Sunday, October 03, 2021

RMK12: Pusat tidak lagi pinggir Kelantan

 

"..RM25.8 bilion diperuntukan bagi menambah baik liputan dan perkhidmatan air selain menjamin bekalan dan kemampanan.." -MB K'tan.

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob kerana tidak meminggirkan negeri itu di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, Kelantan turut disenaraikan antara enam negeri yang akan diberi tumpuan utama dalam RMK12.

Katanya agihan peruntukan pembangunan yang dibentangkan di bawah RMK12 menunjukkan keprihatinan kepimpinan perdana menteri memberi keutamaan kepada negeri itu.

“Kita sangat berpuas hati dengan pembentangan RMK12 kerana kerajaan Persekutuan tidak meminggirkan Kelantan yang kurang membangun termasuk juga Perlis, Sabah, Sarawak, Kedah dan Terengganu.

“Malah, kerajaan juga meletakkan Kelantan antara enam negeri akan diberi tumpuan melalui RMK12,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) di Kota Darulnaim di sini hari ini.

Ketika membentang RMK12 Isnin lepas perdana menteri mengumumkan peruntukan RM400 bilion bagi tujuan pembangunan termasuk Projek Central Spine Road (CSR) bermula Simpang Pelangai Bentong, Pahang ke Kuala Krai Kelantan.

Projek itu dijadualkan siap sepenuhnya pada tahun 2025. Begitu juga lebuh raya Kota Bharu ke Kuala Krai dijangka siap pada 2025.

Ahmad juga berkata, menerusi Agenda Transformasi Sektor Air 2040 yang diketengahkan kerajaan diharap dapat memberi manfaat kepada seluruh rakyat Kelantan.

Katanya, sebanyak RM25.8 bilion diperuntukan bagi menambah baik liputan dan perkhidmatan air selain menjamin bekalan dan kemampanannya. – HARAKAHDAILY 29/9/2021

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails