Friday, November 30, 2018

Husam Minta K'tan Mohon Maaf Terbuka, Ini Jawab MB..

Surat tarik balik larangan tanda kerajaan Kelantan mohon maaf - Ahmad Yakob
Ahmad (gambar) berkata permintaan Husam untuk kerajaan negeri memohon maaf secara terbuka sebenarnya sudah jelas terjawab dengan keluarnya surat pekeliling itu. - Facebook/Dato' Ahmad Yakob

BACHOK: Surat pekeliling yang dikeluarkan mengenai penarikan semula larangan memasuki pejabat kerajaan negeri ke atas beberapa individu termasuk Pengerusi Pakatan Harapan (PH) kelantan, Datuk Husam Musa dianggap sebagai satu permohonan maaf daripada kerajaan negeri.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkaya, permintaan Husam supaya kerajaan negeri memohon maaf secara terbuka sebenarnya sudah jelas terjawab dengan keluarnya surat pekeliling itu.

"Kemaafan sifat yang baik, kita sebagai kerajaan Islam kena minta maaf supaya dapat laksana urusan pentadbiran dengan baik.

"Saya boleh sahkan memang kita dah keluarkan surat itu melaui setiausaha kerajaan negeri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Pertunjukkan Kuda Kebangsaan di Royal Kelantan Endurance Stables, Gunong, di sini, pada Khamis.


Turut hadir, Pengerusi Majlis Ekuin Malaysia, Jeneral (B) Tan Sri Datuk Sri Zulkifeli Mohd Zin.

Memetik laporan Bernama, Husam dan beberapa individu termasuk Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan, Datuk Wan Abd Rahim Wan Abdullah, dikenakan sekatan memasuki pejabat kerajaan negeri dan Kompleks Darul Naim sejak Mei lalu, bagaimanapun 21 Nov lepas larangan tersebut telah ditarik balik.

Dalam satu kenyataan pada Rabu, Husam meminta kerajaan negeri membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung perkara itu selain menuntut bayaran ganti rugi atas aib yang ditimpakan kepada semua pihak yang disekat.

Ahmad bagaimana pun tidak mengulas berhubung tuntutan bayaran ganti rugi seperti yang diminta Husam itu.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, kerajaan negeri sedia bekerjasama dengan pertubuhan berkaitan sukan berkuda bagi membina trek lumba kuda di negeri ini.

Katanya, ini kerana aktiviti sukan berkuda mempunyai potensi untuk dikembangkan dengan penyertaan dari kalangan orang muda setiap hujung minggu.

Pertunjukan Kuda Kebangsaan anjuran Majlis Ekuin Malaysia itu julung kali diadakan di Kelantan membabitkan beberapa kategori pertandingan termasuk "dressage", "show jumping", "endurance", "pony race" dan pertandingan juru ladam. (AA)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails