Tuesday, October 17, 2017

Remaja Cina Pimpin Warga Emas Ke Masjid. Al-hamdulillah!


SUBANG JAYA – Tindakan murni seorang remaja berbangsa Cina yang memimpin seorang lelaki tua untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Falah di USJ 9, di sini, baru-baru ini telah menerima pujian daripada netizen.

Dalam satu entri Facebook yang dikongsi oleh akaun Rakan Muslimah Al-Falah II pada Jumaat lalu, remaja yang dipercayai bukan beragama Islam itu dilihat membantu seorang lelaki warga emas ke dalam masjid, manakala tangan kirinya menghalang lelaki itu daripada tempias hujan.
Posting tersebut telah menerima reaksi positif daripada netizen dengan lebih 1,400 perkongsian dan lebih 1,420 likes. Ramai yang menyuarakan penghargaan mereka kepada remaja tersebut dan berterima kasih atas kebaikan hatinya.
Seorang pengguna Facebook bernama Nik Nazmi Nik Ahmad berkata: “Rakyat Malaysia yang biasa hidup di tengah-tengah masyarakat yang majmuk, biasa dengan perkara sebegini. Ini Malaysia yang kita mahukan.”
Manakala seorang lagi netizen, Lissa Laongkeaw turut memuji tindakan remaja itu:“Tiada agama mana ajar orang untuk jadi jahat.. setiap agama ajar untuk jadi baik.. gambar ni telah jadi bukti.”
RV Rajan pula berpendapat: “Sebenarnya ini satu kelakuan yang sungguh mulia.”
Sementara itu, imam masjid tersebut, Mohd Zuwairi Mohd Yusof berkata, lelaki tua itu yang dikenali sebagai Pak Ali merupakan jemaah tetap masjid itu.
“Dia selalu datang untuk menunaikan solat Duha di sini,” kata Mohd Zuwairi lagi.
Adakalanya, Pak Ali akan meminta bantuan sesiapa yang kebetulan lalu-lalang di situ untuk bantu membawanya ke masjid.
Nazir Masjid Al-Falah, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, yang merupakan timbalan presiden pemasaran Petronas, menyifatkan kebaikan ramaja lelaki itu sebagai tanda nila-nilai murni masih luhur dalam nadi semua warga Malaysia.
“Remaja itu menjadi contoh yang bagus terhadap apa sebenarnya yang rakyat Malaysia mampu dan sepatutnya lakukan, iaitu untuk saling membantu dan menjaga kesejahteraan antara satu sama lain.
“Semua orang mesti memainkan peranan mereka bagi membantu komuniti, tanpa mengira bangsa mahupun gama,” kata Syed Zainal lagi kepada akhbar NST.

1 comment:

Anonymous said...

Itu yang sangat di galakan.. sebab itu pentingnya dakwah jangan suka maki hamun

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails