Thursday, August 28, 2014

3 Sept Tarikh Akhir Hantar Nama Calon MB


Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah
Istana Selangor hari ini menghantar surat rasmi kepada parti-parti Pakatan Rakyat menitahkan mereka menghantar lebih daripada dua nama calon menteri besar sebelum 3 September depan.

Surat itu dihantar oleh pegawai Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan tangan kepada Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya  kira-kira jam 3.15 petang.

Surat yang dialamatkan kepada Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, dengan salinan kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng turut mahukan calon yang dinamakan itu beragama Islam dan berketurunan Melayu menurut Perkara L1 (2), Undang-undang Tubuh Negeri Selangor.
 

Surat itu ditandatangani Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Abdul Munir Bani itu. Semalam, Sultan menangguh menerima peletakan jawatan Khalid sehingga penggantinya ditentukan. Munir berkata, Sultan Selangor juga menitahkan agar pemimpin PAS, PKR dan DAP mencadangkan lebih daripada dua nama sebagai calon  layak menggantikan Khalid. Ia, menurut Munir lagi, bagi memudahkan sultan menentukan dan memberi perkenannya.

Sementara itu, PAS tetap dengan keputusannya sebelum ini untuk menghantar lebih daripada satu nama untuk dicalonkan menjadi menteri besar Selangor walaupun diminta tidak berbuat demikian oleh Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, PAS terikat dengan Mesyuarat AJK PAS Pusat pada 17 Ogos lalu yang mencalonkan dua nama. Beliau berkata, pendirian parti itu yang mahu menamakan juga calon selain Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sememangnya satu fakta yang sudah diketahui umum sejak kemelut krisis Selangor semakin memuncak. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails