Berikutan itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 bagi menyiasat dakwaan berkenaan.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi turut menasihatkan pihak tertentu agar tidak terus menimbulkan kebencian terhadap beliau sehingga memberi komen atau ulasan di luar batasan.

Katanya, kejadian itu bukanlah kesalahan besar seperti beliau merompak berbilion ringgit sehingga perlu dihukum sebegitu di media sosial. (BH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails