Tuesday, October 05, 2021

'Saya kecewa dengan keadaan ini' - Sulaiman

 

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali (dua dari kanan) ketika sidang media kemelut politik mengenai empat ADUN Kerajaan hilang kepercayaan pada Ketua Menteri Melaka di Villa D'Aqua, Masjid Tanah. - NSTP/Syafeeq Ahmad

MASJID TANAH: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali kecewa dengan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang beralih arah menyokong Pakatan Harapan (PH) menjatuhkan kerajaan negeri.

Beliau berkata, ini kerana tindakan terbabit memusnahkan usaha yang dilakukan secara bersama sebelum ini dalam membendung penularan wabak COVIC-19 serta memulihkan ekonomi negeri.

"Sudah pasti (kecewa), dalam keadaan yang agak sukar ketika ini, masing-masing berusaha memulihkan ekonomi dan kesihatan, mereka juga lakukan kerja yang sama, akhirnya mereka runtuhkan semula.

"Kita baru beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN), tujuan kita nak bekerjasama bagi memulihkan ekonomi dan kesihatan, (tetapi) mereka sendiri yang merobeknya," katanya pada sidang media di Kampung Pulau, di sini hari ini.

Sementara itu, Sulaiman berkata, buat masa ini kerajaan negeri pimpinannya akan menjalankan tugas seperti biasa sehingga ke satu masa yang ditentukan kelak.

"Setakat ini kita buat kerja seperti biasa demi kepentingan rakyat," katanya.

Sebelum ini, bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron, bersama tiga lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Bebas mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali, berkuat-kuasa hari ini.

Tiga ADUN terbabit adalah Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

Surat pemakluman mengenai perkara itu serta peletakan jawatan Idris, Noor Effandi dan Norhizam Hassan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), yang bertarikh 30 September lalu diserahkan kepada Sulaiman di Pejabat Ketua Menteri Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh, pagi tadi.

Idris yang juga ADUN Sungai Udang berkata, penarikan sokongan itu berikutan ketidakyakinan mereka terhadap beberapa keputusan kerajaan negeri yang 'flip-flop' serta tidak dilaksanakan dengan sempurna.(BH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails