Sunday, May 13, 2018

Wala’, PAS Kekal Terbaik. Apa Kata Prof Khoo Kay Kim



KETIKA ini, belum seminggu negara menyaksikan keruntuhan tembok besar BN yang diruntuhkan sendiri oleh golongan-golongan yang berada di bawah ketiak BN dahulu. Sudah kelihatan bunga-bunga yang berguguran dek kerana kegoncangan yang agak kuat, dialami oleh BN. Sudah ada yang menukar jersi mereka daripada biru tua kepada kepada biru muda ataupun merah. Mereka saling menunding jari menunjuk sesama sendiri. Tidak kurang yang bersikap kurang ajar, terhadap ketua mereka sendiri.
Ya-lah, pasukan yang tidak pernah kalah, bermain di gelanggang sendiri. Pengadil pula rakan baik mereka, penonton juga hanya dari kalangan mereka, setelah 61 tahun, gugur di peringkat akhir kepada lawannya yang dikatakan mempunyai pemain yang tua. Bila kalah, sikap sebahagian penonton mula berubah, habis diungkit kejahatan pasukan mereka, kelemahan itu dan ini, meminta orang itu dan ini dipecat, meminta nafas baharu, bercakaran sesama mereka sehingga terpaksa bersikap melampaui adab berorganisasi. Dan akhirnya, ketua mereka meletakkan jawatan.
Saya tidak mahu mengulas panjang berkenaan amukan ahli-ahli mereka. Tetapi saya ingin menarik perhatian pembaca kepada suatu keadaan yang hampir sama berlaku kepada PAS sedikit masa dahulu. Setelah mencuri tumpuan negara dengan kemenangan cemerlang 1999, PAS mengorak langkah dengan bergaya. Dengan segala kekurangan, mereka bergerak membawa Kerajaan Terengganu dan Kelantan ke arah Negeri Islamik. Namun, takdir menentukan, pada 2004 setelah BN sudah mengemaskini Daftar Pemilih mereka, Tun Abdullah mengadakan PRU11. PAS menyedari banyak nama yang meragukan di dalam Daftar Pemilih SPR, telah membuat bantahan secara rasmi, tetapi ditolak.
Masih berkeyakinan akan menang, maka pada tanggal bersejarah itu, kira-kira jam tiga petang, seorang kawan saya yang memaklumkan PAS sudah kalah. Saya bertanya bagaimana mungkin, kita masih ada dua jam untuk mengundi? Dia memaklumkan yang abangnya salah seorang pegawai atasan polis di Bukit Aman memberitahunya kerana culaan mereka sudah mencapai jumlah kemenangan. Benar-benar ia terjadi, PAS kalah di Terengganu 28-4. Impian menakluk Kedah berkecai. Kelantan tinggal tiga kerusi majoriti mudah yang kemudiannya hilang satu lagi di Pengkalan Pasir yang meninggalkan PAS Kelantan memerintah dengan kelebihan satu kerusi dengan majoriti dua undi di Dun Kemuning, Machang.
Sungguh kecewa rasa hati. Sedih pilu Allah sahaja yang tahu. Ketika itu suara-suara sumbang mulai kedengaran, terutamanya daripada pimpinan yang lari daripada PAS tahun 2015 dahulu. Di dalam Harakah(yang sedia maklum ketika itu dikuasai mereka) disiarkan tulisan salah seorang pimpinan PAS yang menyindir Presiden apabila Presiden PAS mengingatkan ahli agar mengambil ibrah kekalahan Perang Uhud. Tetapi pimpinan yang lari pada 2015 itu bertanya, berapa orang yang syahid dalam PRU 2004 ini? Sikap kurang ajar itu jelas ditunjukkan beliau.
Luka kekalahan itu tidak sembuh semudah meletakkan ubat luka, ia datang lagi tidak lama berselang selepas itu, kali ini di Kuala Berang, ada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerana kematian Adunnya. PAS kalah lagi dengan majoriti yang besar. Dan tambah memeritkan ialah PRK itu dijalankan hampir serentak dengan tarikh Muktamar PAS Pusat, ketika perwakilan sedang membincangkan kekalahan PRU itu. Di dalam sidang muktamar itu Dato’ Mustafa Ali atau Cikgu Pa sebagai Naib Presiden menjelaskan ada desakan daripada pimpinan (Baca mereka yang keluar PAS 2015) untuk mengadakan tunjuk perasaan di jalan raya kerana PAS kalah ditipu (Kemudian selepas berpecah dari PAS, mereka menukar kenyataan bahawa kekalahan PAS kerana Presiden PAS tidak pandai memerintah, bagi menabur fitnah). Tetapi Cikgu Pa menolak sebarang rancangan turun ke jalan raya itu.
Beliau meminta semua agar bertenang dan menerima kekalahan itu kerana PAS masih kekal dengan prinsip Muwajahah Silmiyyah iaitu berdepan lawan dengan cara yang baik. Tindakan bijak Cikgu Pa itu, menutup segala ruang fitnah yang lebih besar. Tetapi beliau juga difitnah oleh sebahagian kumpulan itu dengan tuduhan lain. Daripada kumpulan ini juga, selepas beberapa muktamar, adanya suara agar Presiden PAS meletak jawatan atas alasan kalah itu. Ada yang cuba mencalonkan Mursyidul Am, Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai Presiden. Ada juga cubaan meletakkan Husam Musa sebagai calon Presiden oleh PAS Kawasan Bukit Bintang. Mereka meletakkan kesalahan ke atas Presiden seorang tanpa mereka akui, mereka juga adalah sebahagian kepimpinan PAS yang tewas itu. Inilah bahananya jika kemenangan yang dijadikan tujuan utama kepada perjuangan, sedangkan PAS sudah kalah berkali-kali sebelum ini.
Tidak terhenti di situ sahaja, usaha mereka menukar kepimpinan PAS berterusan. Cubaan Husam Musa untuk mencabar Presiden PAS beberapa kali selepas itu, dipandang sepi oleh perwakilan. Lalu Husam menolak pencalonan kononnya menghormati Presiden, sedangkan perwakilan tahu, dia tidak mempunyai sokongan yang kuat. Lantas beliau mencuba pula sebagai Timbalan Presiden dengan dakwaan beliau mahu membaiki parti. Ketika itu Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Tantawi menempelak Husam dengan mencabar beliau bertanding jawatan Presiden sebab Timbalan Presiden mempunyai kuasa yang lebih rendah. Untuk tempelakan itu, Husam membalasnya dengan Nasrudin tidak diberikan ruang untuk berceramah ketika PRK di Manik Urai oleh Husam walaupun Nasrudin adalah Ketua Dewan Pemuda PAS.
Sehinggalah mereka keluar, PAS tetap teguh dengan menangani masalah-masalah yang kecil mahupun sehingga tahap krisis. Satu ramuan utama yang menyebabkan PAS masih teguh berdiri sehingga kini, iaitu ahli-ahli PAS Wala’ kepada pimpinan. Tsiqah kepada segala bentuk keputusan yang diambil oleh pimpinan. Mereka tidak terpengaruh dengan hasutan pimpinan yang keluar parti sedikit masa dahulu. Lebih 80 peratus ahli setia bersama Presiden Tuan Guru ketika Ahmad Awang cuba menentang beliau. Lalu takdir yang menjadi ketentuan Allah, berlaku sebagaimana yang kita tahu selepas muktamar itu.
Sekarang, sebahagian bekas pimpinan PAS itu dikalungkan jawatan Menteri hasil Tahaluf mereka di bawah Pakatan Rakyat. PAS tetap menjadi pembangkang, tidak ambil pusing jawatan itu, sudah lali difitnah dan dihina. Namun, lihatlah, tiada suara sumbang yang menyeru kepada Presiden agar meletak jawatan. Tidak terliur dengan jawatan Menteri kerana jika benar-benar PAS mahu, Umno-lah yang seharusnya menjadi pilihan PAS semenjak dahulu. Pasti sudah lama PAS menjadi kaya, jika harta dan pangkat jadi keutamaan. Prinsip PAS yang sangat utuh ini dipegang sehingga kini, dan disebabkan itulah, tiada pihak yang boleh mengumpan jawatan ataupun harta kepada pimpinannya. Janji taat setia atas nama Allah, cukup menggerunkan mereka, kecuali yang tidak berasa bersalah dengan Allah. Ahli PAS sememangnya Wala’.
Ketika ini, fitnah kepada PAS telah kembali kepada mereka. Di sebalik PAS dituduh UG dengan BN di Perak, PH tidak perlu mencuci, memberus, menyental dosa-dosa BN. Tetapi dengan hanya membuka pintu masuk rumah mereka, dosa dan noda Adun BN hilang. Jilatan kepada kahak fitnah yang masih berlendir suam itu, dihirup dan dinikmati penuh yakin, puas dan gembira oleh mereka dan dikongsi dengan penyokong mereka, kerana mahukan jawatan.
Fitnah lain kepada PAS dahulu ialah dikatakan menjadikan golongan Syiah sebagai pimpinan PAS. PAS secara konsisten, menjelaskan bahawa Yahudi dan Zionis adalah musuh utama Islam. Sementara Syiah boleh didekati untuk didakwah. Tetapi mereka mencemuh Presiden PAS kerana idea Taqrib itu. Dan sekarang pula orang yang mereka gelar Syiah dahulu menjadi ketua mereka. Mengikut Hadis yang dibacakan oleh Pakar Hadis mereka, pemimpin wajib ditaati, haram dilawan. Maka, pastikan Pakar-pakar Hadis ini tidak keluar dari jemaah Islam PH mereka ini. Wajib mentaati ketua baharu yang mereka kata Syiah dahulu, haram dilawan.
 Profesor Khoo Kay Kim 
Pernah ahli-ahli PAS dipuji oleh Profesor Emeritus Khoo Kay Kim seorang Pakar Sejarah Malaysia bahawa, tiada ahli parti lain yang boleh melawan kerja-kerja yang ahli PAS lakukan untuk parti mereka. Mereka bekerja tanpa upah dan taat kepada pimpinan. Wala’ inilah yang menjadi senjata ampuh bagi PAS. Digelar lawan sebagai bodoh kerana Wala’ membabi buta, tetapi apabila mereka dilanda krisis dengan keputusan pimpinan mereka, pandai pula mereka menyuruh bersabar dan dengar kata pimpinan. InsyaAllah PAS kekal relevan selagi sikap mematuhi arahan kepimpinan yang tidak bercanggah dengan al-Quran dan Sunnah disemat di dalam dada-dada ahli. Ahli PAS perlu sedikit bersabar menanti keputusan-keputusan penting sekarang ini yang memerlukan kepada kebijaksaan pimpinan Majlis Syura Ulamak memutuskannya. Wala’ PAS bukan membabi buta, tetapi Wala’ kerana Allah.
MOHD NASIR ABDULLAH  
Al-Khor, Qatar
13 Mei 2018 - HARAKAHDAILY 13/5/2018

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails