Thursday, November 29, 2018

Parti Saadat &AKP Menurut Presiden PAS

Hasil carian imej untuk Parti Saadat dan AKP dari perspektif Presiden PAS

KL: Hubungan tegang antara dua parti politik Turki iaitu Parti Saadat dengan Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) kini semakin reda dan PAS cuba mendamaikan antara keduanya supaya bekerjasama.
Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menjelaskan situasi kedua parti itu sebagai menjawab soalan hadirin pada Syarahan Perdana “Geopolitik Dunia dan Masa Depan Islam” di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak malam kelmarin.
Penerangannya itu mengimbau susur galur panjang perjuangan politik Islam di Turki yang berhadapan realiti Perlembagaan sekular dan segala cabaran ditempuh sebelum dapat sampai kepada keadaan seperti hari ini.
“Bila jatuhnya Uthmaniyah di Turki, Kamal Ataturk menegakkan negara sekular. Sekular ini dia masuk Perlembagaan Turki, wajib dipertahankan. Tak ada siapa yang boleh menghapuskan sekular. Dengan sebab itu tahun 1961, 60-an, Adnan Menderes yang menang pilihan raya jadi Perdana Menteri.
“Beliau cuba nak buat perubahan sedikit saja, nak benarkan hajat orang Turki pergi Makkah dengan bebas. Buka Madrasah Imam Khatib, untuk menyediakan imam dan khatib masjid-masjid. Beliau digulingkan, dijatuhkan hukuman mati, hukuman bunuh kerana kesalahan itu.
“Kemudian tahun 1970-an, munculnya Najmuddin Erbakan. Beliau seorang ahli akademik yang sangat berpengaruh di Turki. Orang Turki tak berani nak bertindak terhadap dia kerana pengaruh dia besar. Namun dia tak boleh nak berterus terang kepada Islam, jadi masalah,” ceritanya.
Menurut Tuan Guru, usaha Najmuddin membentuk G8 di peringkat antarabangsa dan cuba melaksanakan Islam secara terbuka menyebabkan dia diguling dan menubuhkan parti politik beberapa kali iaitu daripada Parti Salamat kepada Parti Refah, seterusnya Saadat.
Manakala Recep Tayyip Erdogan yang merupakan anak murid Najmuddin pula menubuhkan AKP yang mengadakan perjanjian dengan tentera tidak akan melaksanakan Islam, menyebabkan berlaku perbalahan antara Erdogan dan Erbakan.
“Cuma apa yang saya lihat pada hari ini, walaupun AKP ini tak boleh membatalkan diplomatik dengan Israel sampai sekarang. Namun dia dapat melemahkan pengaruh-pengaruh Israel dalam Turki. Pengaruh-pengaruh, khususnya dia berjaya membebaskan perisikan Turki daripada Mossad, itu kejayaan yang besar.
“Dengan sebab itu rampasan kuasa di Turki yang diatur oleh Israel dan Barat baru ini disokong negara Arab, gagal. Kerana ‘intelligent’ dia dapat kuasai. Satu lagi yang menarik ialah dia berjaya mewujudkan demokrasi, boleh mengajar agama, bebas di masjid-masjid. Dan masjidnya hidup.
“Cumanya kita kena sedar, Erdogan ialah memberi peluang untuk Islam itu bergerak. Dia nak laksanakan Islam, tak boleh lagi. Memberi peluang kepada orang lain untuk menggerakkan Islam. Ini yang dia boleh buat.
“Dan kita harap perubahan yang mutakhir ini, bila Turki mula beralih daripada terikat dengan Amerika, mengadakan Pakatan dengan Russia dan Iran. Selepas rampasan kuasa, Turki mengadakan pakatan dengan Iran dan Russia untuk membebaskan dari pengaruh Amerika,” terang beliau. - HARAKAHDAILY 28/11/2018

1 comment:

sayednoordin said...

Semoga ikatan Rusia,Turkey dan Iran akan menambah kekuatan kuasa kedua di rantau teluk dan TT khususnya.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails