Friday, August 20, 2021

MoU tidak nyata projek terowong dibuat secara tender terbuka

 

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu bahawa bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, memaklumkan dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan (MMK) Negeri Pulau Pinang bahawa projek pembinaan jalan utama dan terowong di negeri itu ditawarkan secara tender terbuka.

Bekas Exco Pulau Pinang Datuk Lim Hock Seng, 73, berkata semasa MMK negeri pada 27 April 2011 ada catitan yang menyatakan bahawa, Lim menyatakan ada tender terbuka berhubung projek itu sebelum beliau pergi ke China.

Bagaimanapun Hock Seng berkata, dalam dua perjanjian persefahaman (MoU) ditandatangani di antara kerajaan negeri dengan Beijing Urban Construction Group Sdn Bhd (BUCG) sekitar 2011, tidak menyatakan projek itu dibuat melalui tender terbuka.

Menurut Hock Seng, selepas MoU dimeterai projek itu diberikan kepada Consortium Zenith Bejing Urban Construction Group Sdn Bhd (CZBUCG), yang merupakan syarikat usaha sama dengan BUCG.

Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin, pada hari keenam perbicaraan kes rasuah Lim yang berdepan empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di negeri itu.

Saksi pendakwaan ketiga  itu berkata, beliau kemudian bertemu dengan Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli yang ketika itu Pengarah Urusan CZBUCG, dan memaklumkan pertemuan mereka kepada MMK negeri.

“MMK negeri yang dipengerusikan oleh Lim, kemudian mengarahkan satu kertas kerja cadangan projek terowong dasar laut dan jalan-jalan utama di negeri itu, dikemukakan untuk pertimbangan,” katanya.

Sebelum ini dalam penyataan saksinya, Hock Seng memberitahu mahkamah bahawa Iklan Pre-Qualification (Prakelayakan), berhubung tender projek itu melalui laman web Kerajaan Negeri dibuat pada 11 Nov 2011, manakala iklan melalui akhbar tempatan dibuat 15 Nov 2011.

Hock Seng berkata, lapan syarikat berjaya melepasi syarat prakelayakan iaitu China State Construction Engineering Corporation Ltd & VST Cemerlang Sdn Bhd, Setia Precast Sdn Bhd, ECK Construction Sdn Bhd, Gamuda Berhad, Zambina Wawasan Sdn Bhd, IJM-CRGL Joint Ventures, Consortium Zenith BUCG Juteras & Sri Tinggi JV dan WCT Daewoo Joint Ventures.

Bagaimanapun, CZBUCG telah dilantik bagi menjalankan projek pembinaan jalan utama dan terowong di negeri itu, kerana syarikat berkenaan mendapat ‘markah tertinggi’ bagi keseluruhan penilaian teknikal dan kewangan.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Lim, 60, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta, dengan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik bagi melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang, yang bernilai RM6,341,383,702.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim dituduh meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul sebagai upah, bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama, dan perbuatan itu didakwa dilakukan berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Ahli Parlimen Bagan itu juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta, dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri tersebut, yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azur Alwi bersambung esok. – BERNAMA

Komen Weblog Ibnu Hasyim:  Kriook! Krioook! Kriook! Bunyi daun pintu mahkamah Malaysia. Rupanya kepala cicak 'biang keladi' dalam politik negara sudah mula terapit tersepit di balik pintu. Badan cicak mula menggelupur akan jatuh. 

Tapi ekornya jatuh dulu. Tuu, sedang kelupoq di lantai. Barua atau ekornya sedang pertahankan. Terkodek-kodek! Biar badan rebah, misai jangan mencecah tanah. Biar dada meleciaq, janggut jangan cecah pasiaq!

Ikutilah siri-siri terkini kes rogol berikut..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails