Friday, August 01, 2014

Kuliah, Jangan Cetus Kemarahan Penganut Agama Lain -Dr Mujahid

PULAU PINANG: PAS Pulau Pinang meminta semua guru agama yang menyampaikan kuliah di masjid supaya lebih berhati-hati ketika menyampaikan dakwah supaya ucapan tidak menimbulkan kemarahan penganut agama lain sehingga mencetuskan ketidakharmonian kaum.

Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa menyatakan demikian di pekarangan Masjid Jamek Bandar Perda pagi tadi sebagai respons kepada isu membabitkan seorang penceramah agama di negeri ini.

Beliau berkata, mereka yang bergelar pendakwah wajar bersikap secara berhemah semata-mata untuk menggambarkan kesyumulan dan kebaikan Islam itu sendiri.

Jelasnya, ia bersesuaian dengan firman Allah di dalam Surah Al Ana'm ayat 108 yang bermaksud "jangan kamu menghina agama dan tuhan pengikut agama lain kelak mereka akan menghina Allah sebagai balasan dengan penuh kebencian".

Katanya, mengenai keharmonian, PAS sebagai sebuah parti Islam bertanggungjawab untuk menyuarakan pandangan dalam isu tersebut supaya kaum lain sama-sama menghormati kedaulatan negara yang mahu hidup dalam keadaan aman dan damai.

Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat berharap mana-mana pihak usah membuang masa bertikam lidah terhadap sentimen perkaunan sebaliknya mengambil sikap meredakan keadaan.

Hadir dalam sidang media itu ialah Ketua Penerangan PAS negeri, Rosidi Husein, Ketua Lajnah Ekonomi PAS negeri, Zolkiply Md Lazim dan Ketua Penerangan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Pusat, Asokan Perumal. - HARAKAHDAILY 31/7/2014

2 comments:

Mohd Shubhi said...

Selamat hari raya maaf zahir dan batin Ibnu Hasyim...!

Ibnu Hasyim said...

Sama-sama. Al-hamdulillah.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails