Friday, August 01, 2014

Hentikan 'Kemusnahan Sendiri' Dg Percepat Sidang 10 Ogos -Dr Dzulkefly



Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad berkata terlalu lama untuk menunggu 10 Ogos dan mesyuarat perlu segera diadakan. – Gambar fail, 1 Ogos, 2014.  
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad berkata terlalu lama untuk menunggu 10 Ogos dan mesyuarat perlu segera diadakan. – Gambar fail, 1 Ogos, 2014.  

Seorang lagi pemimpin PAS meminta agar persidangan dibuat segera oleh Majlis Presiden Pakatan Rakyat (PR) diadakan  bagi menghentikan 'kemusnahan sendiri' yang dilakukan ahli dan penyokong mereka sekarang.

"Segerakan Majlis Presiden Pakatan Rakyat bersidang untuk 'Menghentikan Kemusnahan' ini (Arrest the Self-Destruction)... tanpa semestinya menunggu melepasi 10 Ogos bagi menguruskan tuntutan krisis yang ganas ini.
"10 hari terlalu lama dalam politik, dan media Barisan Nasional (BN) saban masa memporak-perandakan serta merobek kesepaduan muafakat politik yang kita bina selama ini," kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad.

Sebelum ini, Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat mendesak pimpinan PAS mempercepatkan mesyuarat mereka tanpa perlu menunggu 10 Ogos depan untuk bermesyuarat seperti ditetapkan sebelum ini.

AJK PAS Pusat dijadualkan bermesyuarat 10 Ogos ini bagi membincangkan cadangan PKR untuk menukar Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan presiden mereka Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Cadangan itu dikemukakan PKR dalam mesyuarat Majlis Presiden PR pada 23 Julai lalu.

Ekoran cadangan itu, PAS dan DAP dalam satu kenyataan bersama berkata mereka akan membawa balik cadangan ini kepada parti masing-masing. Menurut Dzulkefly yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS (PPP), PR sekarang sedang mengalami fenomena "Self- Destruct Mode" atau 'mod memusnahkan diri sendiri' ekoran pertelingkahan dalaman sesama mereka.

"Pimpinan tertinggi harus segera menangani serta mengelakkan kesudahan perpecahan ini," kata beliau dalam satu surat terbuka kepada pucuk pimpinan dan pendokong PR.

Beliau berkata, sangat malang jika PR berakhir di sini, kerana umum mengetahui hanya inilah wadah yang menjadi harapan rakyat untuk mampu memberi 'check and balance' serta menggugat keangkuhan serta kebobrokan Barisan Nasional (BN) dalam urus tadbir negara serta Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) akan datang.

"Berpada-padalah saudaraku bahkan sebaiknya 'segera hentikan' dalam 'menyerang serta menembak sesama sendiri' kerana saudara sedang ditertawakan oleh seteru politik kita yang bertepuk-sorak serta mempergiat mengadu-dombakan bagi meretakkan lagi keutuhan serta perpaduan Pakatan Rakyat kini.
"Wajah-wajah saudara di dada akhbar mereka di muka depan! Aneh mengapa mereka memberi ruang kepada saudara... Ya... segera sedar dan insaflah... ruang diberi justeru kerana saudara menembak sesama sendiri... malang!" kata Dzulkefly.

Menurutnya, rakyat mengharapkan PR sedangkan mereka asyik bercakaran dan ditanggapi sebagai memperjuangkan kepentingan kelompok masing-masing dan bukan mengutamakan kemaslahatan rakyat dan kepentingan negara. – 1 Ogos, 2014. (TMI)

Lihat sebelum ini.. 
E-Buku IH-91: Langkah Kajang Langkah Sumbang?
E-Buku IH-91: Langkah Kajang Langkah Sumbang?

1 comment:

SuJeng said...

X payah sidang pun x per. Ikut jea ler kata org tua nyanyuk tu. Yg penting PAS brambus dr pakatan. Yea x tuan haji guru bla bla bla bla????????

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails