Wednesday, November 28, 2018

Altinet: Berhenti Menyanyi Umur 40, Hingga Tolak 5 Angka. Mengapa?


Menunaikan janji berhenti menyanyi pada usia 40 tahun, Altimet bagaimanapun mahu terus mencipta lagu dan membimbing bakat baharu. Kelihatan dalam foto, Altimet bersama penyanyi rap remaja, Ben Ladin. - Foto IG Altimet 

HALAMAN HIBURAN

KUALA LUMPUR: Berpegang kepada keputusan berhenti menyanyi pada usia 40 tahun, Altimet menolak undangan membuat persembahan biarpun ada antaranya menawarkan habuan lima angka.
Altimet atau nama penuhnya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad yang meraikan hari jadinya, semalam, mahu terus berpegang kepada janji tidak lagi menyanyi sebaik usia genap empat dekad.

“Sempena ambang tahun baharu, saya dapat lima lamaran (persembahan). Semuanya saya tolak biarpun rata-ratanya (bayaran) bernilai lima angka ke atas.
“Saya perlu berpegang pada kata-kata saya.
“Cuma apa yang agak ‘lari’ adalah soal konsert yang dirancang bulan ini, terpaksa ditunda Februari depan,” katanya kepada BH Online.
Sebelum ini, Altimet mengumumkan dia akan mengadakan konsert penutup sempena pengundurannya. Sebelum itu, dia mahu menghadiahkan sebuah album berjudul O.
Altimet berkata, mulai sekarang, dia tidak lagi bergerak sebagai rapper dalam industri muzik tempatan.
“Selepas album O dilancarkan, saya tidak akan menyanyi lagi. Tidak akan ada persembahan melainkan konsert pada Februari depan,” katanya.
Berkongsi perancangannya selepas berhenti menyanyi, Altimet berkata, dia akan mengusahakan perniagaan francais kedai gunting rambut atau barber.
“Saya juga melabur dalam syarikat pizza dan aplikasi pembelajaran al-Quran iaitu Recite yang baru dilancarkan di Malaysia.
“Selain itu, saya juga menerima beberapa tawaran berlakon filem serta teater. Namun, saya masih menimbangkannya,” katanya.
Altimet berkata, dia bagaimanapun akan terus berkarya dan mencipta lagu untuk penyanyi lain.
Semalam, pada sebuah majlis di Petaling Jaya, Altimet melancarkan album terakhirnya.
Album yang memuatkan 13 lagu itu dianggap perlambangan kerjaya seni Altimet atau kitaran hidup yang sudah lengkap.
Tambah Altimet, konsep album itu tercetus kira-kira lapan tahun lalu.
“Ketika itu, saya tak cukup kemahiran. Sekarang apabila sudah cukup pengalaman, saya boleh katakan, album ini adalah sebuah filem dalam bentuk audio,” katanya.
Apa yang menarik, album itu menyaksikan Altimet bekerjasama dengan rakan-rakan lama seperti Teh Tarik Crew, Aizat Amdan, Aisyah Aziz, Taufik Batisah, Hazama, Aina Abdul, Sona One dan Zizi Kirana.
Album yang diedarkan oleh Warner Music Malaysia itu boleh dimuat turun daripada platform digital mulai 7 Disember depan.
Manakala album fizikal pula boleh didapati di pasaran mulai 21 Disember. Bersamamu adalah single pertama yang dipromosikan daripada album berkenaan. (BH)
 Altimet dan ibunya, Jamalah Agil Alsagoff.
Komen Weblog Ibnu HasyimBiarpun merangkul trofi kategori Persembahan Terbaik menerusi lagu Amboi pada Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-32, Altimet tetap meneruskan hasrat berhenti menyanyi sebaik usia menginjak 40 tahun pada 27 November  semalam. 

"Saya percaya, Allah beri kemenangan ini bererti cukup-cukuplah saya menyanyi. Saya tidak akan ubah pendirian itu. Saya hanya mampu memanjat kesyukuran atas nikmat ini kepada Tuhan." Azamnya semasa merangkul kemenangan tersebut.

Jadi dapatkah anda meneka mengapa beliau ingin berhenti menyanyi semasa umur 40 tahun, bahkan hingga menolak bayaran tawaran 5 Angka? 

Altimet - Amboi (Official Music Video)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails