Saturday, September 05, 2020

Keprihatinan terhadap karyawan& pejuang budaya Sabah/Sarawak.

 Penyanyi dan pelakon Sabah, Abu Bakar Ellah menerima kunjungan Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid di kediamannya. - Foto FINAS Penyanyi dan pelakon Sabah, Abu Bakar Ellah menerima kunjungan Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid di kediamannya. - Foto FINAS

HALAMAN HIBURAN

Tidak lagi terpinggir

KUALA LUMPUR: Bukan sekadar memperjuangkan nasib penggiat seni di Semenanjung Malaysia, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menunjukkan keprihatinan terhadap karyawan dan pejuang budaya di Sabah dan Sarawak.

Kesediaan FINAS menjenguk penggiat seni di kedua-dua negeri itu membuka mata banyak pihak, apatah lagi, selama ini, ramai menganggap karyawan di dua negeri itu bagai terpinggir dan tidak diendahkan.

Hasilnya, beberapa pendekatan diambil FINAS bagi mengubah nasib penggiat seni sepanjang lawatan program Ziarah Kasih FINAS Prihatin di Kuching pada 11 Julai lalu, diikuti di Kota Kinabalu pada 7 Ogos dan 29 Ogos lalu.

Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid, berkata program Ziarah Kasih FINAS Prihatin di Sabah dan Sarawak mahu membuka ruang kepada pelakon veteran dari dua negeri terbabit terus aktif dalam dunia lakonan.

"FINAS sempat menziarahi penyanyi dan pelakon, Safar Ghafar di Sarawak, pada kunjungan, Julai lalu. Selepas lawatan itu, kami dimaklumkan Safar sudah mula menerima tawaran berlakon.

"Menjadi harapan saya agar lebih ramai pelakon veteran diberi ruang seperti pelakon muda. Jangan pinggir mereka. Bagi saya, tiada yang lama, tiadalah yang baharu.

"Kita tahu bakat dan kelebihan pelakon lama tidak boleh dipertikaikan. Menerusi usaha ini, FINAS mahu menggalakkan syarikat produksi tempatan membantu lebih ramai pelakon veteran di Sabah dan Sarawak," katanya kepada BH Online.

Pelakon dan pemilik syarikat perfileman, Sabah Film Productions, Datuk Deddy M Borhan yang pernah menghasilkan 18 filem sepanjang pembabitan dalam dunia seni menerima sumbangan FINAS. - Foto FINAS Pelakon dan pemilik syarikat perfileman, Sabah Film Productions, Datuk Deddy M Borhan yang pernah menghasilkan 18 filem sepanjang pembabitan dalam dunia seni menerima sumbangan FINAS. - Foto FINAS

Zakaria berkata, pelakon veteran tidak mengharapkan bayaran besar, cuma sedikit ruang untuk melepaskan rindu beraksi di hadapan kamera.

"Berdasarkan pemerhatian saya, pelakon veteran bukan mengutamakan bayaran. Sebaliknya, mereka mahukan kepuasan lakonan.

"Sebelum ini, saya selalu dengar rungutan, pelakon muda disolek untuk tampak tua. Saya tidak faham kenapa tidak menggunakan pelakon veteran.

"Langkah ini secara tidak langsung membantu pelakon veteran mencari sesuap rezeki. Jika semua watak diberikan kepada pelakon muda, bagaimana nasib pelakon veteran apabila hak mereka turut diambil.

"Mengapa tidak memberikan peluang dan ruang yang adil kepada mereka," katanya.

Pengarah, Tony Francis Gitom yang pernah meledak menerusi drama Cinta Antara Benua dan Syurga Di Pintu Neraka masih aktif berkarya di Negeri Di Bawah Bayu tidak dipinggirkan FINAS. - Foto FINAS Pengarah, Tony Francis Gitom yang pernah meledak menerusi drama Cinta Antara Benua dan Syurga Di Pintu Neraka masih aktif berkarya di Negeri Di Bawah Bayu tidak dipinggirkan FINAS. - Foto FINAS

Sempena lawatan kerja FINAS ke Sabah, program Ziarah Kasih FINAS Prihatin menjejaki pelakon veteran, Datuk Deddy M Borhan, Dayang Asnah Ibrahim dan Mohamed Salleh atau lebih dikenali sebagai Mat Congo.

Menerusi usaha itu, Zakaria turut berterima kasih atas pembabitan Global Ikhwan Sdn Bhd Holdings (GISBH), Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Yayasan Felda.

Zakaria berkata, beliau sudah menziarahi 50 artis veteran sepanjang bertugas sebagai Pengerusi FINAS.

"Dalam setiap lawatan kerja, saya akan cuba meluangkan masa menziarahi artis veteran, tidak kira di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

"Saya sudah turun padang menziarahi artis veteran di Negeri Sembilan, Johor, Pahang dan banyak lagi lokasi lain. Pada setiap lawatan, saya akan ziarah dua hingga tiga artis veteran," katanya.

Selain itu, program pratonton filem komedi berjudul Craze Below the Wind turut diadakan pada lawatan Zakaria yang ditemani Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri ke Sabah, baru-baru ini. Sesi tayangan itu dikendalikan pengarah muda, Katak Chua.

Zakaria berkata, FINAS juga terbabit dengan beberapa program perkongsian bersama penduduk Sabah membabitkan penerangan mengenai visi, misi dan peluang yang boleh dimanfaatkan melalui agensi itu.

"Seperti diketahui, FINAS memiliki studio di Kuching. Jadi, kita dalam perancangan membuka studio di Sabah.

"Dengan pembangunan studio, orang ramai boleh menyewa peralatan dan keperluan penggambaran seperti di Kuching dan Kuala Lumpur.

"Usaha ini secara tak langsung memberi kemudahan kepada anak seni untuk terus berkarya," katanya.

Hibur Hibur Sikit

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails