Tuesday, June 01, 2021

Bali: Wanita Islam Boleh Berkahwin Lelaki Hindu?

 

Catatan Perjalanan Ibnu Hasyim

Indokini: Wanita Islam Boleh Berkahwin Lelaki Hindu?

"KAMU menginap di rumah kampung Hindu ini?" Tanya seorang wanita asal Bali kepadaku.

"Ya." Jawabku, sambil meneguk teh di warungnya, sederetan dengan beberapa warung, di simpang jalan menuju kampung tempatku menginap itu. "Mengapa?"

"Oh. Aku kenal dia." Katanya, yang juga hampir sebaya denganku. "Dia orang asal di sini, beragama Hindu, tetapi berkahwin dengan wanita Islam, keturunan Jawa. Punya seorang anak, sekarang sudah gadis pun!."

"Bagaimana wanita Islam boleh berkahwin dengan lelaki Hindu?" Aku tertnya-tanya.

"Oh bapak ngak tahu.. Di sini lain. Isteri kena ikut suami. Saya dulu beragama Hindu di Bali ini, saya berkahwin dengan lelaki Islam asal dari tanah Jawa. Saya ikut agama suami. Saya masuk Islam, belajar Islam, pergi masjid.. Saya sekarang jadi Islam yang baik, sembahyang, puasa, bayar zakat dan lain-lain. Juga suami saya mengajarkan agama di rumah. Anak saya ikut Islam!" Jelasnya.

Terpinga-pinga aku. Bagaimana seorang wanita Islam boleh berkahwin dengan lelaki beragama Hindu? Tidak ada ruang dalam perundangan syariat Islam boleh jadi begitu! Oh, beginikah Islam di Indonesia??

Warung sederetan dengan tempatku minum teh pagi.

Gambar di atas: Dia, bukan sahaja berkahwin dengan lelaki Hindu (hingga beroleh anak yang mengikut agama ayahnya) bahkan membuat samsu (arak yang dilarang oleh Islam) yang memabukkan untuk membantu sumber pendapatan suaminya.. Gambar diambil oleh Ibnu Hasyim, semasa tinggal beberapa hari dirumahnya.

Di sini, jalan dan lorong masuk ke kampung itu. Bila mereka tahu aku ingin menulis mengenai masyarakat Hindu Bali, aku dijemput tinggal di sebuah rumah dalam sebuah kampung Hindu asli, di Denpasar berhampiran Bali Ngurah Rai International Airport, Indonesia.

Aku menumpang di sebuah rumah keluarga Hindu, di kampung asal Hindu dari dulu lagi, turun temurun. Tuan rumah itu menyambut gembira, memperkenalku dengan jiran-jirannya. Aku diberi sebuah bilik di rumahnya. Dia tinggal bersama anak isteri dan kaum keluarganya, termasuk seorang anak gadisnya.

Itu,anak gadisnya dibangsal parking motorsikalnya (atas). 
(Bawah), jiran-jirannya.
Ibnu Hasyim (di tengah-tengah) bersama pemimmpin-pemimpin adat disebuah perkambungan Hindu di Bali.


Kembali kita melihat sejarah..

Ekspedisi dakwah Islam di Bali dilakukan oleh orang Jawa pada masa pemerintahan Dalem Waturenggong di Gelgel yang memerintah pada tahun 1460-1550. Sejak itu komuniti Muslim mulai ada di Bali dan dari waktu ke waktu terus berkembang, walaupun tidak sepesat di Jawa. Betapapun kecilnya, namun dikatakan masyarakat Islam turut pula mewarnai khazanah budaya Bali.
 
Jejak interaksi masyarakat Islam di Bali dapat pula dilihat melalui beberapa karya sastera. Antaranya, Krama Selam (witaning selam), Tatwa Berawa, Seh Umbul Brahim (Kitab Tasauf Cara Bali), Sejarah Jawa lan Sejarah Arab, Jajaluk Selam ing Mekah, Ana Kidung, Geguritan Amad Muhammad Raden Saputra, Geguritan Siti Badariah. Fenomena ini menarik untuk dikaji.

Beberapa teks sastera Islam yang terdapat di Bali juga memiliki fungsi religius sebagaimana khazanah sastera yang mengandung ajaran Hindu. Teks Ana Kidung dibacakan semalam suntuk oleh masyarakat beragama Hindu secara bergantian dalam upacara 'kepus pungsed' (lepasnya tali pusat) seorang bayi.

Di daerah Jawa dan Bali yang kena pengaruh Hindu secara mendalam, maka perkembangan masyarakat Islam banyak dipengaruhi unusr-unsur setempat. Berbeda dengan di daerah Sumatera tidak terpengaruh Hindu secara mendalam. Islam jelas muncul sebagai 'tanaga' perubahan yang memberi kesedaran kepada kesatuan agama yang lebih besar dari penganutnya.

Kita ambil contoh masuknya Islam di daerah Badung. Sebuah penelitian A.A.B. Wirawan dan Dian Ariegalung menunjukkan pemukiman orang-orang Islam di Badung berkembang dengan pesat diperkirakan sekitar tahun 1891, setelah jatuhnya kerajaan Mengwi ke tangan Kerajaan Badung. Pada waktu itu pasukan Kerajaan Badung dibantu oleh Raden Sosroningrat, seorang Muslim yang kawin dengan puteri Raja Pemecutan.

Apabila dilacak lebih awal lagi ada yang menghubungkan dengan jatuhnya kerajaan Makasar setelah tahun 1669. Setelah perang Makasar tersebut, banyak pelaut Bugis Makasar yang menyingkir keluar daerahnya, diantaranya ke Tuban dan Serangan melaui Lombok dan Sumbawa. Beberapa sumber asing kemudian menyebutkan bahawa dibeberapa pantai di Bali Selatan seperti Tuban, Suwung, Serangan, Kuta, perkampungan Islam berkembang dengan pesat pada abad ke-19.

Menurut lisan yang didapat dari tradisi turun temurun di lapangan, bahawa masyarakat Islam Bugis di Serangan, SUWUNG, Tuban, dan juga di Angantiga mempunyai hubungan yang erat dengan puteri Pemecutan. Pada mulanya pemukiman mereka merupakan hadiah dari raja kepada masyarakat Islam kerana berjasa terhadapap kerajaan Badung. Tidak jarang dilihat antara masyarakat Hindu dan Islam bergaul secara akrab dan tidak ada kesan yang membedakan mereka dari luar.

Keadaan ini berlangsung sejak lama, dan dapat dikatakan embrio integrasi sosial sudah terjadi sejak zaman kerajaan. Pendirian masjid Kalimanjing Serangan dan Suwung, Tuban dan Tanjung Benoa juga mendapat bantuan bahan, dana, disamping tempat dari raja Pemecutan. Seperti banyak dimuat dalam beberapa karya historis, bahawa penyebaran Islam di beberapa tempat di Nusantara lebih dominan dilakukan melalui perdagangan.

Tidak terkecuali di Bali. Penyebaran melalui perdagangan ini lebih bersifat dinamis dan terbuka. Namun selain lewat perdagangan, penyebaran agman Islam juga dilakukan melalui jalur perkawinan, iaitu perkawinan antara orang-orang Bugis dan orang-orang Bali. Orang-orang Bugis telah muncul di Selat Bali sekitar pertengahan abad ke-17. Dalam sumber daerah disebut wong sunantara, wong duradesa, atau wong nusantara yang artinya orang asing atau Bugis, Cina, dan Arab.

Pada waktu itu orang Bugis paling jumlahnya. Orang Bugis yang datang ke Bali, tersebar di beberapa tempat seperti Jembrana, Bali Utara (Buleleng), dan Bali Selatan (Badung). Di Jembrana pada abad ke-17 orang-orang Bugis telah memegang peranan penting dalam proses integrasi kebudayaan. Dengan adanya seorang keluarga raja I Gusti Ngurah Pancoran telah masuk Islam kerana pergaulann akrab dengan orang-orang Bugis yang bermukim di Loloan.

Sedangkan mulanya Islam di Angantiga juga menarik. Ada seorang Islam yang kaya di pulau Serangan yang bernama Brahima mempunyai anak gadis cantik. Raja Mengwi yang menguasai Serangan bermaksud mempersunting gadis itu. Namun Brahima tidak bersedia memenuhi permintaan raja. Brahima sendiri lari dan mengasingkan anak gadisnya ke Angantiga. Anak gadis dengan orang tuanya itu dihantar oleh tiga pendekar iaitu Haji Jamaluddin, Daeng Mapilih, dan Daeng Mangeneng. Maka sejak itu orang Islam mula masuk ke Angantiga.

Bukan beberapa daerah itu sahaja, tapi lebih dari itu. Keberadaan kampung-kampung Islam di Bali telah menyebar luas diantara masyarakat Hindu Bali. Bahkan ada yang letaknya di antara balik-balik bukit, kita tidak tahu jika tidak memburunya. Namun saat ini kampung-kampung itu dan masyarakat di dalamnya seolah tenggelam oleh hiruk-pikuk perkembangan zaman. Bahkan tidak ada yang tahu kalau mereka sebenarnya hidup dalam kesederhanaan dan sepi dari cahaya Islam. Maka di situlah munculnya ada gadis-gadis muslimat berkahwin dengan lelaki beragama Hindu, yang tidak mengikut syariat Islam.

Apa benarkah begitu? Mungkin juga. Tetapi pada saya sebab sebenarnya ialah kerana puak-puak agama Islam tidak tampil atau tidak mampu tampil dalam politik masyarakat, daerah, negeri dan negara, seperti layaknya seorang imam memimpin jamaah dalam solat. Tiap imam (pemimpin) bertanggung jawab segalanya atas tindak-tanduk anak jamaahnya.

Bukan sahaja di Bali atau di Indonesia, bahkan di Malaysia pun bisa jadi begitu kalau kepimpinannya tidak ikut Islam atau diIslamkan. Wallahu aklam.




Ibnu Hasyim
alamat: ibnuhasyim@gmail.com

Jan 2012
Bali, Ind.


E-Buku IH-47: T/Leste, Medan-Aceh, S'baya, Bali.

Bab 1
Bab 2
Bab 3
Bab 4
Bab 5: Tambahan
Bersambung.. Ikuti lanjutnya!

1 comment:

Anonymous said...

apa nak bnagga ngan cerita duka ni
terjadi dinegara umat Islam teramai didunia
puak pemerintah bukanlah golongan solih

sedihnya
tramai pun macam buih

Dan janganlah kamu nikahi wanita-wanita musyrik, sebelum mereka beriman. Sesungguhnya wanita budak yang mukmin lebih baik dari wanita musyrik, walaupun dia menarik hatimu.
Dan janganlah kamu menikahkan orang-orang musyrik (dengan wanita-wanita mukmin) sebelum mereka beriman.
Sesungguhnya budak yang mukmin lebih baik dari orang musyrik walaupun dia menarik hatimu. Mereka mengajak ke neraka, sedang Allah mengajak ke surga dan ampunan dengan izin-Nya.
Dan Allah menerangkan ayat-ayat-Nya (perintah-perintah-Nya) kepada manusia supaya mereka mengambil pelajaran.

jelas gagal tegak hukum hukum Allah
patutla bala demi bala

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails