Friday, August 20, 2021

‘Jangan marahkan nyamuk, kelambu dibakar’ – Penganalisis Politik

 

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Sokongan majoriti kepada Ahli Parlimen Bera, Dato’ Sri Ismail Sabri dilihat mampu meyakinkan rakyat setelah beliau mengukir kejayaan menguruskan pandemik Covid-19 sepanjang berkhidmat dalam kerajaan sebelum ini.

Penganalisis Politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, pemimpin yang berintegriti serta mampu menjalankan tanggungjawab dengan baik adalah kriteria dambaan rakyat.

“Rakyat sekarang hanya mahu lihat pemimpin yang berkerja kuat untuk mereka dan bebas daripada dakwaan, salah laku dan hukuman mahkamah.

“Bagi saya menteri-menteri daripada Umno dalam kerajaan sebelum ini terlibat secara terus dengan pelbagai program menangani Covid-19 dan mereka berjaya.

“Maka mereka yang berjaya ini perlu dilantik semula untuk meneruskan tugas yang belum selesai agar tidak menggangu perancangan dan strategi melawan Covid-19,” ujarnya ketika dihubungi HarakahDaily hari ini.

Menurutnya, pelaksanaan dasar di dalam kerajaan sebelum ini wajar diteruskan bagi mengelak usaha menangani Covid-19 terbantut serta melambatkan proses imuniti kelompok dicapai.

“Sudah pasti beberapa dasar yang baik diperkenalkan sebelum ini wajar diteruskan, kita tidak boleh bakar kelambu kerana hanya marahkan seekor nyamuk.

“Kita akan gagal jika masuk ke Putrajaya dengan merombak semua dasar, program dan jentera bagi menangani Covid-19 dan ekonomi,” katanya yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Politik dan Pentadbiran, Universiti Malaya (UM).

Walaupun terdapat kekurangan di dalam dasar-dasar sedia ada katanya, usaha tersebut wajar diteruskan serta diperkasa bagi menggerakkan usaha penggemblengan mengurus pandemik berkenaan dapat dicapai semaksiumnya.

“Ya, betul ada beberapa kelemahan tetapi kita perlu memperbaiki kelemahan berkenaan.

“Jika kita kembali bermula dengan langkah pertama dan perbaharui semula program dan strategi berkenaan, kita akan meletihkan petugas barisan hadapan dan berkemungkinan jentera melawan Covid-19 dan membangkitkan semula ekonomi tidak mampu untuk mengembalikan negara kita seperti sediakala,” jelasnya.

Semalam, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataan mengesahkan PN bersetuju menamakan Naib Presiden Umno itu sebagai calon Perdana Menteri yang baharu dengan syarat pelantikan Kabinet yang dibentuk kelak adalah dalam kalangan mereka yang berintegriti, beramanah dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah.

Selain itu, kerajaan juga diminta terus menghormati prinsip pengasingan kuasa, kebebasan badan kehakiman dan Raja Berperlembagaan. – HARAKAHDAILY 20/8/2021

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails