Tuesday, August 17, 2021

Wakil PAS mengadap Agung &5 Nama calon PM.

 

1. Tuan Ibrahim wakili Presiden PAS menghadap Agong.

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man dijangka akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, pada jam 2.00 petang hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, beliau akan membawa amanah Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan mewakili parti itu bagi mencadangkan pendirian parti menghadapi kemelut politik yang berlaku hari ini.

Beliau turut menyeru ahli-ahli dan Penyokong PAS supaya bertenang dan mendapatkan maklumat rasmi parti dari sumber sebenar.

Dalam situasi getir sebegini, amalan zikir adalah yang terbaik untuk dipraktikkan, katanya dalam satu hantaran Facebook. sebentar tadi. – HARAKAHDAILY 17/8/2021

2. Tumpuan ke Istana Negara, sekurang-kurang 5 nama besar calon PM
Dari kiri: Tengku Razaleigh Hamzah, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Shafie Apdal.

y

KUALA LUMPUR: Sorotan penting politik negara hari ini lebih tertumpu kepada Yang di-Pertuan Agong apabila ketua-ketua parti akan dipanggil menghadap dipercayai bagi menentukan calon Perdana Menteri kesembilan serta proses pembentukan kerajaan baharu.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijangka menerima menghadap ketua-ketua parti utama di Istana Negara, bermula jam 2 petang ini.

Dalam sesi menghadap itu, mereka dijangka mempersembahkan nama-nama calon Perdana Menteri baharu, sekali gus membolehkan Seri Paduka mendapat gambaran jelas berkenaan tahap sokongan ahli-ahli Parlimen terhadap calon berkenaan.

Ini susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam sebagai perdana menteri selepas beliau kehilangan kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Peletakan jawatannya itu diperkenankan Yang di-Pertuan Agong namun baginda berkenan Muhyiddin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sementara atau 'caretaker' sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.

Keputusan beliau dibuat selepas 15 Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan, manakala cadang kerjasama rentas parti dengan Parikan Nasional (PN) pimpinannya tidak mendapat sokongan pembangkang.

Berikutan itu, antara pemimpin politik yang dicanangkan sebagai bakal calon Perdana Menteri ialah Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ahli Parlimen Sembrong, Hishammuddin Hussein.

Desas-desus turut mengaitkan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Andaikan itu dibuat pemerhati dan penganalisis politik yang berdasarkan kepada sokongan dan kedudukan parti dan gabungan masing-masing, selain bersandarkan pengalaman lama yang dimiliki mereka.

Namun, untuk menjadi Perdana Menteri, mereka sekurang-kurangnya memerlukan sokongan majoriti mudah 111 daripada Ahli Parlimen bagi menubuhkan kerajaan baharu.

Ketika ini Dewan Rakyat mempunyai 220 Ahli Parlimen daripada 222 kerusi kerana dua kerusi lagi masih kosong berikutan kematian penyandangnya.

Bagaimanapun pada masa ini, setiap blok parti politik dikatakan masih berdepan kebuntuan kerana tiada satu pun mempunyai majoriti itu melainkan mereka berkompromi untuk mengukuhkan kedudukan dan membentuk jajaran baharu.

Selain lima tokoh itu, nama Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut disebut-sebut, namun malam tadi Presiden UMNO itu mengatakan beliau tidak berminat.

Begitu juga dengan Muhyiddin yang masih berpeluang untuk membuat kemunculan semula.

Partinya, BERSATU dalam mesyuarat semalam menyerahkan kepada beliau untuk menentukan calon pengganti dan pada masa sama tidak menolak kemungkinan Muhyiddin memegang jawatan itu sekali lagi.

Di atas kertas, PN mempunyai peluang yang lebih baik untuk mencapai majoriti kerana pada masa ini mereka hanya kurang 11 sahaja kerusi.

Di sinilah Ahmad Zahid mempunyai kuasa tawar menawar yang kuat kerana kem beliau memiliki 15 ahli UMNO bersama-samanya.

Jika gagal mencapai kompromi bersama PN, beliau boleh beralih kepada blok Pakatan Harapan (PH) namun ia tetap tidak mencapai angka 111 ahli Parlimen yang diperlukan.

Pemerhati politik turut berpendapat, sekiranya itu berlaku, Pakatan Harapan (PH) perlu mendapatkan bantuan daripada parti WARISAN yang diketuai Mohd Shafie, mungkin dengan cara menawarkan jawatan Perdana Menteri kepada beliau.

Pakar perlembagaan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof, berkata sekiranya kebuntuan tidak dapat dirungkai, Yang di-Pertuan Agong boleh memberi masa selama satu atau dua hari kepada pemimpin-pemimpin politik untuk membuat rundingan bagi mencapai majoriti.

Rundingan itu sama ada untuk membentuk kerajaan minoriti bersama perjanjian kepercayaan dan belanjawan (CSA), kerajaan campuran, atau kerajaan perpaduan.

Katanya, jika masa dua hari telah tamat tetapi belum ada keputusan yang meyakinkan, sewajarnya tidak perlu ada penangguhan untuk terus memilih langkah seterusnya iaitu melantik Perdana Menteri baharu yang 'pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan ahli-ahli Dewan Rakyat' walau pun tiada bukti jelas telah mendapat mendapat kepercayaan berkenaan.

"Perkataan 'pada hemat' dan 'mungkin' ini disebut dalam Perkara 43(2) (a) Perlembagaan Persekutuan dan ia memberikan kelonggaran kepada Seri Paduka untuk melantik Perdana Menteri yang mampu berusaha untuk mendapatkan sokongan kepercayaan anggota Dewan Rakyat selepas dilantik.

"Kelonggaran ini wajar digunakan selepas pilihan lain gagal, namun ia tertakluk kepada prinsip kesaksamaan, ketelusan, persefahaman dan had tempoh," katanya.

Beliau menjelaskan, kesaksamaan bermaksud hak berkenaan perlu diberikan kepada calon yang memiliki sokongan yang terbesar walau pun tidak mencapai majoriti. Katanya, ketelusan pula bermaksud maklumat sokongan yang diperoleh itu perlu diketahui secara umum atau sekurang-kurangnya antara calon-calon yang terlibat.

"Persefahaman pula ialah pelantikan itu perlu disusuli dengan satu hasrat untuk memberikan peluang kepada calon yang dilantik untuk melaksanakan tanggungjawab tanpa diganggu-gugat oleh pihak-pihak lain demi untuk kebaikan rakyat.

"Selain itu mandat yang diberikan perlu dihadkan untuk satu tempoh yang sesuai sebelum diadakan Pilihan Raya Umum (PRU) apabila wabak telah reda," katanya.

Muhammad Fathi berkata, dua lagi pilihan yang ada untuk memecahkan kebuntuan ialah pembubaran Parlimen diikuti PRU-15 dalam masa 60 hari jika sitasi semasa adalah selamat untuk dilaksanakan.

"Pilihan terakhir ialah Proklamasi Darurat di bawah Perkara 150 untuk mewujudkan pemerintahan teknokrat atau apa sahaja bentuk pemerintahan yang dikehendaki oleh Yang di-Pertuan Agong," katanya.

(IH)

1 comment:

Anonymous said...

Nampaknya game Tun sudah dibaca oleh Mahyuddin dan PN . Kuasa penentu bukan berpihak pada Tun dan Mukhriz dan sebagai penentu. Malam ini tawar menawar dan katak katak saling lompat melompat.

Selamat tinggal PejWang gud bye Tun dan Boboi.... Nasib kau Boboi dan Tun tak mudah selepas ini.

Ditelan mati boboi diluah pun boboi mati.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails