Monday, August 16, 2021

Hilang Majoriti Muhyiddin Letak Jawatan PM

 

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan pada 16 Ogos 2021.

Ujar Muhyiddin, “pada hari ini saya meletakkan jawatan saya sebagai Perdana Menteri dan jawatan seluruh ahli Jemaah Menteri sebagaimana yang dikehendaki oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Dalam sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong pada 12.30 tengah hari tadi saya telah menyerahkan warkah peletakan jawatan saya sebagai Perdana Menteri dan seluruh Jemaah Menteri di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan disebabkan saya telah kehilangan kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

“Ini bermakna saya dan seluruh ahli Jemaah Menteri telah meletakkan jawatan,” ucap Muhyiddin dalam perutusan khasnya pada Isnin.

Muhyiddin berharap rakyat Malaysia kekal bertenang.

“Mudah-mudahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong diberikan rahmat kebijaksanaan untuk memilih Perdana Menteri yang baharu menurut kehendak Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau yang juga Presiden Bersatu memberitahu, walaupun beliau pada awalnya mencadangkan supaya keabsahannya sebagai Perdana Menteri ditentukan di Parlimen, namun 15 Ahli Parlimen UMNO telah menarik sokongan kepada beliau dan cadangan kerjasama rentas parti yang saya kemukakan telah ditolak oleh parti-parti pembangkang.

“Jelaslah saya telah kehilangan sokongan majoriti. Jadi, tidak perlu lah lagi keabsahan saya sebagai Perdana Menteri ditentukan di Parlimen.

“Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan menyebut “jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri”. Inilah kehendak dalam Perlembagaan dan saya mesti patuh.

“Rayuan ikhlas dari jutaan rakyat Malaysia agar saya meneruskan tugas saya dan tidak meletakkan jawatan saya dengari. Namun, rayuan ini tidak dapat saya sambut kerana saya telah kehilangan kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

” Tindakan saya ini adalah selaras dengan sumpah jawatan saya untuk sentiasa menjunjung, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan,” jelas Ahli Parlimen Pagoh itu.

Justeru itu, Muhyiddin turut mengambil kesempatan memohon keampunan daripada seluruh rakyat atas segala kekhilafan dan kelemahannya sepanjang beliau menjadi Perdana Menteri.

” Saya dan rakan-rakan dalam Jemaah Menteri telah cuba melakukan yang terbaik untuk menyelamatkan nyawa dan melindungi kehidupan saudara dan saudari sekalian dalam tempoh krisis yang masih kita hadapi pada masa ini.

” Namun, sebagai manusia pastinya ada salah dan silap di sana ini. Jadi saya memohon maaf.

” Saya berharap kerajaan baharu dapat dibentuk dengan segera supaya pentadbiran negara ini tidak terganggu dan dapat berjalan seperti biasa,” katanya.

Dalam pada itu juga, Muhyiddin turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada para frontliners yang terus bertungkus lumus memerangi pandemik COVID-19.

” Tidak lupa juga ucapan terima kasih saya buat semua penjawat awam yang telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada saya dalam melaksanakan dasar-dasar yang diputuskan oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

” Saya berharap segala dasar yang baik untuk rakyat dapat diteruskan pada masa akan datang.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada pihak industri, para pekerja, pertubuhan bukan kerajaan, pimpinan masyarakat dan semua pihak yang membantu Kerajaan Perikatan Nasional menyampaikan khidmat kepada rakyat.

“Saya juga merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada rakan-rakan Jemaah Menteri yg telah berkorban masa dan tenaga bersama saya selama ini. Terima kasih juga saya ucapkan kepada pengurusan tertinggi Kerajaan Persekutuan termasuk Ketua Setiausaha Negara, Peguam Negara, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara dan lain-lain pegawai yang tidak dapat saya sebutkan satu persatu. Anda semua telah banyak membantu saya menjalankan tugas dan amanah mengurus negara di waktu pandemik ini.

” Ucapan terima kasih paling istimewa tentunya buat isteri saya yang tercinta dan keluarga saya yang menjadi sumber inspirasi saya sejak dahulu hingga ke hari ini.

” Terima kasih juga kepada kepimpinan BERSATU, pimpinan tertinggi Perikatan Nasional dari parti PAS, STAR, SAPP dan GERAKAN, pimpinan Gabungan Parti Sarawak, pimpinan MCA dan MIC serta sebahagian Ahli Parlimen UMNO yang terus memberikan sokongan kepada saya hingga ke saat akhir.

” Kepada seluruh rakyat Malaysia, saya ucapkan terima kasih atas sokongan saudara dan saudari sekalian. Saya akan terus berbakti kepada anda serta sentiasa mendoakan kesihatan dan kesejahteraan anda semua,” katanya lagi. (S.Tv)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails