Saturday, August 21, 2021

PARALIMPIK: Tokyo mungkin penampilan terakhir Dik Wan

 

Gambar fail - Jaguh pecut para negara, Mohd Ridzuan Puzi meraikan kejayaan ketika memenangi emas acara 100 meter T36 di Rio de Janeiro lima tahun lalu.

SUKAN

KUALA LUMPUR: Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo mungkin menjadi penampilan terakhir buat jaguh pecut para negara yang juga juara bertahan bagi acara 100 meter (m) T36, Mohd Ridzuan Puzi.

Justeru, ketua jurulatih olahraga para negara, R Jeganathan mengharapkan anak buahnya itu dapat menutup kempen di Tokyo dengan senyuman sekalipun sedar bakal berdepan cabaran sengit dalam mempertahankan pingat emas yang dimenanginya di Rio itu.

"Dik Wan adalah antara atlet paling senior pada temasya kali ini dan pencabar utamanya lebih muda seperti atlet dari Australia, James Turner dan atlet dari China, Yang Yifei. Dik Wan pun sekarang berada pada ranking keempat dunia.

"Tetapi saya yakin dia tidak akan pulang tangan kosong dan sekurang-kurangnya akan membawa pulang pingat juga, cuma tidak tahu apa warnanya nanti," katanya.

Sebagai rekod, Ridzuan muncul atlet para pertama negara yang merangkul pingat emas di Sukan Paralimpik selepas melakukancatatan 12.07 saat pada temasya di Rio 2016.

Dalam perkembangan sama, Jeganathan mengakui persiapan untuk ke temasya kali ini perlu dilakukan dengan cara berbeza selepas mengambil kira faktor usia Ridzuan yang tidak memungkinkan untuk mengharungi latihan seperti ke Rio, lima tahun lalu.

"Sesi latihan pun tidak lagi boleh (dibuat) seperti dahulu kerana dia sudah berusia, ototnya sudah mengeras dan tegang. Tetapi saya tahu dia akan tetap memberikan yang terbaik untuk negara.

"Tekanan itu memang ada kerana kita memiliki reputasi tinggi dalam melahirkan juara dunia. Kita akan menjadi tumpuan dan ini antara cabaran yang perlu kita lalui di Tokyo," katanya.

INFO
Nama: Mohd Ridzuan Puzi
Tarikh lahir: 27 September 1987 (33)
Tempat lahir: Padang Besar, Perlis
Tinggi: 1.68m
Sukan: Trek dan padang
Kategori: T36 (celebral palsy)
Acara: Pecut
Pencapaian:
Sukan Paralimpik -
Rio 2016 - Emas 100m

Kejohanan Olahraga Para Dunia -
Doha 2015 - Emas 100m
London 2017 - Perak 100m

Sukan Para Asia
Incheon 2014 - Emas lompat jauh, perak 100m dan 200m
Jakarta 2018 - Emas 100m, 400m dan lompat jauh

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails