Monday, December 07, 2015

IS Akui Dalang Serang Amerika. – Reuters

AFP - ANGGOTA penguat kuasa undang-undang memeriksa sebuah kenderaan utiliti sukan Ford yang digunakan Syed Rizwan dan Tashfeen di San Bernardino pada Jumaat lalu.


SAN BERNARDINO – Kumpulan militan Islamic State (IS) kelmarin mengisytiharkan bahawa pasangan suami isteri yang menembak mati 14 orang di sebuah parti di California Selatan ialah pengikutnya.
Kenyataan itu dibuat dalam satu siaran audio IS yang disiarkan tiga hari selepas lelaki kelahiran Amerika Syarikat (AS), Syed Rizwan Farook, 28, dan isterinya, dari Pakistan, Tashfeen Malik, 29, melepaskan tembakan menggunakan raifal tempur dalam satu majlis keraian kakitangan awam di San Bernardino, 100 kilometer ke utara bandar raya Los Angeles.
“Dua pengikut IS telah menyerang sebuah dewan di San Bernardino, California beberapa hari lalu,” kata kenyataan IS menerusi ste­sen radionya, Al-Bayan kelmarin.
Versi bahasa Inggeris siaran tersebut menggelarkan mereka sebagai askar IS dan bukan pengikut seperti yang terkan­dung dalam siaran bahasa Arab.
Sebelum ini, IS turut mendakwa bertanggungjawab melancarkan serangan berdarah di Paris yang meragut 130 nyawa pada 13 November lepas.
Menurut media AS, Tashfeen berpindah dari Pakistan ke Arab Saudi bersama ayahnya ketika masih kecil sebelum kembali ke Pakistan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang farmasi di sebuah universiti di Multan antara 2007 hingga 2012.
Semasa di universiti, Tashfeen dikenali sebagai seorang pelajar yang baik dan tiada kecenderungan fahaman pelampau, kata seorang pegawai perisikan AS.
Pasangan itu memiliki dua raifal tempur, dua pucuk pistol, 12 bom paip dan lebih 6,000 butir peluru di kediaman mereka atau bersama mereka semasa mereka dibunuh.
Penemuan tersebut, kata beberapa pegawai AS, menyebabkan pihak berkuasa mengesyaki bahawa Syed Rizwan dan Tashfeen berkomplot untuk melancarkan lebih banyak serangan.
Pasangan suami isteri itu meninggalkan bayi perempuan mereka yang berusia enam bulan bersama saudara mara mereka. Syed Rizwan dan isterinya terbunuh dalam kejadian berbalas tembakan dengan anggota pasukan unit tempur polis, SWAT.
Dalam perkembangan berkaitan, ejen-ejen Biro Siasatan Persekutuan (FBI) menggeledah sebuah rumah di Riverside, beberapa kilometer ke barat daya San Bernardino yang pernah menjadi tempat tinggal Syed Rizwan.
Penduduk setempat menamakan lelaki yang tinggal di kediaman itu sebagai Enrique Marquez dan dia kerap dilihat bersama Syed Rizwan.
Saluran berita NBC News me­laporkan, rumah itu dimiliki oleh seorang lelaki yang dipercayai menjual raifal tempur kepada penyerang.
Terdahulu, beberapa pegawai FBI berkata, Syed Rizwan dan Tashfeen dipercayai menerima fahaman pelampau daripada kumpulan pengganas asing tetapi tiada menunjukkan mereka bekerja untuk kumpulan pengganas atau IS mengenali indentiti mereka.
Beberapa saudara mara Tashfeen turut berkata, dia dan bapanya menjadi lebih radikal semasa tinggal di Arab Saudi. – Reuters

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails