Monday, May 17, 2021

Dana #Aid4Palestin sudah terkumpul hampir RM2 juta

 

Lepasi RM1 juta sasaran fasa pertama dan kedua sehingga 30 Syawal  -May 17, 2021

KUALA LUMPUR: Dana #Aid4Palestine telah melepasi sasaran awal kutipan apabila berjaya mengumpulkan lebih RM1.5 juta setakat jumlah rasmi yang direkodkan pihak sekretariat awal pagi ini.

Selepas dilancarkan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, tabung tersebut terus menerima sumbangan secara ‘crowdfunding’ dari pelbagai pihak.

Bermula dengan komitmen RM350,000 dari PASRelief, Yayasan Amal Malaysia, Cakna Palestin dan Muslim Care bagi fasa pertama, kutipan fasa kedua disasarkan RM650,000 sehingga 30 Syawal bagi mencukupkan RM1 juta.

Bagaimanapun, rekod rasmi daripada PAS Negeri Terengganu setakat tengah malam telah mengumpulkan RM573,642, manakala PAS Negeri Kedah dengan jumlah RM645,508 setakat diisytihar awal pagi ini.

Sekretariat #Aid4Palestine yang diawal pelancaran dianggotai oleh 42 NGO juga sudah menerima keanggotaan gabungan berjumlah lebih 107 NGO dan komitmen sumbangan tambahan lebih RM300,000 lagi setakat petang semalam.

Timbalan Pengerusi II Aid4Palestine, Ustaz Mohd Yusni Md Piah berkata, kutipan besar mengatasi jumlah dan tempoh masa awal disasarkan itu menunjukkan dukungan padu ahli-ahli dan pimpinan PAS kepada Palestin.

Malah menurutnya, kutipan juga datang daripada penyokong PAS dan orang awam yang turut sama mahu menyampaikan sumbangan mereka melalui #Aid4Palestine di mana beliau percaya jumlah tersebut akan terus meningkat.

“Ramai masih dalam tempoh berhari raya dan mungkin kesibukan lain. Kita lihatpun setiap hari jumlah itu makin meningkat dan setakat rasmi isytihar baru PAS Kedah dan PAS Terengganu. Kita ada 12 negeri lagi sedang gerak kutipan.

“Malah ada juga pimpinan dan ahli PAS yang menggerakkan lelongan barangan peribadi untuk dibida menjadi dana ini. Jadi tempoh hingga 30 Syawal kutipan ini saya jangka akan lebih banyak,” ujarnya yang juga Pengarah Pusat Bantuan dan Kemanusiaan PAS (PASRelief).

Pihak sekretariat juga menerima makluman daripada PAS Kawasan Hulu Langat yang telah berjaya mengutip RM20,770 setakat lewat petang semalam, serta dua pemuda dari Terengganu dan Pulau Pinang menawarkan motosikal kuasa tinggi dan basikal untuk dibida.

Bagi fasa ketiga iaitu selepas 30 Syawal dengan tekad hingga perjuangan rakyat Palestin terbela sepenuhnya, pihak sekretariat meletakkan sasaran sebanyak RM10 juta, sekali gus menunjukkan eratnya hubungan PAS dan Palestin.

Para dermawan yang mahu menyumbang boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank 5640 7061 1352 (Tabung Kemanusiaan Antarabangsa) atau 5640 7061 2333 (PASRelief) dengan rujukan ‘Gaza’.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh hubungi talian ‘hotline’ 011-2077 5802 atau layari Facebook rasmi PASRelief di https://web.facebook.com/pasrelieff. – HARAKAHDAILY 17/5/2021

1 comment:

Anonymous said...

Ini contoh badan kutipan yg telus. Setiap sen akan sampai kpd penerima. Aamiiiin.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails