Saturday, October 09, 2021

DAP bantah larang arak kerana 'wajah Malaysia'?

 



Had jual arak: DBKL boleh contohi peraturan di Kelantan -Shahidan Kassim

KOTA BHARU: Langkah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mahu menguatkuasakan peraturan bagi menghadkan penjualan minuman keras di Kuala Lumpur disambut baik pelbagai pihak.

DBKL sebelum ini mengumumkan menguatkuasa larangan menjual arak di kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai ubat Cina berkuatkuasa 1 Oktober, namun ditangguh sehingga akhir bulan ini.

Dengan pelaksanaan peraturan baharu itu Lesen Minuman Keras (LMK) tidak lagi dikeluarkan kepada premis terbabit.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Shahidan Kassim pada persidangan Dewan Rakyat semalam, pelaksanaan peraturan itu ditangguh sementara bagi membolehkan lebih banyak libat urus diadakan.

Beliau berkata dalam merangka garis panduan tersebut, satu sesi libat urus dilakukan DBKL untuk mendapatkan pandangan daripada persatuan terlibat dan badan bukan kerajaan.

“Walaupun pelaksanaan garis panduan itu ditangguhkan, namun larangan penjualan arak masih kekal, masyarakat bukan Islam masih boleh mendapatkan minuman itu di lokasi dibenarkan,” katanya.

Menurutnya juga orang ramai menyatakan kegusaran dan rungutan terhadap aspek keselamatan berikutan peningkatan masalah sosial disebabkan kemudahdapatan minuman keras.

“DBKL mengambilkira pandangan termasuk bantahan dan rayuan daripada pihak terlibat, DBK menetapkan tarikh pelaksanaan garis panduan baru ini ditangguhkan sehingga 31 Oktober,” katanya.

Bagaimanapun langkah DBKL itu dibantah pemimpin DAP termasuk Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok yang menyatakan Kuala Lumpur mempunyai penduduk berbilang kaum dan seharusnya menunjukkan ‘wajah Malaysia’.

Kata beliau di parlimen garis panduan untuk kedai Cina tidak adil kerana banyak produk herba mengandungi minuman keras dan merupakan sebahagian daripada produk kesihatan.

Mengulas isu tersebut pemangku Yang Dipertua PAS Titiwangsa, Ustaz Suhaimi Abdul Aziz berkata, pihaknya bersedia untuk terlibat dalam sesi libat urus yang dilaksanakan DBKL berhubung isu penjualan arak di Wilayah Persekutuan.

Kata beliau sekarang akses orang ramai terhadap minuman tersebut sangat mudah, malah lebih membimbangkan penglibatan anak-anak muda Islam dalam gejala terbabit.

“Garis panduan ditetapkan itu untuk menghadkan penjualan minuman keras, kita amat menyambut baik kerana sebelum ini kita dapati memang ia dijual terbuka.

“Dan jika kita dipanggil untuk terlibat dalam sesi libat urus yang dilakukan DBKL kita akan beri cadangan sepatutnya selaras dengan agama,” katanya ketika dihubungi.

Kata beliau juga DBKL perlu tegas terhadap perkara tersebut dengan mengambil contoh peraturan yang dikuatkuasa di Kelantan sejak 1990 sehingga sekarang.

Menurutnya Kelantan menghadkan lessen premis menjual arak berdasarkan jumlah penduduk bukan Islam dan tidak boleh dijual secara terbuka.

Beliau berkata, peraturan itu diterima masyarakat bukan Islam di Kelantan kerana mereka masih boleh membeli minuman keras di premis yang ditetapkan. HARAKAHDAILY 8/10/2021

5. 

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails