Sunday, August 15, 2021

Pembangkang sepakat calonkan Anwar sebagai PM, akan bertemu malam ini

 


Semua parti pembangkang termasuk Pejuang dan Warisan telah mencapai kata sepakat untuk mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri. 

Ini bermakna Anwar melepasi halangan pertama beliau iaitu mendapat mandat dari semua parti-parti pembangkang untuk dicalonkan sebagai perdana menteri. 

Sehubungan itu, satu pertemuan dijangka akan berlangsung malam ini di ibu pejabat sebuah parti politik di ibu negara bagi membuat sentuhan terakhir mengenainya selepas perbincangan berasingan berlaku sepanjang hari ini. Semua MP pembangkang sudah setuju calonkan Anwar.

“PH, Pejuang, Warisan, Muda, Upko, PSB dan Bebas sudah setuju mencalonkan Anwar menjadikan kita ada 107 ahli Parlimen yang sudah solid sekarang,” kata sumber itu kepada Malaysia Dateline.

Menurut sumber itu, sejak pagi tadi pertemuan demi pertemuan telah diadakan oleh pemimpin PH dengan semua pemimpin parti politik bagi membincangkan pencalonan ini.

“Pejuang khasnya Tun M setuju untuk menyokong Anwar jika Anwar mampu menarik beberapa ahli parlimen lagi bagi menyokong beliau dan membentuk kerajaan majoriti,” kata sumber itu kepada Malaysia Dateline.

Jika Anwar mempunyai 105 ke 107 penyokong sekarang, beliau hanya perlukan sekurang-kurangnya empat ke tujuh  MP lagi bagi mencukupkan majoriti 111 MP dari 220 yang ada di dalam Dewan Rakyat itu.

Tindakan ini dibuat bagi membuat persiapan selepas maklumat diterima bahawa Tan Sri Mahiaddin Md Yasin akan meletakkan jawatan selepas mesyuarat khas kabinet pagi esok.

Selepas perletakan jawatan itu, Yang Dipertuan Agong berhak untuk melantik seorang seorang perdana menteri dari kalangan ahli Parlimen yang diyakini baginda mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Di pihak satu lagi pula, Umno bersedia untuk mengambil alih jawatan perdana menteri dari Mahiaddin namun ia mendapat bantahan dari ahli Parlimen Bersatu dan beberapa pihak lain.

Ini kerana, mereka tidak bersedia untuk duduk di bawah Umno selepas rakyat telah menolak parti itu dalam pilihan raya umum ke 14 lalu.

Antaranya Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof mempersilakan 15 Ahli Parlimen Umno yang menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk menubuhkan sebuah kerajaan ‘kleptokrat’.

“Saya amat kesal dengan tindakan kurang bijak 15 ahli Parlimen Umno yang mengundang krisis politik ketika ini. Saya persilakan kluster mahkamah ini untuk membentuk kerajaan kleptokrat,” lapor Sinar Premium hari ini.

Umno dikatakan cuba mencalonkan Datuk Seri Ismail sabri Yaakub sebagai perdana menteri manakala bekas ahli parlimen Umno yang melompat ke Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai timbalan perdana menteri.

Jika ini berlaku bermakna, Umno berjaya mendapatkan kerajaan kembali selepas ditolak rakyat dalam pilihan raya umum ke 14 lalu. (MD)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails