Wednesday, August 27, 2014

W/Azizah: Hanya Satu Nama Dari PKR & DAP. Tapi PAS...



KL: PKR dan DAP hanya akan mencalonkan satu nama sahaja, iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, untuk dipersembahkan kepada sultan Selangor sebagai menteri besar Selangor yang baru.

Menurut kenyataan bersama kedua-dua parti itu sebentar tadi, tindakan itu diambil sejajar dengan konvensyen pencalonan menteri besar pada 2013 dan mengambil kira titah sultan Selangor.

Ia juga mengambil kira keadaan semasa yang menyaksikan Azizah sudah mendapat sokongan majoriti sekurang-kurangnya 30 orang anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor (termasuk dirinya sendiri).

Selepas pilihan raya umum lalu, menurut PKR dan DAP, parti-parti dalam Pakatan Rakyat hanya mencalonkan Tan Sri Khalid Ibrahim sahaja walaupun istana turut meminta lebih daripada satu. Kenyataan itu dikeluarkan oleh Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua.

“PKR dan DAP merakamkan doa dan menjunjung kasih atas budi bicara ke bawah DYMM Tuanku Sultan Selangor,” kata mereka.

Surat daripada istana berkaitan pencalonan menteri besar tahun lalu bertarikh 7 Mei, dua hari selepas pilihan raya umum, itu turut dilampirkan dalam kenyataan media yang diedarkan.

Istana minta 4 nama tahun lalu. Surat itu antaranya menyebut sultan Selangor menitahkan pemimpin PAS, PKR dan DAP bermesyuarat untuk mencadangkan empat nama sebagai calon menteri besar. Khalid petang tadi memohon meletakkan jawatan sebagai menteri besar Selangor dan sultan menangguh menerimanya sehingga penggantinya ditentukan.

Sultan Selangor juga menitahkan agar pemimpin PAS, PKR dan DAP mencadangkan lebih daripada dua nama sebagai calon layak menggantikan Khalid. Menurut setiausaha sulit sultan, ia sejajar dengan konvensyen yang diamalkan berterusan dalam pelantikan menteri besar Selangor sebelum ini.

Menurut Menurut Malaysiakini lagi, pendirian PAS berhubung pencalonan mereka setakat ini masih belum jelas. Mereka sebelum ini mencadangkan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali di samping Azizah tetapi Pakatan akhirnya memutuskan menerima Azizah sahaja. Mesyuarat Jawatankuasa Pusat PAS semalam bagaimanapun memutuskan menyerahkan kepada perkenan dan kebijaksanaan sultan Selangor dalam menentukan jawatan itu.


 Demikian lapor Malaysiakini. 

Sementara itu, menurut mStar, keputusan PAS Pusat sebelum ini yang menamakan dua calon, selain Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai pengganti menteri besar Selangor adalah tepat. Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata, parti itu akur dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahu Pakatan Rakyat mengemukakan lebih daripada dua nama calon menteri besar yang baharu.

"Pandangan tuan guru Presiden PAS adalah sangat konsisten dengan titah tuanku sultan dan kita yakin rakyat di negeri Selangor juga menyambut baik titah tuanku itu.
"Sejajar dengan itu, PAS Selangor yakin cadangan calon menteri besar yang akan diserahkan oleh setiap parti politik adalah yang dapat diterima oleh istana kelak," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Terdahulu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menghadap Sultan Selangor bagi memohon perkenan baginda untuk beliau meletak jawatan sebagai menteri besar. Bagaimanapun baginda menitahkan untuk menangguhkan permohonan perletakan jawatan Khalid sehingga proses mencari calon penggantinya selesai.

Pada 17 Ogos lalu mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat memutuskan untuk menamakan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali sebagai calon kedua menteri besar Selangor, selain Dr Wan Azizah. Bagaimanapun mesyuarat Majlis Pakatan Rakyat pada hari yang sama tetap memutuskan supaya hanya satu nama iaitu Dr Wan Azizah dikemukakan kepada istana Selangor untuk dipertimbangkan. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails