Friday, August 20, 2021

Bentuk K'jaan Baru: Zailah, Solat /Munajat Ulamak &Rasuah '0'.

 

Timbalan Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat, Dato' Siti Zailah Mohd Yusoff

1. Integriti syarat yang perlu diterima pakai – Siti Zailah

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff menyokong syarat-syarat yang ditegaskan Perikatan Nasional (PN) dalam pembentukan kerajaan baharu.

Menurutnya, beliau berpandangan bahawa syarat yang ditetapkan itu harus diterima pakai dalam pentadbiran kerajaan supaya selaras dengan prinsip PN mempertahankan kerajaan berintegriti.

“Saya bersetuju, maknanya syarat itu hendaklah terus diterima pakai dalam pentadbiran baharu.

“Kita mahukan sebuah kerajaan yang stabil yang dinamik, yang benar-benar memenuhi aspirasi rakyat.

“Insya-Allah, pelantikan ini benar-benar dimanfaatkan untuk meneruskan dasar-dasar kita,” katanya ketika dihubungi HarakahDaily, semalam.

Semalam, Presiden PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa sokongan yang diberikan PN kepada Ahli Parlimen Bera, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden Umno adalah bersyarat.

Antara syarat yang diletakkan sekiranya beliau dilantik sebagai Perdana Menteri, beliau hendaklah memastikan Ahli Jemaah Menteri yang bakal dilantik nanti adalah terdiri daripada mereka yang berintegriti, beramanah dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah.

Selain itu kata Zailah, kerajaan di bawah pimpinan Ismail juga mestilah meneruskan amalan menghormati prinsip pengasingan kuasa, melindungi kebebasan badan kehakiman dan menjunjung konsep Raja Berperlembagaan.

Beliau yang juga bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, turut berharap keputusan yang dibuat nanti adalah yang terbaik dan menjadi tempat berlindung bagi rakyat Malaysia.

“Jadi kita meletakkan harapan akan menyambung legasi kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kita mengharapkan supaya mana-mana yang baik, yang kita sudah laksanakan untuk negara dan rakyat, diteruskan.

“Mana-mana yang mungkin ada kekurangan dan kelemahan itu kita semak balik,” katanya.

Dalam pada itu, kata Ahli Parlimen Rantau Panjang itu, beliau turut berharap agar tiada lagi sebarang isu berbangkit membabitkan isu-isu menarik sokongan dan seumpamanya.

“Seperti yang kita tengok Tuanku sudah penat hendak melayan ahli-ahli politik ini. Setiap tahun angkat sumpah, menghadap, maknanya kita harapkan ada perubahanlah.

“Selepas ini berakhir dengan bubar parlimen dan pilihan raya. Tiada lagi isu tarik sokongan dan beri sokongan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 20/8/2021

2. Dewan Ulamak PAS seru solat hajat, munajat.

KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menyeru semua ahli PAS serta seluruh umat Islam yang cintakan keharmonian dan kesejahteraan untuk sama-sama menunaikan solat hajat dan munajat kepada Allah SWT bagi mendapatkan pertolongan dan inayah-Nya dalam kemelut politik yang sedang berlaku.

Ketuanya, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, seperti yang sedia maklum, pihak kerajaan Perikatan Nasional di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah berusaha dengan sebaik mungkin bersama jamaah menteri serta petugas-petugas barisan hadapan (frontliners) untuk menghadapi dan memerangi Covid-19.

“Alhamdulillah, melalui kenyataan media YAB Perdana Menteri pada hari ini, program vaksinansi kebangsaan semakin menunjukkan hasil yang poitif selain dari pengumumam pembukaan tambahan sektor-sektor ekonomi yang memberikan kelegaan dan kegembiraan kepada mereka yang terjejas dengan pandemik ini,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Walau bagaimanapun, katanya DUPP melahirkan kekesalan dan kekecewaan dengan sikap sebahagian pimpinan-pimpinan politik yang berterusan mendesak Perdana Menteri agar meletakkan jawatan atas dakwaan telah gagal menangani pandemik Covid-19.

Menurut Ahli Parlimen Pasir Puteh itu, dakwaan-dakwaan seperti itu hanyalah bersifat retorik dan alasan kosong semata-mata.

Katanya, desakan-desakan berterusan itu, bukan sahaja mengganggu tumpuan pihak Kerajaan Perikatan Nasional dalam menangani Covid-19,  bahkan turut menimbulkan suasana politik yang tidak stabil dan tidak harmoni yang memberikan kesan langsung kepada seluruh rakyat.

“Sehubungan itu, DUPP sekali lagi menyeru ahli-ahli PAS secara khusus, serta umat Islam seluruhnya untuk sama-sama menunaikan solat hajat dan munajat kepada Allah SWT bagi memohon keharmonian dan kesejahteraan negara serta perlindungan-Nya daripada perkara-perkara yang boleh mandatangkan kerugian kepada Islam dan ummah,” ujarnya.

Tambahnya, umat Islam hendaklah yakin dengan janji Allah SWT di dalam Surah Ghafir, ayat 60 yang bermaksud: Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. – HARAKAHDAILY 15/8/2021

3. SPRM tahan bekas Pegawai Tugas-tugas Khas AP. Ke Arah '0' rasuah?

ALOR SETAR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang bekas Pegawai Tugas-tugas Khas Ahli Parlimen hari ini, kerana disyaki menyeleweng wang berjumlah RM140,600.

Sumber berkata, suspek berusia 43 tahun ditahan ketika memberi keterangan di Pejabat SPRM Sungai Petani, kira-kira jam 4.30 petang tadi.

Katanya, suspek dipercayai menggunakan kedudukannya bagi melakukan kegiatan berkenaan sejak Ogos 2019 hingga Januari 2020.

"Suspek yang pernah bertugas sebagai Pegawai Tugas-tugas Khas kepada seorang Ahli Parlimen di negeri ini dikatakan menyeleweng Peruntukan Khas Jabatan Perdana Menteri bagi kawasan Parlimen.

"Dia dipercayai menggunakan beberapa invois palsu bagi menuntut bayaran bagi kerja di kawasan Parlimen berkaitan bernilai antara RM9,500 hingga RM34,000" katanya.

SPRM dijangka akan memohon perintah reman ke atas suspek di Kompleks Mahkamah Sungai Petani pagi esok.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi, mengesahkan tangkapan terbabit dan siasatan lanjut sedang dilakukan pihaknya.

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Kalau kerajaan PAS Kelantan boleh wujudkan '0' rasuah, mengapa mengapa Kerajaan Persekutuan tidak boleh? Boleh rancang dengan kerjasama PAS?

(IH)

Ikutilah siri-siri terkini kes rogol berikut..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails