Thursday, August 28, 2014

PAS Berhasrat Tanding Kerusi DUN Pengkalan Kubor



Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Abdullah yakin PAS mampu merampas kerusi DUN Pengkalan Kubor daripada Umno. – Gambar fail The Malaysian Insider, 27 Ogos, 2014. 
Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Abdullah yakin PAS mampu merampas kerusi DUN Pengkalan Kubor daripada Umno. – Gambar fail The Malaysian Insider, 27 Ogos, 2014. 

Walaupun kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor ditandingi Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum ini, rakan pakatannya PAS berhasrat untuk bertanding kerusi DUN itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerana yakin mampu mencapai kemenangan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Abdullah berkata kerusi itu, yang diberi kepada PKR pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), hanyalah sebagai pinjaman sahaja dan PAS boleh kembali mempertahan kerusi itu berikutan ada sokongan kuat dari akar umbi.

"Kerusi itu memang milik PAS sebelum ini, tetapi atas dasar pakatan kita beri pinjam kepada PKR untuk bertanding menentang BN dalam PRU-13 lalu," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Kota Sejahtera Chiku di Gua Musang, hari ini.

Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Paloh Datuk Nozula Mat Diah dan Ketua Jajahan Gua Musang Nazran Mohamad. Mohd Amar berkata hasrat PAS itu akan dibincangkan dengan PKR.

"Kita lihat ada peluang untuk kita menang...soal calon belum dibincangkan lagi setakat ini," katanya.

Kerusi DUN Pengkalan Kubor kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Noor Zahidi Omar, 57, di Guangzhou, China pada 20 Ogos lalu kerana kanser hati.
Allahyarham Noor Zahidi merupakan Adun Pengkalan Kubor selama tiga penggal dan Ketua Umno Bahagian Tumpat selama empat penggal.
Pada pilihan raya umum lepas, Allahyarham yang mewakili Barisan Nasional mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary dengan majoriti 1,736 undi. – Bernama, 27 Ogos, 2014.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails