Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, mesej tular serta khabar angin mengaitkan kejadian tersebut dengan isu perselisihan kaum antara orang Melayu dan India adalah tidak benar dan perlu dihentikan segera.
Menurutnya, polis akan me­ngambil tindakan tegas terhadap sesiapa sahaja termasuk ahli politik jika terus menyebarkan maklumat salah kerana perkara itu dikhuatiri boleh mencetuskan ketegangan kaum sekali gus menggugat ketente­raman awam.
“Kejadian ini sudah menjadi isu sensitif dan kita tidak mahu mana-mana pihak mengambil kesempatan untuk menjayakan agenda tersendiri dengan cara menyebarkan berita tidak benar.
“Saya ingatkan semua pihak, jadilah lebih bertanggungjawab, jangan tularkan perkara tidak betul. Polis akan ambil tindakan tegas kerana isu ini boleh me­ngancam keselamatan dalam negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) 2018 kepada 380 penerima di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hassan.
Noor Rashid memberitahu, mengikut maklumat awal, dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi ini, sekumpulan lelaki dikatakan menceroboh kuil tersebut dan kehadiran mereka disedari penjaga kuil yang kemudiannya memanggil lebih ramai penduduk setempat ke situ.
Ujarnya, penduduk telah mengepung kumpulan lelaki terbabit sebelum tercetus pergaduhan di lokasi berkenaan yang menyaksikan sebanyak 18 kenderaan dilaporkan dibakar perusuh.
“Polis sudah ambil tindakan sewajarnya bagi mengelak insiden menjadi lebih buruk. Kita sedang menyiasat perkara ini dan semua pihak terlibat akan diambil tindakan tegas,” katanya.
Difahamkan, sehingga kini, tujuh lelaki berusia dalam lingkungan 30-an ditahan polis berhubung kes tersebut.
Dalam perkembangan lain, beliau menafikan dakwaan portal-portal dari negara jiran kononnya Malaysia kini berhadapan rusuhan agama dan tidak selamat untuk dilawati terutama sekitar tarikh 5 hingga 10 Disember ini.
“Apa digambarkan itu tidak betul sama sekali, keadaan Malaysia adalah selamat untuk di­lawati sesiapa sahaja,” katanya. (Utusan)