Monday, August 16, 2021

RM1,500 urus jenazah Covic-19. K'tan prihatin rakyat.

 

Bantuan khas RM1,500 urus jenazah kepada B40

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan menyalurkan bantuan khas sebanyak RM1,500 kepada golongan B40 bagi pengurusan jenazah ahli keluarga mereka yang meninggal dunia akibat COVID-19, kata Menteri Besarnya Datuk Ahmad Yakob.

Beliau berkata inisiatif berkenaan akan bermula pada 15 Ogos ini dengan keluarga jenazah hanya perlu mengisi borang serta menyediakan beberapa dokumen yang diminta pihak berkaitan bagi proses permohonan bantuan itu.

“Kerajaan negeri faham situasi yang dihadapi seluruh penduduk terutama golongan B40 yang terjejas ekoran pandemik COVID-19,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata buat masa ini, peruntukan yang disediakan bagi bantuan khas pengurusan jenazah COVID-19 itu adalah antara RM200,000 dan RM300,000 secara keseluruhannya berdasarkan bilangan kes kematian akibat jangkitan wabak itu, ketika ini.

Ditanya mengenai kelonggaran aktiviti sosial kepada individu lengkap vaksinasi, beliau berkata berdasarkan maklumat dan pemerhatian pihaknya berlaku ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan orang ramai di pasar awam.

Justeru, Ahmad mengingatkan seluruh penduduk Kelantan supaya terus mematuhi dan mengamalkan SOP walaupun Kerajaan Persekutuan mengumumkan beberapa kelonggaran aktiviti sosial kepada penerima dua dos suntikan vaksin COVID-19 di negeri Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara.

Dalam perkembangan lain, beliau turut mengumumkan kerajaan negeri bersetuju untuk memberikan elaun tambahan sebanyak RM150 kepada semua imam tua serta imam muda masjid di mukim selain kenaikan elaun RM50 bagi bilal bermula Julai lepas. – BERNAMA

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails