Saturday, December 12, 2015

Remaja 19 Tahun Dikatakan Sertai 100 Misi Perang Di Syria, Ditangkap.

Remaja lelaki berasal dari Perak ditahan di KLIA pada Isnin lalu selepas menyertai kumpulan pengganas di Syria.

KUALA LUMPUR – Seorang remaja yang mempunyai kemahiran mengendalikan senjata api selepas menjalani latihan ketenteraan dengan menyertai kumpulan pengganas di Syria diberkas polis Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman pada Isnin lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, remaja lelaki berusia 19 tahun yang berasal dari Perak itu ditangkap sebaik dia tiba di Terminal Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada sebelah pagi Isnin.
Menurut beliau, remaja itu dikatakan telah direkrut untuk menyertai kumpulan pengganas di Syria pada pertengahan 2014 sebelum pulang semula ke tanah air.
Katanya, bekas pelajar sebuah kolej di Kaherah, Mesir itu berinteraksi melalui laman sosial Facebook dengan seorang anggota pengganas di Syria sebelum terpengaruh untuk menyertai kumpulan militan itu.
“Siasatan mendapati, pemergian remaja itu ke Syria diaturkan oleh anggota pengganas di Syria sebelum dia menyusup ke Syria melalui Turki pada hujung September 2014.
“Sebaik tiba di Syria, remaja itu terus menyertai kumpulan Jund Al-Aqsa yang merupakan sebuah kumpulan gabungan Al-Qaeda di negara tersebut,” kata beliau dalam satu kenyataan akhbar di sini semalam. (Kosmo)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails