Tuesday, July 29, 2014

PKR Belum Berjaya Yakinkan Rakan Pakatan.


Pakatan HancurJika Krisis MB Selangor Tidak Selesai, Kata Penganalisis.

Penganalisis politik bersetuju dengan kekhuatiran dizahirkan kedua-dua DAP dan PAS tentang kebolehupayaan Pakatan Rakyat melalui krisis menteri besar Selangor.

Kata mereka, pertelingkahan yang berterusan antara ketiga-tiga parti itu menimbulkan persoalan sama ada Pakatan benar-benar layak mentadbir negara selaras aspirasi mereka menakluk Putrajaya.

Pengkaji bebas Ibrahim Suffian (gambar) memberi amaran sekiranya Pakatan tidak memperbaiki hubungan mereka dan berdiri sebagai satu barisan, isu siapa yang boleh mentadbir negeri terkaya di Malaysia ini berpotensi memecahbelahkan gabungan itu.

"Kalau mereka tidak boleh mencapai persetujuan tentang siapa bakal calon menteri besar, saya rasa susah untuk Pakatan meneruskan kelangsungannya.
"Kedua-dua PKR dan DAP hendak Khalid keluar, sementara PAS sendirian dalam menyokong Khalid," kata ketua Merdeka Center itu kepada The Malaysian Insider.

Di tengah-tengah usaha untuk menukar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang terang-terangan mengumumkan sokongannya terhadap menteri besar yang sudah masuk penggal kedua itu, mengatakan Khalid tidak pernah mengkhianati amanah rakyat. Pendirian Hadi disokong pemimpin berpengaruh parti Islam itu, Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ini membuatkan situasi makin bercelaru kerana Pakatan pada hari Rabu bersetuju yang Selangor perlukan seorang menteri besar baru. Disebabkan itu, Ibrahim berkata PAS telah letakkan dirinya dalam keadaan yang rapuh dan mungkin sedang menuju satu krisis kepimpinan. Dewan Ulama parti itu juga menyatakan sokongan terhadap Hadi dan ini boleh memberi kesan besar kepada parti sehingga ke tahap melumpuhkannya, memandangkan satu kumpulan pemimpin lagi bersetuju bekas ahli korporat, Khalid, itu mesti turun daripada jawatannya.

"Memandangkan ahli PAS agak berdisiplin dan patuh kepada pemimpin selari tuntutan agama, kenyataan Hadi sangat berpengaruh terhadap ahli parti dalam menentukan sama ada hendak menyokong keputusan presiden atau keputusan parti," kata Ibrahim.

Keadaan tidak bertambah baik apabila tiada langsung pemimpin PKR – kecuali Setiausaha Agung Datuk Saifuddin Nasution Ismail – yang bersuara selepas Hadi mengumumkan pendiriannya.

"Saya tidak akan membuka mulut sebab kami akan selesaikan hal ini. PKR sudah buat keputusan, jadi kami akan berpegang dengan keputusan itu kerana Majlis Pimpinan Pakatan menghormati kenyataan yang jawatan menteri besar Selangor adalah hak PKR," kata Rafizi Ramli kepada The Malaysian Insider.

Pengarah Centre for Policy Initiative Dr Lim Teck Ghee menyenaraikan tiga akibat keserabutan politik yang sedang berlaku ini, iaitu: gabungan yang retak, PKR yang semakin lemah dan reputasi yang tercemar.

Dia berkata Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan begitu juga Khalid, mesti bertanggungjawab atas apa yang kelihatan seperti letupan PKR dan mungkin Pakatan juga, sekiranya penutup wayang politik yang panjang ini tidak diuruskan dan diselesaikan dengan baik.

"Terlalu awal untuk dikatakan apa kesannya terhadap pilihan raya tetapi ia membawa kepada berkurangnya sokongan terhadap Pakatan di Selangor seperti dapat dilihat dalam kajian baru-baru ini," katanya kepada The Malaysian Insider dalam satu emel.
"Bahaya yang lebih dahsyat untuk Pakatan ialah kesannya nanti terhadap negeri lain dan pada peringkat negara."

Sementara pemimpin PAS jelas berpecah dalam hal ini, penganalisis berkata ia tanda yang PKR masih belum berjaya meyakinkan rakan-rakannya di dalam Pakatan.

"Anwar sudah 'checkmated' dalam penukaran MB," katanya sambil menambah PAS, PKR dan DAP mesti bertemu untuk mencapai satu solusi, sama ada membenarkan Khalid untuk terus berkhidmat hingga habis penggalnya, memaksanya berhenti atau apa saja solusi lain.

"Kedua-dua Anwar dan Khalid mesti mematuhi keputusan itu demi untuk kebaikan PKR dan Pakatan, dan demi mempertahankan apa yang tinggal pada Pakatan dari segi maruah dan integriti politiknya."

Menurut Ketua Eksekutif Institute for Democracy and Economic Affairs (Ideas), Wan Saiful Wan Jan, pertelingkahan yang berterusan mengenai jawatan menteri besar Selangor akan membuat rakyat fikir dua kali tentang kemampuan Pakatan mentadbir negeri dan negara.

Sementara isunya bermula dari PKR yang memperkenalkan Langkah Kajang bertujuan menjadikan Anwar sebagai menteri besar menggantikan Khalid, Wan Saiful juga menyalahkan Hadi kerana merosakkan reputasi Pakatan. Katanya bekas menteri besar Terengganu itu memilih untuk membelakangkan pemimpin partinya yang diamanahkan menghadiri mesyuarat pimpinan Pakatan itu, dan sebaliknya menerima penerangan yang salah dari penasihatnya.

Mesyuarat pada Rabu itu dihadiri enam ahli PAS Pusat iaitu Timbalan Presiden Mohamad Sabu, Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali, Naib Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Husam Musa, Ketua Pemuda Suhaizan Kayat dan AJK Pusat Dr Hatta Ramli.

"Semuanya bermula dari PKR dan Hadi hanya memburukkan lagi keadaan," kata Wan Saiful.

Professor James Chin dari Monash University Malaysia merasakan Anwar salah dalam menguruskan hal itu, dan terlebih campurtangan dalam hal menteri besar Selangor itu. Kegagalan PKR melibatkan sepenuhnya PAS dan DAP dari awal dalam hal menukar menteri besar mengakibatkan pertelingkahan ini, katanya.

"Ia tidak akan memecahkan Pakatan tetapi akan membuat pengundi Selangor lebih marah.
“Sekiranya Khalid kekal sebagai menteri besar hingga pilihan raya umum akan datang, Pakatan mungkin akan kehilangan negeri itu," katanya. – 28 Julai, 2014 (TMI)

Lihat sebelum ini.. 
E-Buku IH-91: Langkah Kajang Langkah Sumbang?
E-Buku IH-91: Langkah Kajang Langkah Sumbang?

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails