Tuesday, October 05, 2021

'Tak perlu PRN, pemimpin PH juga boleh ketuai Melaka' - Idris Haron

 

Datuk Seri Idris Haron

MASJID TANAH: Pemimpin Pakatan Harapan (PH) perlu diberi peluang mengetuai Melaka, selepas Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, hilang majoriti susulan langkah empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik balik sokongan kepada kepemimpinannya semalam.

ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron, yang turut menarik sokongan kepada kepemimpinan Sulaiman, menegaskan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak perlu diadakan, kerana Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan diadakan dalam tempoh setahun setengah saja lagi.

Justeru itu, katanya, secara peribadi beliau menolak cadangan UMNO yang mahukan PRN diadakan bagi menyelesaikan kemelut politik negeri.

"Jika PRN ingin diadakan, ia membabitkan banyak perkara yang harus kita pertimbangkan kerana kita masih dalam pandemik COVID-19 dan ia menyebabkan risiko lebih tinggi. Ia juga membabitkan kos perbelanjaan yang tinggi.

"Selain itu, PRU-15 sudah dekat, lebih kurang setahun setengah saja lagi dan kita tidak mahu apa yang berlaku pada PRN Sabah sebelum ini berulang di tempat kita yang menyaksikan jumlah pesakit COVID-19 naik mendadak," katanya kepada BH, hari ini.

Bagaimanapun, Idris menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam sama ada mahu membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) atau memilih Ketua Menteri yang baharu dalam kalangan pemimpin PH.

Beliau menegaskan, jika pemimpin PH dipilih menjadi Ketua Menteri, beliau yakin Melaka akan tetap dimajukan, bukannya diundurkan 20 tahun.

"Kalau PH bentuk kerajaan, takkanlah kita hendak jadikan Melaka mundur, sudah tentulah kita majukan negeri kita ini," katanya.

Idris juga enggan mengulas mengenai parti mana yang akan disertai beliau bersama tiga lagi ADUN yang terbabit dalam langkah menarik sokongan semalam.

Semalam, selain Idris, yang turut mengumumkan menarik sokongan terhadap Sulaiman ialah ADUN Pantai Kundor dari BN, Datuk Nor Azman Hassan; Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

Berikutan itu, Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, dilaporkan akan mencadangkan kepada Mohd Ali supaya membubarkan DUN bagi membolehkan PRN diadakan.

Ab Rauf berkata, UMNO Melaka sedia menghadapi PRN dan BN komited mempertahankan kerajaan negeri.

Turut mencadangkan agar PRN diadakan ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sebelum penarikan sokongan keempat-empat ADUN terbabit, UMNO memiliki 14 kerusi manakala BERSATU (2) dan Bebas (1). PH mempunyai 11 kerusi.

Bagaimanapun, dengan penarikan sokongan empat ADUN terbabit, UMNO sekarang hanya mempunyai 12 kerusi manakala BERSATU (1).

Jika keempat-empat ADUN terbabit sah menyertai PH, maka PH mempunyai 15 kerusi, iaitu empat melebihi UMNO dan BERSATU. (BH)

2 comments:

Anonymous said...

Deris yang mula tetiba Deris yang yang tarik hand brek... Memalu.pulak nak dilantik jadi Ketua Memteri..

Pada Deris ini peluang terakhir kau jadi YB... dan pada 'BELIAU' ada masa beberapa bulan saja ada title YB...

lepas tu suma boleh melingkup...

Rakyat fed up.. UMNO bagi peluang muhasabah diri dia orang masih tak nak berubah... perasan UMNO masih kuat dan gagoh..!!

Time out Deris...!!

zack said...

Idris ni pengkhianat je, muka pun tak ada tokoh org berwibawa pun, mcmnana dulu boleh jadi km aku pun heran,politik wang agaknya.. Apa ke bodoh nk serah pd PH yg musuh politik umno, mmg dah bodoh bangang org mcm ini diharap jgn undo lgi, negeri bahkan negara dijual jika berkuasa,betul jgk kata org muka huduh kebanyakkan hati dan perangai pun huduh..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails