Sunday, October 03, 2021

Ulama tolak dakwaan vaksin Covid-19 agenda Yahudi

 

"..dakwaan itu tidak berasas, di mana pihak terbabit tidak mampu memberikan sebarang bukti." -Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh 

PASIR PUTEH: Dewan Ulamak PAS Pusat menolak dakwaan pihak tertentu yang mengatakan vaksin Covid-19 sebagai sebahagian agenda Yahudi.

Ketuanya Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, dakwaan itu tidak berasas, di mana pihak terbabit tidak mampu memberikan sebarang bukti.

Malah kata beliau sikap kumpulan terbabit tidak perlu dilayan.

Vaksin yang dihasilkan sekarang bagi mencegah dan mengurangkan gejala Covid-19 dan ia sudah dibuktikan di seluruh dunia.

“Sehingga sekarang tiada kaedah lain yang boleh dilakukan bagi membendung wabak tersebut selain menggunakan vaksin yang ada sekarang.

“Malah mengikut data yang ada sebanyak 95 peratus jumlah kematian akibat Covid-19 di seluruh negara membabitkan mereka yang enggan mengambil vaksin,” katanya kepada pemberita pada program AiVAC Dos Kedua di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerak di sini, hari ini.

Rabu lepas Exco kerajaan Kelantan Dr Izani Husin mendedahkan terdapat 27,000 rakyat di negeri itu tidak mahu menerima vaksin kerana masalah kesihatan dan tanpa ada alasan munasabah.

Dr Nik Muhammad Zawawi yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 11 berkata, sebelum ini terdapat juga segelintir kakitangan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) enggan menerima suntikan vaksin.

“Tetapi selepas saya memberi penjelasan secara panjang lebar tentang kebaikan vaksin akhirnya mereka menerima. Sehingga sekarang tiada lagi suara-suara sumbang yang cuba menghalangnya,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pasir Puteh.

Oleh itu beliau berharap semua pihak berganding bahu untuk memberi penjelasan mengenai kebaikan vaksin sebagai usaha bagi mencegah penularan wabak Covid-19.

Lagi pun kata beliau, kadar jangkitan harian di Kelantan sekarang antara negeri yang masih tinggi.

“Saya merayu penduduk Kelantan khususnya di Pasir Puteh yang belum mendapatkan suntikan hendaklah segera berdaftar kerana setakat ini tiada kaedah lain bagi mencegahnya Covid-19,” ujarnya.

Sementara itu pada program AiVAC tersebut sebanyak 544 penduduk yang terdiri daripada petani, nelayan, peladang, orang awam dan pelajar berdaftar untuk menerima vaksin Covid-19.

Program itu diadakan selama dua hari, sebahagian usaha bagi meningkatkan kadar vaksinasi di Kelantan. – HARAKAHDAILY 1/10/2021

Sila lihat..
Rentas Mendunia.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails