Oleh: USTAZ DATO' AHMAD YAKOB
Tafakkur dan Tafaqquh Juz 2
TAFAKKUR hari ini memfokuskan keagungan serta kuasa Allah S.W.T dalam membangkitkan semula orang mati. Dalam juz kedua ada dinyatakan melalui sepotong ayat berkenaan kisah penduduk sebuah kampung yang lari daripada penyakit taun kerana bimbangkan kematian.
Lalu setelah berhijrah ke perkampungan lain, Allah mematikan mereka. Seorang Nabi yang melalui kawasan berkenaan dikatakan namanya adalah Nabi Syam'un telah berdoa agar Allah menghidupkan mereka semula. Kisah ini dirakamkan melalui firman Allah:
أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ خَرَجُوا مِنْ دِيَارِهِمْ وَهُمْ أُلُوفٌ حَذَرَ الْمَوْتِ فَقَالَ لَهُمُ اللَّهُ مُوتُوا ثُمَّ أَحْيَاهُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ لَذُو فَضْلٍ عَلَى النَّاسِ وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَشْكُرُونَ
"Tidakkah engkau ketahui (wahai Muhammad) tentang orang-orang yang keluar (melarikan diri) dari kampung halamannya kerana takutkan mati, sedang mereka beribu-ribu ramainya? Maka Allah berfirman kepada mereka: 'Matilah kamu' kemudian Allah menghidupkan mereka. Sesungguhnya Allah sentiasa melimpahkan kurnia-Nya kepada manusia, tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur." [Al-Baqarah:243]
Setengah riwayat menyatakan jumlah mereka mencecah 30 ribu orang dan ada pendapat jumlah mereka 4 ribu dan 8 ribu orang. Mereka enggan keluar berjihad kerana takutkan mati lantas Allah mematikan mereka dan menghidupkan semula agar mereka melihat kekuasaan Allah dan menjadi hamba yang bersyukur.
Sangat mudah bagi Allah menghidupkan semula orang mati walaupun jasad manusia sudah hancur. Kita semua maklum, apabila seseorang manusia mati, jantung berhenti mengepam darah ke seluruh badan. Sel-sel badan tidak lagi menerima oksigen yang diangkut oleh darah. Akibat ketiadaan oksigen, semua sel akan mati. Kematian sel bermula pada sel otak dan berakhir pada sel kulit.
Setelah manusia yang mati dikebumikan, jasadnya semakin hari akan hancur dimakan bakteria dan serangga di dalam kubur. Apa yang tinggal hanyalah tisu-tisu keras seperti tulang dan gigi. Akhirnya tulang juga akan hancur.
Dengan kuasa-Nya, manusia boleh hidup semula dan kekal di alam akhirat sama ada berada di Syurga atau di kediaman menakutkan Neraka. Marilah kita memohon kepada Allah S.W.T agar membebaskan kita daripada ancaman Neraka sempena kedatangan bulan yang penuh keberkatan ini. Semoga kita semua tenang berhadapan dengan kematian dan ketika hidup setelah kematian kelak.
USTAZ DATO' BENTARA KANAN MENTERI BESAR KELANTAN
02 Ramadhan 1439H - HARAKAHDAILY 18/5/2018
No comments:
Post a Comment