Thursday, October 19, 2017

Myanmar Keras Kepala













SEORANG pelarian Rohingya mengendong seorang warga tua di sebelah sempadan Bangladesh selepas menyeberangi Sungai Naf kelmarin. - AFP

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB), New York – Seorang pegawai kanan PBB pulang dengan tangan kosong semalam selepas berunding selama lima hari di Myanmar untuk merayu agar pelarian Islam Rohingya yang berlindung di Bangladesh dibenarkan pulang dengan selamat dan akses kepada pekerja bantuan dibuka.
Pembantu Setiausaha Agung PBB Bagi Hal Ehwal Politik, Jeffrey Feltman membincangkan nasib 582,000 pelarian Rohingya yang lari daripada kekejaman semasa operasi tentera di negeri Rakhine sejak akhir Ogos lalu.
Feltman menemui pe­mimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi dan ketua ang­katan tentera, Jeneral Min Aung Hlaing dan dibawa menaiki pesawat ke negeri Rakhine yang mana beliau melihat sebila­ngan kampung hangus dibakar, kata jurucakap PBB, Stephane Dijarric.
“Beliau mengulangi permintaan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres supaya pekerja bantuan diberikan akses penuh tanpa sekatan ke utara Rakhine dan pelarian Rohingya pula dibenarkan pulang ke kampung halaman mereka secara sukarela, selamat dan bermaruah,” kata Dujarric.
PBB membuat tuntutan sejak beberapa minggu lalu supaya pekerja bantuan badan dunia itu dibenarkan memasuki negeri Rakhine dan pelarian Rohingya dibenarkan pulang dengan selamat ke kediaman mereka.
“Saya tidak fikir semasa mengumumkan lawatan ke Myanmar ini, kami (PBB) menjangkakan akan memperoleh kemenangan mudah. Isu ini memerlukan perbincangan berterusan dengan pemerintah Myanmar,” jelasnya.
Ditanya kenapa Myan­mar masih menyekat penghantaran bantuan ke Rakhine, Dujarric berkata: “Soalan ini perlu diajukan kepada pihak berkuasa Myanmar.”
Terdahulu, Pesuruhjaya Tinggi PBB Bagi Pe­larian (UNHCR) berkata di Geneva bahawa masih terdapat antara 10,000 hingga 15,000 etnik Rohingya terkandas dekat sempadan Bangladesh-Myanmar.
Jurucakap UNHCR, Andrej Mahecic berkata, ramai antara mereka memilih untuk tinggal di kediaman masing-masing di Rakhine walaupun ber­ulang kali diugut akan dibunuh sekiranya enggan berpindah.
“Mereka hanya melarikan diri selepas kampung halaman dibakar,” kata­nya.
PBB mengutuk kempen ketenteraan terhadap penduduk Rohingya sebagai penghapusan etnik walaupun pihak berkuasa Myanmar memberi alasan operasi itu bertujuan untuk menghapuskan pembe­rontak Rohingya susulan serangan ke atas pos polis pada 25 Ogos lepas. – AFP

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails