Saturday, August 21, 2021

Legasi Dr Zulkifli tingkatkan syiar Islam

 

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

PELANTIKAN 
Dato’ Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam kerajaan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menarik perhatian ramai kerana buat kali pertama dalam sejarah negara, seorang mufti dilantik menganggotai Kabinet.

Status anak kelahiran Kemaman, Terengganu, sebagai bekas Mufti Wilayah Persekutuan yang mesra media sosial apabila sering menjawab pelbagai persoalan agama juga mendapat maklum balas positif bukan sahaja daripada kalangan rakyat, malah pemimpin parti pembangkang.

Jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal Islam amat penting, malah boleh dikatakan setara dengan jawatan kanan lain dalam Kabinet seperti Menteri Kewangan, Dalam Negeri dan Pendidikan. Ini kerana antara peranan dan tanggungjawab yang dipikul adalah untuk memastikan dasar kerajaan mematuhi syariat Islam.


Sesuai dengan latar belakang Dr Zulkifli sebagai mantan mufti yang mengeluarkan fatwa berhubung pelbagai isu berkaitan agama, kepakaran dan kelimuan beliau digunakan oleh kerajaan untuk menerangkan kepada rakyat supaya tetap berpegang teguh dengan ajaran Islam serta mematuhi segala peraturan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan oleh Perdana Menteri.

Malah atas dasar mengatasi kemudaratan yang lebih besar, Dr Zulkifli yang mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, mengumumkan penutupan sementara masjid dan surau yang diterima dengan baik oleh majoriti masyarakat Islam kerana latar belakang beliau sebagai pemimpin berilmu, berwibawa dan berintegriti.

Dr Zulkifli juga memberi saranan kepada semua agensi dan pusat zakat negeri agar dapat memainkan peranan untuk membantu mengurangkan masalah yang dihadapi oleh rakyat, terutama yang beragama Islam.

Jika sebelum ini, pengagihan zakat hanya untuk golongan asnaf, tetapi dalam tempoh PKP, ramai orang yang memerlukan bantuan saraan hidup, terutama mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap. Sesuatu yang menarik ialah kepimpinan Dr Zulkifli walaupun sebenarnya terhad kepada Wilayah Persekutuan, idea dan pemikirannya diterima dan dilaksanakan di seluruh negara.

Beliau juga bukan hanya memberikan idea, malah sanggup menyingsing lengan turun padang menghulurkan bantuan di seluruh negara. Ketika pimpinannya, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam) memperkenalkan bantuan melalui inisiatif #Musaadah yang sejak Mac lalu membelanjakan sebanyak RM591.9 juta kepada pelbagai golongan rakyat yang terjejas akibat wabak COVID-19.

Sebagai mantan mufti yang sentiasa berhati-hati apabila bertutur, Dr Zulkifli juga mahu isu mengenai cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Semakan 1988) (Akta 355) bagi menjatuhkan hukuman lebih berat ke atas kumpulan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) ditangani secara berhemah.

“Walaupun LGBT bertentangan dengan norma agama Islam, pendekatan yang hendak diambil juga mestilah dengan cara mendidik untuk membetulkan perkara berkenaan.

Begitu juga dengan isu Tabung Haji (TH) yang sentiasa mendapat perhatian umat Islam dan pemimpin politik. Beliau memberi jaminan bahawa kuasa menteri agama terhadap TH akan terus kekal selaras dengan peruntukan Seksyen 10 Akta Tabung Haji 1995 terutama dari segi operasi dan penyelarasan jemaah haji.

Zulkifli menegaskan beliau bertanggungjawab kepada TH bagi memastikan hak umat Islam dan bakal jemaah haji terpelihara. Pengawalseliaan Bank Negara Malaysia (BNM) ke atas TH sama sekali tidak akan menghakis hak Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan umat Islam ke atas TH.

“Ini kerana setiap institusi kewangan yang dikawal selia BNM mempunyai model pengurusan berbeza dan boleh terus mengekalkan punca kuasa sedia ada,” katanya.

Menurutnya, cadangan penambahbaikan pengurusan dan Operasi TH bertujuan mewujudkan penambahbaikan dalam pengoperasian TH, selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjunjung nilai integriti dan tadbir urus yang baik berasaskan lapan prinsip utama yang digariskan United Nations Economic and Social Commission for Asia and the Pacific (UNESCAP).

Kehadiran Dr Zulkifl dalam Kabinet bukan sahaja membolehkannya memberi nasihat dan pandangan daripada perspektif agama, malah boleh melaksanakan dasar-dasar kerajaan yang inklusif dan bersepadu demi mensejahterakan kehidupan rakyat. Kesepaduan kepimpinan politik mampu memajukan negara dalam pelbagai bidang.

Walaupun bukan lagi bergelar menteri, jasanya membolehkan kerajaan dapat memainkan peranan yang lebih besar bagi memacu pembangunan negara yang bertunjangkan kepentingan agama dan kesejahteraan rakyat. – HARAKAHDAILY 18/8/2021

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails