Tuesday, May 18, 2021

1. Solat hajat, doa M'sia iringi jihad Palestin &dasar luar.

 

Foto daripada Facebook Istana Negara.

1. Solat hajat, doa Malaysia iringi jihad rakyat Palestin

KUALA LUMPUR: Rata-rata umat Islam di Malaysia hari ini bersolidariti memohon ihsan daripada Allah SWT untuk memelihara keselamatan serta kesejahteraan rakyat Palestin yang sedang berjihad menentang kezaliman Israel.

Banyak solat hajat dan doa selamat dilaksanakan selepas Solat Maghrib secara serentak di beberapa negeri mengikut prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sebagai tanda sokongan moral, prihatin dan kebersamaan Malaysia dengan saudara seagama di bumi Palestin.

Foto daripada Facebook Istana Negara.

Solat sunat hajat turut dilaksanakan di masjid-masjid utama termasuk Masjid Negara dan Masjid Wilayah di ibu negara serta di Masjid Putra, Putrajaya di sini, malam ini.

Solat hajat dua rakaat yang diakhiri dengan bacaan Qunut Nazilah serta doa selamat itu, amat menyentuh hati ahli jemaah yang hadir, malah ada antara jemaah di beberapa masjid di sini dilihat sebak dan menitiskan air mata ketika mengaminkan doa.


Di PERAK, tinjauan Bernama di Masjid Al-Ansar, Bandar Meru Raya, Ipoh, mendapati kira-kira  40 anggota jemaah menunaikan solat hajat dan doa selamat untuk memohon kesejahteraan rakyat Palestin yang sedang berjuang menentang kekerasan dan penindasan Zionis itu.

Jemaah di situ dibenarkan masuk ke perkarangan masjid seawal pukul 7.00 malam dan pintu pagar ditutup sejurus azan dilaungkan bagi mengehadkan jumlah kapasiti di dalam masjid.

Di SARAWAK, sebahagian besar masjid dan surau di negeri itu termasuk Masjid Bandaraya Kuching melaksanakan solat hajat selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong semalam, agar solat hajat bagi mendoakan keselamatan rakyat Palestin dilakukan di seluruh negara.

Tinjauan di Masjid Bandaraya Kuching, mendapati bukan sahaja solat sunat hajat diadakan malah ahli jemaah yang hadir turut mendengar tazkirah ringkas berkenaan Masjid Al-Aqsa yang merupakan tempat suci ketiga umat Islam.

Di JOHOR BAHRU, kira-kira 200 anggota  jemaah menunaikan solat sunat hajat dan bacaan Qunut Nazilah serta bacaan surah Yasin di Masjid Sultan Iskandar Bandar Dato Onn, di sini, untuk mendoakan kesejahteraan masyarakat Islam di Palestin.

Di PULAU PINANG pula, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) telah mengeluarkan pekeliling kepada 800 masjid dan surau di negeri itu melaksanakan ibadah sama.

Di PAHANG, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail adalah antara 50 anggota  jemaah yang menunaikan solat hajat dan doa selamat memohon Allah melindungi serta meringankan penderitaan rakyat Palestin di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di sini.

Selain itu, Kerajaan negeri Pahang turut menyumbangkan RM250,000 kepada rakyat Palestin yang sedang berdepan serangan rejim Zionis Israel sehingga mengorbankan dan mencederakan ratusan individu tidak berdosa termasuk wanita dan kanak-kanak.

Sejak minggu lepas, berlaku siri keganasan Israel terhadap Palestin selepas pasukan keselamatan Israel menyerbu Masjid Al-Asqa dan menyerang penduduk Palestin.

Dilaporkan pencerobohan dan serangan rejim Zionis Israel ke atas rakyat Palestin bermula dengan serangan di Masjid al-Aqsa pada 7 Mei diikuti serangan udara di Semenanjung Gaza, dan sehingga kini dilaporkan lebih 100 rakyat Palestin terkorban manakala beratus-ratus lagi cedera, malah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran, konflik itu bakal mencetuskan peperangan secara besar-besaran. – BERNAMA

2. Dasar Luar Malaysia jelas tidak iktiraf Israel

KUALA LUMPUR: Dasar Luar Malaysia adalah jelas tidak mengiktiraf Israel, kata Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man sekaligus membuktikan bahawa PAS menolak penyelesaian dua negara atau two state solution bagi menamatkan perang antara Israel dan Palestin di bumi Palestin.

Menurut Tuan Ibrahim, isu two state solution sudah lama terkubur memandangkan negara haram Israel sendiri tanpa segan silu mencabul perjanjian damai, mengkhianati gencatan senjata serta tidak menghormati rakyat Palestin.

“Dasar Luar Malaysia adalah tidak mengiktiraf Israel. Jelas, penyelesaian dua negara (two states solution) di Israel sebenarnya tidak lagi timbul memandangkan Israel sendiri tanpa segan silu mencabul perjanjian damai, mengkhianati gencatan senjata dan tidak menghormati hak rakyat Palestin,” ujarnya mengulas berhubung cadangan two state solution.

Mengulas lanjut kata Tuan Man, dalam isu Palestin ketika ini, PAS berpandangan fokus yang harus diutamakan buat masa sekarang adalah sokongan dan bantuan yang mesti dihulurkan kepada Palestin terutama sumbangan berbentuk dana kewangan dan doa.

Selain itu katanya, rakyat Malaysia khususnya perlu terus dididik dengan maklumat yang betul berhubung situasi Palestin termasuk perkembangan semasa yang berlaku di sana.

Beliau dalam masa sama turut menyatakan sokongan padu terhadap usaha pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) meningkatkan kawalan keselamatan dalam segenap aspek susulan ancaman keselamatan dari Israel sebelum ini.

“Tugas utama PDRM adalah memastikan keselamatan rakyat Malaysia termasuk rakyat Palestin yang kini berada di Malaysia. Rakyat Malaysia diharap terus bertenang kerana keadaan negara berada pada kawalan yang baik.

“Hubungan Malaysia dan Palestin sangat baik. Malaysia sentiasa komited memberikan sokongan dan bantuan sama ada daripada aspek politik, ekonomi dan sosial kepada Palestin sejak kepimpinan Tunku Abdul Rahman lagi. Justeru, perkara ini tetap diteruskan,” ujarnya kepada Harakahdaily, hari ini.

16 Mei, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengeluarkan satu kenyataan bahawa pihaknya memandang serius ancaman keselamatan yang dikeluarkan Israel terhadap pemimpin-pemimpin pergerakan pejuang Palestin yang berada di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Dalam masa sama, KDN juga menasihati orang ramai supaya bertenang memandangkan keadaan keselamatan dalam negara dilaporkan terkawal dan kekal berada di tahap yang baik. – HARAKAHDAILY 17/5/2021

3. Serangan ganas Israel ke atas Gaza berterusan

Api menjulang dan asap tebal di sekitar bangunan dan kediaman rakyat Palestin yang berterusan dibom pesawat tentera Israel di bandar Gaza. Gaza dibedil secara besar-besaran oleh tentera Zionis yang mendakwa menjadi pusat pelancaran puluhan roket ke Tel Aviv dan wilayah Israel lain. - Foto AFP

GAZA: Penduduk Gaza hari ini terus diselubungi ketakutan untuk berada di dalam rumah ekoran serangan bertubi-tubi jet Israel yang mengorbankan lebih 200 mangsa, setakat ini.

Serangan beberapa minit sebelum subuh itu menyaksikan kawasan pesisiran pantai Palestin yang dikuasai pejuang Hamas dihujani peluru berpandu, roket dan bedilan artileri.

Serangan tidak mengenal sasaran itu menyebabkan penduduk Palestin tidak keruan kerana nyawa terus terancam biarpun berada di rumah.

Pihak berkuasa tempatan berkata, api marak ketika letupan kuat menggegarkan Gaza, mengakibatkan bekalan elektrik terputus dan ratusan bangunan musnah.

Sebanyak 3,200 roket dibedil pejuang Palestin ke Israel sejak konflik memuncak, pada 10 Mei lalu, dalam pertempuran paling teruk sejak beberapa tahun lalu, dipacu rusuhan di Baitulmaqdis.

Penduduk Palestin menyelamatkan barangan mereka yang terselamat dari Al-Jawhara Tower di Gaza yang musnah dibedil dalam serangan udara Israel. - Foto AFP

Penduduk mengusung mayat seorang kanak-kanak dari runtuhan kediaman yang musnah di Rimal, Gaza akibat dibom Israel. - Foto AFP
Ribuan penunjuk perasaan berdemonstrasi menentang serangan Israel dan menunjukkan solidariti mereka kepada rakyat Palestin di Dam Square di Amsterdam, Belanda, semalam. - Foto EPA

Wartawan AFP di Gaza pagi tadi, melihat kepulan asap tebal dari kilang tilam, ketika anggota pertahanan awam menyasarkan hos air tekanan tinggi ke lokasi kebakaran.

Kemudian, kepulan debu dilihat di pelabuhan Mediterania Gaza susulan letupan berikutnya dengan tentera Israel mengesahkan mereka menyasarkan 'senjata tentera laut Hamas'.

Penduduk Gaza Barat, Mahdi Abed Rabbo, 39, mengakui 'ngeri dan ketakutan' susulan ketegangan serangan itu, selain menegaskan: "Tidak pernah berlaku serangan sebesar ini," katanya.

Seorang lagi penduduk Gaza, Mani Qazaat, berkata Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, perlu sedar bahawa penduduk adalah orang awam dan bukannya pejuang.

"Saya rasa seolah-olah akan mati," katanya menyingkap detik cemas ketika serangan terbabit.

Cahaya lampu Menara Kuala Lumpur yang berwarna bendera Palestin sebagai tanda solidariti rakyat Malaysia terhadap Palestin. - NSTP/Azhar Ramli
Penunggang basikal berkesempatan menyaksikan Jambatan Angkat Kuala Terengganu yang dilimpahi cahaya lampu melambangkan warna bendera Palestin ketika tinjauan malam ini. Pemasangan lampu itu adalah sebagai tanda solidariti barisan kepimpinan dan rakyat Terengganu terhadap rakyat negara itu terutama di Gaza yang sedang diserang rejim Zionis Israel ketika ini. - Foto BERNAMA

Ia turut memusnahkan infrastruktur penting, dengan pihak berkuasa elektrik hari ini, memberi amaran baki bahan api untuk menghasilkan tenaga hanya mampu bertahan beberapa hari lagi.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, berkata pihaknya sedang cuba berusaha dari belakang tabir dan meminta Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) menangguhkan resolusi berkaitan konflik Israel-Palestin.

Utusan AS bagi Urusan Israel-Palestin, Hady Amr, tiba di Ramallah hari ini untuk bertemu Presiden Palestin, Mahmud Abbas, yang mendesak Washington bertindak menentang 'pencerobohan Israel' lapor agensi berita rasmi Wafa. - AFP

6 comments:

Puaka Rimba said...

Tak iktiraf Israel kunun....minyak sawit tetap dieksport melalui negara proksi Singapura...sembang.lobai....baghal pun boleh terbang terlentang.... hihihikikikihahahakahkahkah

Anonymous said...

mme puaka punya fakta... celah mana minyak sawit diekspot melalui Spork nih....

fakta ada

Anonymous said...

Mana dapat fakta melalut ni?? Agak2 la nak tabur fitnah. Bukan malaysia saja yg bantah yahudi, banyak negara lain yg seperti malaysia buat bantahan. Yew kuan dan anaknya yg sokong yahudi. Mereka sokong pengganas. Macam puaka bantai lobai untuk sokong pengganas yahudi.

Anonymous said...

Meh aku bg fakta Malaysia jual minyak sawit ke Israel. Walaun kalo dah bodoh sgt, berenti je la dari jadi org.

https://www.tridge.com/intelligences/palm-oil/IL/import

Anonymous said...

melalui proksi Spork ke...

Anonymous said...

Teruskan bersoladariti memberi segala bentuk sokongan moral yang padu, kewangan dsb kepada semua para pejuang! Jangan berhenti mendoakan kemenangan mereka.

InshaAllah, bersama2 pasukan pejuang yang disayangi Allah SWT, umat Islam akan sekali lagi akan menang sepertimana peristiwa kemenagan didalam Perang Khaibar.

Sekali lagi kita dapat memasuki Majidil Al Aqsa dengan penuh kemuliaan sepertimana yang pernah berlaku dizaman para sahabat yang mana Bilal telah melaungkan azan disana! Tidak perlu lagi untuk mendapatkan kebenaran polis2 Yahudi untuk memasuki dimana2 sahaja pintu masjid Al Aqsa!

Allahuakbar!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails