Thursday, July 31, 2014

'Langkah Hadi' Lwn 'L/Kajang', Bagaimana Selaraskan Tuntutan?



Gabungan Pakatan Rakyat mampu memberikan saingan yang sengit kepada Barisan Nasional menjangkau beberapa pilihan raya, dan kini menjadi rapuh dengan konflik yang semakin timbul antara parti dalamnya. – Gambar fail, 31 Julai, 2014.  
Gabungan Pakatan Rakyat mampu memberikan saingan yang sengit kepada Barisan Nasional menjangkau beberapa pilihan raya, dan kini menjadi rapuh dengan konflik yang semakin timbul antara parti dalamnya. – Gambar fail, 31 Julai, 2014.  
 
Analisis oleh  THE MALAYSIAN INSIDER

Dari kemelut Selangor ke kemelut nasional: Politik Malaysia di persimpangan

SELEPAS melakar sejarah sebagai sebuah gabungan politik yang mampu memberi saingan sengit kepada Barisan Nasional (BN), Pakatan Rakyat (PR) kini menghadapi ujian paling getir dalam memastikan kesinambungan pakatan politik yang baru sahaja berusia lebih enam tahun itu.

Keutuhan gabungan ini mulai bergoncang apabila PAS menimbulkan semula isu hudud, sebuah isu yang menganggu gugat politik-centrist dan moderate yang dipromosi PR sejak 2008. Bibit perpecahan dalam kalangan parti gabungan pembangkang ini menjadi semakin serius apabila Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan sokongan terbukanya terhadap Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim agar kekal sebagai menteri besar Selangor.

"Langkah Hadi" ini mencabar kesepakatan dalam PR yang memberi kebebasan kepada parti gabungannya menamakan calon menteri besar bagi negeri yang dipertangunggjawabkan kepada parti tersebut. Menambah ketegangan ini ialah desakan segelintir pemimpin PAS Pusat supaya parti Islam ini keluar terus daripada PR [1].

Jika diteruskan, ‘Langkah Hadi dan PAS’ ini bukan sahaja akan memberi kesan kepada masa depan politik pembangkang, tetapi juga masa depan politik nasional dan nasib golongan massa. Banyak penulisan dan komentar di media sosial menawarkan penyelesaian mudah bagi masalah ini.
"Biarkan PAS keluar dari Pakatan", "Tarik balik keputusan untuk gugurkan Khalid" dan "PAS perlu utamakan Islam daripada kepentingan politik" adalah antara saranan yang diajukan.

Ada pula yang lebih suka menunding jari dan meletakkan kesalahan di tangan Hadi, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Khalid, Mohamed Azmin Ali atau Umno. Untuk memahami kemelut Selangor, umum perlu menyelusuri kemajuan yang dicapai pakatan pembangkang dan impak positif yang dibawanya kepada politik nasional dan golongan massa. Ini adalah apa yang perlu dilepaskan jika PR tumbang. Risiko inilah yang perlu difikirkan PAS dan PR apabila menangani kemelut Selangor dan apa juga isu yang mampu menjejaskan kesinambungan gabungan itu.

Impak terhadap masa depan politik pembangkang

Rekod menunjukkan pembangkang hanya dapat memberi saingan sengit kepada BN sekiranya ia membentuk pakatan politik semasa pilihan raya. Pakatan ini adalah untuk memastikan pertandingan dua penjuru antara BN dan pembangkang. Ini kerana sistem pilihan raya first-past-the-post di Malaysia menjamin hanya parti yang mendapat undi paling banyak akan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Dewan Rakyat.

Satu contoh yang menarik bagaimana ia beroperasi dapat dilihat di Sabah pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) di mana BN memenangi beberapa kerusi Parlimen dengan kurang dari 50% undi kerana undi untuk pembangkang terpecah di dalam pertandingan pelbagai penjuru melibatkan PR, parti pembangkang Sabah dan calon-calon bebas.

Dalam sejarah pilihan raya, empat pakatan pilihan raya pernah dibentuk dalam kalangan pembangkang untuk menyaingi BN iaitu Barisan Sosialis pada tahun 1969, Gagasan Rakyat pada tahun 1990, Barisan Alternatif pada tahun 1999 dan PR pada tahun 2008.


Nota: Pakatan Rakyat diasaskan selepas Pilihan Raya Umum 2008. Tetapi kerjasama dalam kalangan parti pembangkang utama (PAS, PKR dan DAP) dibentuk dalam Pilihan Raya 2008 untuk memastikan pertandingan dua penjuru antara BN dan pembangkang.

Jadual di atas menunjukkan BN mampu menguasai lebih 80% kerusi Parlimen apabila parti pembangkang gagal memastikan pertembungan dua penjuru dan mesej alternatif yang kuat.
Tetapi apabila pembangkang membentuk kerjasama dalam pilihan raya 1969, 1990, 1999, 2008 dan 2013, ia mampu memberi saingan sengit.

PR, bagaimanapun, bukan sekadar sebuah pakatan pilihan raya. Ia adalah satu-satunya pakatan pembangkang yang dapat kekal menjangkaui lebih daripada satu pilihan raya. Melihat dari rekod sejarah di atas, PR mampu maju menjadi sebuah gabungan politik yang berpotensi menduduki tampuk kuasa di Putrajaya sekiranya ia dapat memperkukuhkan kerjasama parti, melaksanakan janji-janji perubahan dan memajukan naratif alternatif yang dapat menyaingi naratif pembangunan dan penaungan BN.

Jika "Langkah Hadi dan PAS" terlaksana, parti-parti pembangkang akan kembali menjadi parti wilayah dan pinggiran yang hanya mendapat sokongan sekelompok kecil pengundi sahaja. PAS, umpamanya, hanya mampu menang beberapa kerusi di negeri-negeri Pantai Timur sebelum ia membentuk gabungan parti pembangkang pertama, Barisan Sosialis, pada tahun 1969.
Tetapi apabila kerjasama politik dalam kalangan pembangkang ini dibubarkan, prestasi PAS merudum teruk.

Ia kembali memberi saingan kepada BN apabila ia bergabung dengan Semangat 46 pada tahun 1990.
Penerimaan PAS semakin meningkat di bawah Barisan Alternatif dan PR. Sejak 2008, PAS, PKR dan DAP mentransformasi diri mereka menjadi sebuah parti politik yang benar-benar bersifat nasional dan inklusif berasaskan kejayaan PR meraih sokongan pengundi pelbagai etnik di seluruh negara dalam pilihan raya 2008 dan 2013.

Dengan runtuhnya PR, jerit perih pembangkang dan pengorbanan serta harapan majoriti pengundi Malaysia selama hampir sedekad akan menjadi sia-sia. Parti-parti pembangkang akan kembali menjadi parti pinggiran dan eklusif kepada kelompok kecil pengundi.


Nota: PAS menyertai gabungan parti baru yang dikenali sebagai Barisan Nasional pada tahun 1974.
 
Impak terhadap politik nasional dan golongan massa

Kejayaan pembangkang memberikan saingan sengit kepada BN dalam PRU12 membawa lembaran baru dalam politik Malaysia. Buat pertama kalinya, sistem satu parti dominan dicabar. Walaupun pembangkang belum dapat meraih kuasa di peringkat nasional, kejayaannya menafikan majoriti dua pertiga BN di Parlimen dalam PRU 2008 dan 2013 adalah bibit-bibit awal kepada wujudnya sistem dua parti di Malaysia.

Ini adalah penting supaya negara mempunyai sebuah kerajaan yang bersifat responsif dan telus serta pembangkang yang bertanggungjawab dan konstruktif. Sistem dua parti ini akan menjadikan suara rakyat lebih penting berbanding sistem satu parti dominan kerana rakyat benar-benar menjadi penentu kemenangan BN atau PR. Tetapi jika gabungan pembangkang runtuh, Malaysia akan kembali ke sistem satu parti dominan yang tidak mengendahkan kemahuan rakyat kerana parti pemerintah yakin yang ia tidak akan dikalahkan dalam pilihan raya. Inilah yang berlaku kepada Malaysia sebelum era reformasi tahun 1999.

Justeru, "langkah Hadi" bukan sahaja mampu menggoncang Selangor tetapi ia juga akan melakar perubahan kepada politik nasional dan nasib golongan massa. Implikasi inilah yang sering terlepas pandang oleh segelintir pemimpin pembangkang dan komentar di media sosial.
 
PAS dan Pakatan di persimpangan

Keputusan yang bakal dibuat oleh pimpinan PAS akan menentukan masa depan PR dan potensinya untuk bersaing secara efektif dalam pilihan raya yang akan datang. Sekiranya mereka memilih  "Langkah Hadi", maka mereka akan mengorbankan Selangor sebagai pangkalan kuasa PR.
Seterusnya, perpecahan dalam kalangan pembangkang akan memudahkan BN untuk mengembalikan semula sokongan rakyat dan terus kekal memerintah Malaysia untuk mungkin 50 tahun lagi.

Sekiranya pimpinan PAS berani dan memilih untuk bersama PR, parti Islam ini akan melakar sejarah negara dengan merealisasikan potensi untuk mencabar BN dan seterusnya mengekang pengaruh sistem feudal yang sudah bertapak untuk sekian lama.
Laluan ini amat sukar dan sekiranya mereka berjaya mengatasi kemelut politik di Selangor ini, semangat kesepakatan dan iltizam untuk menumpaskan BN akan membantu mereka dalam menghadapi pelbagai isu lain yang mampu menggugat PR (contoh: isu hudud, hak dan tuntutan Melayu/bukan Melayu).

Sekarang tiba masa untuk pimpinan PAS berani dan berpegang kepada harapan majoriti rakyat yang mahukan Malaysia baru. PAS wajib mengetepikan kepentingan peribadi dan politik sempit. Sebaliknya, ia wajib memilih matlamat yang lebih besar untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang adil, demokratik, inklusif dan mesra rakyat.

Inilah janji mereka dalam Pilihan Raya Umum 2013. Dalam Islam, janji wajib dikotakan. – 31 Julai, 2014.

[1] Punca pandangan ini pelbagai, ada yang menyarankannya sebagai taktik desakan kepada penjawat dalam kerajaan negeri Selangor yang tidak bersetuju Khalid digugurkan, ada pula yang benar-benar percaya PAS lebih berpegang kepada perjuangan Islamnya sekiranya berada di luar Pakatan Rakyat. 
(TMI)  

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Kemelut 'Langkah Kajang' yang melibatkan Khalid Ibrahim diturunkan sebelum habis tempuhnya, digantikan dengan Wan Azizah, rupanya seolah-olah dihalang oleh langkah baru yang dilebelkan sebagai 'Langkah Hadi'. 
 
Bahkan di jangka akan merebak melangkaui dan merangkumi 'Langkah Kajang Langkah ke Putrajaya'. Ini sangat dibimbangkan akan bertukar dari kemelut Selangor kepada kemelut nasional. 
 
Apakah tidak ada jalan selesai dengan perundingan dan toleransi menselaraskan tuntutan yang dikatakan 'Langkah Hadi' itu supaya se iring dengan 'Langkah Kajang' tersebut, seterusnya menuju Putrajaya?

Sepatutnya 'menselaraskan tuntutan' inilah yang akan dihasilkan oleh pertemuan 10 Ogos ini.

Lihat sebelum ini.. 
E-Buku IH-91: Langkah Kajang Langkah Sumbang?
E-Buku IH-91: Langkah Kajang Langkah Sumbang?

2 comments:

bat8 said...

Tuan,

Apa yang berlaku sekarang didalam PAS adalah kerana kelemahan Presiden sendiri. Memandang kita telah nampak dengan jelas bahawa terdapat segelintir pemimpin PAS begitu berminat untuk bekerjasama dengan UMNO. Kumpulan ini sejak mutakhir menggunakan platform Dewan Ulamak PAS Pusat untuk memporakperandakan Pakatan dari masa kesemasa. Yang terakhir mereka m3nimbulkan isu mengkaji semula tahalul siyasi dengan pakatan. Jika kita perhatikan ada saja isu yang ditimbulkan oleh puak UG ini untuk menyeruhkan persepsi umum terhadap pakatan. Tindakan-tindakan mereka ini bertujuan untuk mewujudkan persepsi bahawa pakatan rakyat tidak sepakat.

Muktamar PAS yang diadakan di Ipoh beberapa tahun lalu t3lah m3nolak kerjasama dengan UMNO. Tetapi puak UG ini seolah tidak terikat dengan keputusan tersebut. Mereka masih terus menimbulkan pelbagai pol3mik yang meletakkan pakatan dalam keadaan tidak aman. Depa timbul isu yang mereka tahu DAP tak setuju,k3mudian depa ajak DAP aka karpal singh bergaduh kat media.

Ingat tak pemilihan jawatan Timbalan Presiden, naib presiden dan pimpinan PAS lain yang lepas. Bagaimana puak UG ini cuba mewujudkan ia adalah persaingan antara agamawan dan profesional. Bagaimana kita lihat character assisination begitu menjolok mata sekali. Takubah seperti p3milihan UMNO. Cuma politik wang je kita blum dengar.

Dengan kenyataan terbaru TGHH, saya menjadi lagi k3liru sekarang. Tindakan TGHH itu melanggar segala etika dan konvensyen berorganasi. Dah tak masuk akal. Sekali terfikir begitu lemahkah TGHH sekarang? Dimana TGHH yang saya kenali sejak balik dari Mesir dulu. Kekadang timbul juga difikiran, dah masuk puak UG ke?

Wallahualam..

Mohd Shubhi said...

selesaikan lah elok-elok. Sayang kalau berterabur setelah mengharungi pahit getir bersama selama ini...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails