Tuesday, August 17, 2021

Selesai menghadap Agong &ini, kaedah lantik PM..

 

Semua pemimpin parti politik selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dilihat meninggalkan perkarangan Istana Negara pada jam 4 petang, jam 4 petang tadi. - Foto ASWADI ALIAS.

1. Pemimpin parti politik selesai menghadap Agong

KUALA LUMPUR: Semua pemimpin parti politik selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara di sini, hari ini.

Sesi menghadap itu yang berlangsung lebih sejam berakhir selepas pemimpin terbabit dilihat meninggalkan perkarangan Istana Negara pada jam 4 petang.

Terdahulu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden AMANAH, Mohamad Sabu; Presiden PEJUANG, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memasuki Istana Negara mulai jam 1.30 tengah hari.

Ketika ini, lebih 50 petugas media pelbagai agensi mula berkumpul di Pintu 2 Istana Negara bermula sejak jam 11 pagi tadi, menanti ketibaan pemimpin parti politik terbabit.

Media semalam melaporkan pemimpin parti politik dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini, dipercayai berkaitan dengan perbincangan berhubung siapa bakal dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Perbincangan itu susulan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan menerima peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan jawatan seluruh Jemaah Menteri berkuat kuasa serta merta, semalam.

Susulan peletakan jawatan itu, Seri Paduka turut berkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sementara sehingga seorang Perdana Menteri baharu dilantik.


2. '2 kaedah pelantikan PM'

KUALA LUMPUR: Pakar perlembagaan berpandangan, ada dua kaedah mungkin digunakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam pelantikan Perdana Menteri baharu susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.

Pengarah Institut Tamadun dan Kajian Strategik, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, berkata Yang di-Pertuan Agong boleh melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan, mengikut Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, kuasa itu boleh dilaksanakan mengikut kebijaksanaan baginda tanpa perlu memanggil Ahli Dewan Rakyat untuk menyatakan nama yang dipilih sebagai calon Perdana Menteri.

"Baginda juga mungkin menyatakan pandangan kepada pemimpin dua blok iaitu Perikatan Nasional (PN) dan pembangkang supaya kerajaan perpaduan ditubuhkan.

"Syarat pelantikan Perdana Menteri di bawah Perkara 43(2)(a) tidak tertakluk sudah diuji mendapat sokongan majoriti dan boleh dibuktikan selepas beliau dilantik.

"Yang di-Pertuan Agong boleh melantik Perdana Menteri daripada PN atau pembangkang termasuk Pakatan Harapan (PH).

"Baginda juga mempunyai pilihan menasihati kedua-dua blok menubuhkan kerajaan perpaduan supaya pembentukan kerajaan tidak tertangguh, Parlimen boleh bersidang dan perkara penting seperti Bajet 2022 dapat dibentang seperti dijadualkan.

"Ini bagi mengelak berlaku lagi isu berkaitan hilang kepercayaan majoriti terhadap Perdana Menteri, yang akan mengakibatkan kerajaan jatuh sekali lagi dalam masa singkat," katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, Al-Sultan Abdullah berkenan menerima peletakan jawatan Muhyiddin dan jawatan seluruh Jemaah Menteri susulan kehilangan sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Baginda kemudian berkenan melantik Muhyiddin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sementara sehingga seorang Perdana Menteri baharu dilantik.

Wan Ahmad Fauzi berkata, jika kerajaan jatuh sekali lagi sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan, Yang di-Pertuan Agong mempunyai pilihan mengisytiharkan darurat bagi membolehkan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) ditubuhkan untuk mentadbir negara.

Mengulas peranan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri sementara, Wan Ahmad Fauzi berkata, penggunaan istilah interim dan 'caretaker' pada hakikatnya merujuk kepada situasi sama iaitu suatu yang tidak tetap atau seorang yang melaksanakan tugas atau fungsi kuasa suatu jawatan kerana berlaku kekosongan dalam satu tempoh secara interim.

Seperti istilah demokrasi, beliau berkata, Perdana Menteri interim atau 'caretaker' juga tiada dalam Perlembagaan.

Bagaimanapun, katanya, itu bukan bermakna ia tidak boleh digunakan kerana semua istilah itu menunjukkan ciri yang ada dalam keadaan tertentu, sama juga seperti sistem yang tertakluk dalam peruntukan Perlembagaan.

Apa yang lebih penting dibahaskan, tegasnya, adalah punca kuasa dan skop kuasa pelaksana suatu jawatan dan tugas yang dikatakan bersifat interim dan 'caretaker' itu.

"Perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk Muhyiddin menjalankan tugas 'caretaker' seperti pernah diperuntukkan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad diandaikan tidak dibuat di bawah Perkara 43(2)(a).

"Ia berikutan itu adalah sumber kuasa pelantikan yang tertakluk pada syaratnya dan pasti juga bukan di bawah perenggan (b) Perkara yang sama kerana Parlimen tidak dibubarkan ketika ini.

"Jika lantikan dibuat mengikut Perkara 43(2)(a), itu bukanlah bersifat interim dan 'caretaker' kerana peruntukan itu merujuk kepada pelantikan penuh yang dibaca bersama dengan Fasal (6).

"Perkara 43(6) iaitu sebelum seseorang Menteri menjalankan fungsi jawatannya, beliau hendaklah mengangkat dan menandatangani di hadapan Yang di-Pertuan Agong, sumpah jawatan, sumpah setia dan sumpah simpan rahsia yang dinyatakan dalam Jadual Keenam.

"Hakikatnya, pelaksanaan tugas Perdana Menteri interim dan 'caretaker' seperti diperkenankan kepada Muhyiddin semalam bersifat sementara atau interim.

"Jika tidak dibuat di bawah Perkara 43(2), maka punca kuasanya berlandaskan prerogatif Yang di-Pertuan Agong," katanya.

Wan Ahmad Fauzi berkata, Yang di-Pertuan Agong mempunyai prerogatif untuk membolehkan tugas tertentu dilaksanakan pihak lain, tertakluk kepada undang-undang Persekutuan bagi maksud pelantikan di luar kerangka Perkara 43.

"Pelaksana tugas Perdana Menteri 'caretaker' atau interim terhad pada tugas pentadbiran, tempoh dan tertakluk pada fungsi kuasa eksekutif yang diperuntukkan secara nyata oleh Yang di-Pertuan Agong.

"Sumber kuasa seperti tugas berkenaan boleh dikurniakan baginda di bawah Perkara 39, yang dibaca bersama prerogatif yang terpelihara menurut Perkara 181(1)," katanya.

3. PM baharu perlu sokongan 140 Ahli Parlimen

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri yang baharu memerlukan sekurang-kurangnya sokongan 140 Ahli Parlimen jika mahu bagi membentuk sebuah kerajaan yang kukuh dan mengelak kemelut politik sama berulang.

Sokongan kukuh itu adalah sesuatu mendesak pada masa ini, terutama ketika negara berdepan pandemik COVID-19 dan usaha pemulihan ekonomi negara perlu digerakkan segera, dengan indikator ini hanya akan berjaya dicapai sekiranya ganggu gugat politik dapat dihentikan.

Selepas Tan Sri Muhyiddin Yasin meletak jawatannya sebagai Perdana Menteri kelapan, tumpuan kini beralih ke Istana Negara apabila Yang di-Pertuan Agong menentukan siapa individu pada pandangan baginda boleh mendapat sokongan kukuh ahli Dewan Rakyat.

Seperti diketahui, Pakatan Harapan (PH) konsisten dengan pendiriannya menamakan calon tunggalnya iaitu Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Sementara Perikatan Nasional (PN) serta 23 Ahli Parlimen UMNO yang sebelum ini menyokong Muhyiddin, bersetuju dengan cadangan untuk mencalonkan Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Bagi UMNO pula, beberapa pemimpinnya yang dihubungi semalam memberi bayangan pencalonan vateran UMNO yang juga Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razalegh Hamzah dijangka dipersembah kepada baginda.

Sejak semalam juga, kediaman Tengku Razalegh di ibu negara dikunjungi ramai kenamaan termasuk beberapa Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan pemimpin akar umbi parti itu.

Bagaimanapun, ada ura-ura juga dalam kalangan pemimpin parti itu yang memaklumkan, mengenai pencalonan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri, yang dicadangkan bekas pemimpin utama parti itu.

Namun, dalam kenyataannya malam tadi, Ahmad Zahid menyatakan tidak pernah terlintas untuk beliau menamakan dirinya sebagai calon Perdana Menteri.

Sementara itu, pemimpin Parti Warisan Sabah (WARISAN) yang dihubungi turut memberi bayangan nama Presiden WARISAN yang juga Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dikhabarkan turut akan dipersembah oleh parti itu kepada Agong hari ini, sebagai mewakili parti itu dan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) dipimpin Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Setiausaha Agungnya, Datuk Loretto Padua ketika dihubungi tidak menafikan perkara itu, sebaliknya meminta semua pihak supaya menunggu perkembangan dari Istana Negara.

"Mungkin boleh tanya presiden (Mohd Shafie) sendiri. Saya berada di KK (Kota Kinabalu) tidak di sana (Kuala Lumpur)," katanya.

Setakat ini juga, nama bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak dicalonkan mana-mana pihak, biarpun negarawan itu dikunjungi ramai pemimpin politik dari pelbagai parti di kediamannya di Seri Kembangan sejak beberapa hari lalu.

Sementara itu, penganalisis politik, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, berkata jumlah pencalonan ramai calon Perdana Menteri yang dipersembah kepada Agong menyebabkan tidak ada pihak akan memperoleh sokongan majoriti.

Katanya, ini menyebabkan Agong boleh menggunakan budi bicara baginda untuk melantik sesiapa saja yang pada hematnya boleh mendapatkan kepercayaan penuh semua parti, atau sekurang-kurangnya pemimpin yang tidak akan mencetuskan konflik sesama mereka kelak.

"Bermakna kemungkinannya juga, jika baginda perkenan, kerajaan dibentuk itu adalah sementara dan itu adalah kerajaan baginda yang diwujudkan hanya untuk menyempurnakan beberapa hal penting. Dalam kes sekarang, pandemik COVID-19 dan pemulihan ekonomi.

"Satu juga yang utama adalah pembentangan Bajet 2022 dijadual Oktober ini, mesti diluluskan kerajaan baharu seboleh-bolehnya dengan sokongan majoriti besar kerana ini perbelanjaan penting untuk negara dan rakyat pada tahun depan," katanya kepada BH, hari ini.


4. WARISAN sedia sokong Anwar jadi PM ke-9

KUALA LUMPUR: Seorang pemimpin Parti Warisan Sabah (WARISAN) hari ini menyatakan kesediaan parti itu menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke sembilan.

Ketua Wira WARISAN, Datuk Mohd Azis Jamman bagaimanapun berkata, tawaran itu boleh diberi jika Ahli Parlimen Port Dickson itu dapat membuktikan beliau memperoleh angka sokongan mencukupi.

"WARISAN akan menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri jika Anwar dapat memberikan nombor magik (jumlah sokongan majoriti) dan berharap Pakatan Harapan (PH) memberikan tawaran pula kepada Datuk Seri Mohd Shafie Apdal jika Anwar tidak dapat memperoleh nombor magik itu.

"Minimum 111 daripada 220 Ahli Parlimen dan seperti sekarang ini, pembangkang memiliki 105 Ahli Parlimen, jadi kita kekurangan tujuh lagi Ahli Parlimen," katanya.

Mohd Azis berkata, kedua-dua pemimpin WARISAN dan PKR itu perlu bertemu untuk menunjukkan sokongan masing-masing sebelum nama dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Sesiapa yang mendapat (sokongan) tertinggi harus diberi peluang menulis nama mereka di akaun bersumpah (SD), adakah anda mempunyai idea lain?" katanya ketika menjawab ciapan pengguna Twitter.

Pemimpin WARISAN yang dihubungi hari ini tidak menolak kemungkinan nama Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna turut dinamakan sebagai calon Perdana Menteri dan difahamkan, ia satu percaturan dibuat parti itu serta Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG).

Berdasarkan senarai Ahli Parlimen di Dewan Rakyat ketika ini, WARISAN memiliki lapan Ahli Parlimen, manakala empat Ahli Parlimen PEJUANG.

Jumlah 12 Ahli Parlimen WARISAN dan PEJUANG ini, biarpun lebih kecil berbanding parti lain dalam PH, namun ia berupaya mempengaruhi jumlah sokongan kepada Anwar, yang sememangnya mengharapkan mendapat sokongan penuh daripada blok pembangkang.

Ketika ini, difahamkan PH sedang berusaha mendapatkan sokongan daripada beberapa Ahli Parlimen daripada blok kerajaan sebelum ini terutama UMNO untuk melengkapkan jumlah sekurang-kurangnya sokongan majoriti mudah.

(IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails