Friday, October 08, 2021

RUU355, dibentangkan pada 12 hingga 14 Oktober ini .. -Idris Ahmad

 


RUU355, RUU Kawalan: Kebebasan beragama bukan Islam tidak disekat

KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) Pindaan 2021 (RUU355) dan RUU Kawalan dan Sekatan Pengembangan Doktrin atau Kepercayaan Agama dalam Kalangan Orang Islam 2021 (RUU Kawalan) tidak menyekat kebebasan agama orang bukan Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, kedua-dua RUU berkenaan merupakan sekatan pengembangan doktrin atau kepercayaan agama dalam kalangan orang Islam sahaja.

“RUU ini bukan bertujuan untuk menyekat kebebasan beragama dari kalangan orang bukan Islam.

“Orang bukan Islam bebas untuk menyebarkan agama mereka di kalangan mereka, tidak di kalangan orang Islam,” katanya menjawab soalan tambahan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, menurut Idris, RUU itu akan dibentangkan dalam Persidangan Penyelarasan Undang-Undang Syarak dan Sivil negeri pada 12 hingga 14 Oktober ini setelah dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Sepanjang tahun 2020 dan 2021, Jawatankuasa Teknikal mengadakan beberapa siri perbincangan untuk memperkasakan bidang kuasa jenayah mahkamah syariah.

“Perbincangan itu ditumpukan kepada aspek perlembagaan, undang-undang dan hukum syarak agar RUU 355 itu lebih komprehensif,” katanya.

Menurutnya lagi, Jawatankuasa Teknikal turut menubuhkan sebuah jawatankuasa kecil khusus bagi meneliti RUU Kawalan secara lebih mendalam.

Katanya, beberapa siri perbincangan turut dilakukan untuk mencadangkan penambahbaikan terhadap RUU Kawalan bagi memastikan ia selaras dengan Perlembagaan Persekutuan. – HARAKAHDAILY 6/10/2021

Sila lihat siri PRN Melaka:

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails