Tuesday, August 26, 2014

P/Kubor: PAS-PKR Bincang Parti Boleh Menang



KUALA LUMPUR: Faktor 'boleh menang' menjadi keutamaan dalam menentukan parti mana yang akan bertanding mewakili Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Pengkalan Kubor.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustapa Ali berkata, parti itu akan berbincang dengan PKR dalam menentukan perkara itu.

"Kalau apa-apa tentang PRK ini ia perlu merancang, PKR kena bincang dengan PAS. Biasanya dalam pilihanraya kita hendak menang, jadi 'winnability' ini salah satu faktor.
"Perlu dua-dua berbincang untuk mencari kata sepakat yang terbaik untuk kita mencapai kemenangan pada pilihanraya kecil ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat PAS Pusat di pejabat agung parti itu pagi ini. Mustafa ditanya tentang calon kerusi dun itu, sama ada PAS akan bertanding di kerusi yang diwakili PKR itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu.

Kata beliau, dalam kaedah yang biasa parti yang telah bertanding pada pilihanraya umum akan bertanding pada pilihanraya kecil.

"Tetapi tidak semestinya terikat begitu, kalau ada keputusan baru yang dibuat berdasarkan faktor yang saya sebut tadi 'winnability', ia akan diambil kira dan ia masih boleh bincang lagi," sambung beliau.

Kerusi Dun N1 Pengkalan Kubor menjadi kosong apabila penyandangnya dari Barisan Nasional (BN), Datuk Noor Zahidi Omar meninggal dunia di Ghuangzhou, China ketika mendapatkan rawatan perubat akbibat kanser Rabu lalu.

Allahyarham Noor Zahidi pada PRU13 lalu memperolehi majoriti 1,763 undi dalam pertandingan tiga penjuru mengalahkan calon  PKR, Saharun Ibrahim dan calon dari Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary.
- HARAKAHDAILY 25/8/2014

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails