Thursday, May 20, 2021

Rempeyek jadi pilihan kudapan raya

 

Zainab (kanan) dibantu anaknya menyiapkan tempahan rempeyek daripada pelanggan untuk kudapan hari raya. - NSTP/Noor Hidayah Tanzizi

MANJUNG: Bermula era milenium, Aidilfitri lebih sinonim dengan biskut dan kudapan raya menggunakan resipi terkini termasuk dekorasi yang lebih moden, menarik dan pelbagai pilihan warna.

Boleh dikatakan kebanyakan rumah di negara ini akan menyajikan hidangan moden itu berbanding kuih dan kudapan tradisional.

Realitinya, juadah tradisional itu tidak akan luput ditelan zaman atas faktor keenakan rasanya dan keistimewaan tersendiri menjadikannya antara kegemaran segenap lapisan usia.

Contohnya, rempeyek antara kudapan tradisional yang masih mempunyai peminat setia dan pengusahanya menerima banyak tempahan setiap kali musim perayaan.

Pengusaha Rempeyek Makabah dari Taman Fasa 1E, Seri Manjung, Zainab Mohamad, 57, berkata, setiap kali menjelang hari raya beliau tidak menang tangan menyiapkan tempahan pelanggan sekitar daerah ini dan negeri lain.

Katanya, tempahan akan mula dibuka sebulan sebelum Ramadan sebelum ditutup pada minggu kedua Ramadan.

Katanya, beliau dengan dibantu anak dan menantu memulakan kerja memasak awal Ramadan supaya pelanggannya dapat mengambil bekalan mengikut masa yang sudah ditetapkan atau lebih awal lagi.

"Tempahan pelanggan menunjukkan kuih dan kudapan tradisional terutama rempeyek masih bertahan, malah ia diminati semua lapisan umur termasuk kanak-kanak.

"Walaupun tempahan sudah ditutup tetapi masih ada pelanggan yang mahu membuat tempahan tetapi kami terpaksa mengehadkan kerana kurang tenaga kerja, malah kami juga sangat mementingkan kualiti berbanding kuantiti," katanya.

Beliau sudah mengusahakan kudapan itu sejak 10 tahun lalu sebelum berehat selama dua tahun dan kembali beroperasi tahun lalu.

Katanya, tahun ini dia menerima tempahan lebih 200 balang rempeyek dan satu balang memuatkan 60 keping kudapan rangup itu yang dihasilkan dengan resipi olahan sendiri.

"Tempahan raya untuk tahun ini lebih banyak berbanding tahun lalu, dengan kira-kira 40 peratus dan kami menghasilkan rempeyek kacang dan bilis, kacang atau bilis saja dan ada juga yang mahu tepung saja.

"Saya juga membuat sedikit kelainan dengan penambahan daun kari dan daun limau purut yang memberikan aroma berbeza tetapi itu jika hanya ada permintaan atau makan sendiri saja," katanya memberitahu rempeyek itu dijadikan pendapatan sampingan keluarganya.

Katanya, penghasilan kudapan tradisional itu agak ringkas dengan menggunakan beberapa bahan seperti tepung, santan, udang kering dan beberapa rempah ratus.

"Satu bancuhan boleh menghasilkan lebih 350 keping rempeyek dan sehari kami buat tiga kali bancuhan yang boleh menghasilkan lebih 1,000 keping kudapan itu.

"Bahan dan cara penyediaan rempeyek ringkas cuma kita terpaksa duduk lama dan berhadapan dengan minyak panas untuk menggoreng yang dilakukan satu-satu," katanya yang turut dibantu suami sebelum suaminya kurang sihat.

Rempeyek antara pilihan orang ramai untuk kudapan raya meskipun ada pelbagai kuih moden.- NSTP/Noor

Beliau berkata, dalam situasi pandemik COVID-19 ketika ini, menyebabkannya mengubah landskap perniagaan kecil mereka kepada dalam secara dalam talian, manakala penghantaran hanya dalam daerah dan negeri sama saja.

Katanya, berbanding dahulu ada pelanggan luar Perak akan datang mengambil sendiri tempahan dan untuk penghantaran secara pos dibalut dengan betul bagi memastikan ia tidak pecah.

"Tetapi rempeyek sudah boleh didapati pada hari biasa dan kami juga mengambil tempahan setiap minggu. Ketika musim perayaan ini tempahan akan meningkat hingga Aidiladha," katanya.

Mereka anak-beranak bertungkus-lumus menyiapkan tempahan pelanggan hingga tengah malam tetapi baginya ia berbaloi apabila mendapat respon positif daripada pelanggan.

Keistimewaan rempeyek yang dihasilkan Zainab yang paling ketara adalah tidak berminyak selain sedap, cukup rasa, nipis dan rangup. (BH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails