FIRMAN Allah:
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا (٢١)
[الأحزاب: ٢١]
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah S.A.W itu contoh ikutan yang terbaik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) Hari Akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”
(al-Ahzab: 21)
Benarlah Allah Tuhan Maha Esa, Maha Penyayang, Maha Adil dan Maha Bijaksana, serta Maha Suci daripada segala sifat kekurangan. Allah mengharamkan zalim dilakukan oleh-Nya dan mengharamkan kepada hamba-Nya berlaku zalim, tiada bandingan dan tandingan dengan-Nya.
Allah menetapkan bahawa Rasulullah S.A.W adalah teladan terbaik dalam semua perkara. Bukan sahaja ibadat, termasuk juga urusan kehidupan dunia, di antaranya urusan politik ketika mencapai kemenangan paling berkuasa memerintah ketika negaranya paling kecil sehinggalah menjadi kuasa besar.
Sejarah kemenangan revolusi di Barat dan Timur dibayangi dendam yang mengorbankan manusia yang ramai, pemimpin dan rakyat lemah yang menyokongnya menjadi mangsa geram sehingga tanpa perhitungan kemanusiaan. Kita juga menyaksikan pihak yang pernah berkuasa tanpa akidah dosa dan pahala tidak mengenang jasa lawannya walaupun sedikit budi baik mereka.
Maka Rasulullah S.A.W ialah pilihan Allah untuk menjadi contoh teladan terbaik dalam urusan berpolitik pada masa kalah dan menang di dunia kerana mengajar kemenangan di akhirat yang diimaninya. Baginda S.A.W melengkapkan dirinya dengan sifat takwa berpandukan firman Allah:
وَسَارِعُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ (١٣٣) الَّذِينَ يُنْفِقُونَ فِي السَّرَّاءِ وَالضَّرَّاءِ وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ (١٣٤) وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ وَمَنْ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا اللَّهُ وَلَمْ يُصِرُّوا عَلَى مَا فَعَلُوا وَهُمْ يَعْلَمُونَ (١٣٥) أُولَئِكَ جَزَاؤُهُمْ مَغْفِرَةٌ مِنْ رَبِّهِمْ وَجَنَّاتٌ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا وَنِعْمَ أَجْرُ الْعَامِلِينَ (١٣٦)
[آل عمران: ١٣٣-١٣٦]
“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa; (133) Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik; (134) Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah, lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). (135) Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal. (136)”
(ali-'Imran: 133-136)
Rasulullah S.A.W mengajar para Sahabat dan umatnya sepanjang zaman sehingga akhir zaman secara amali, apabila berjaya mencapai kemenangan menawan Makkah secara aman, setelah berjaya melemahkan dan mengalahkan musuhnya yang paling zalim dan jahat. Mereka membunuh keluarganya dan para Sahabatnya yang beriman, menyeksa dan merampas harta dan tempat kediaman. Namun, Rasulullah S.A.W menunjukkan akhlak paling mulia dan tinggi sehingga dipuji oleh Allah dan meminta umat mengambil teladan dan contoh daripada Baginda S.A.W.
Kesyukurannya kepada Allah mengatasi gembira kemenangan, kesabarannya menjadikan sifat kasihan mengatasi kemarahannya, sehinggalah pengampunan mendahului dendam yang dibakar kegeraman yang membakar perasaannya yang dapat dipadamkan.
Tindakannya berjaya melaksanakan politik bijak menjadikan menguasai seluruh Semenanjung Arab yang masih dikuasai oleh jahiliyah paling kejam, yang juga didukung oleh dua kuasa besar dunia Parsi di Timur dan Rom di Barat. Akhirnya semuanya tumbang diatasi oleh Budaya Politik Matang dan Sejahtera.
Mukadimahnya ialah Suluh Hudaibiyyah (Perjanjian Hudaibiyyah) setelah dihalang memasuki Makkah dan berlakunya baiah yang menakutkan musuhnya yang sedia berdamai. Walaupun sudah bersedia untuk menyerang Makkah, namun dihentikan dahulu dengan menerima konsep perdamaian yang hendaklah didahulukan berpandukan firman Allah:
وَإِنْ جَنَحُوا لِلسَّلْمِ فَاجْنَحْ لَهَا وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ (٦١) وَإِنْ يُرِيدُوا أَنْ يَخْدَعُوكَ فَإِنَّ حَسْبَكَ اللَّهُ هُوَ الَّذِي أَيَّدَكَ بِنَصْرِهِ وَبِالْمُؤْمِنِينَ (٦٢) وَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ لَوْ أَنْفَقْتَ مَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مَا أَلَّفْتَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ وَلَكِنَّ اللَّهَ أَلَّفَ بَيْنَهُمْ إِنَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ (٦٣)
[الأنفال: ٦١-٦٣]
“Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakalah kepada Allah. Sesungguhnya ia Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui (61) Dan jika mereka bertujuan hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjaga dan memberikan perlindungan) kepadamu. Dia-lah yang menguatkanmu dengan pertolongan-Nya dan dengan (sokongan) orang-orang yang beriman (62) Dan (Dia-lah) yang menyatupadukan di antara hati mereka. Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatupadukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatupadukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana (63)"
(al-Anfal: 61-63)
Walaupun perjanjian yang dimeteraikan itu kelihatan berpihak kepada musuh yang zalim itu, namun tetap diterima oleh Rasulullah S.A.W walaupun para Sahabat tidak berpuas hati, tetapi mereka taat dan walak (tetap setia dan percayakan Rasulullah S.A.W) dengan perasaan geram yang membakar dalam dada mereka, tetapi taat dan kesetiaan kepada pemimpin tetap diutamakan.
Ketegasan Rasulullah S.A.W menjadi pemimpin yang tidak tunduk kepada pengikut yang tidak matang berfikir, apa lagi yang bersemangat tetapi bodoh berpolitik. Akhirnya membuahkan hasil Islam diterima secara berlipat kali ganda sebelumnya. Musuh yang tidak setia kepada janji itu menjadikan ruang untuk masuk ke Makkah dan berkuasa dengan aman.
Apa yang menarik apabila berjaya menawan Abu Sufian pemimpin paling berpengaruh dan menahan Umar bin al-Khattab daripada membunuhnya, tetapi memujuknya masuk Islam walaupun seperti terpaksa. Pengaruh Abu Sufian yang ditawan dan dipujuk berjaya melemahkan musuh yang masih ada di Makkah.
Paling menarik ialah pengampunan beramai-ramai yang diisytiharkan, termasuk orang yang dikenang jasa bapanya dan keluarganya yang pernah berakhlak mulia dan terhadap kalangan yang telah disenaraikan mesti dihukum, tiba-tiba mengubah keadaan secara drastik berpihak kepada Islam.
Maka dilaksanakan firman Allah:
وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ (٣٣) وَلَا تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَلَا السَّيِّئَةُ ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ (٣٤) وَمَا يُلَقَّاهَا إِلَّا الَّذِينَ صَبَرُوا وَمَا يُلَقَّاهَا إِلَّا ذُو حَظٍّ عَظِيمٍ (٣٥) وَإِمَّا يَنْزَغَنَّكَ مِنَ الشَّيْطَانِ نَزْغٌ فَاسْتَعِذْ بِاللَّهِ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ (٣٦)
[فصلت: ٣٣-٣٦]
“Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Agama Allah (Islam), serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil (berterus terang) berkata: "Sesungguhnya Aku adalah dari orang-orang Islam (yang beramal dengan Islam dan mengajak kepada Islam)!" (33) Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumNya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. (34) Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat. (35) Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari syaitan (supaya bertindak melulu atau melampau), maka hendaklah engkau meminta perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dia lah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui. (36)”
(Fussilat: 33-36)
Inilah Konsep Wasatiyyah yang wajib beristiqamah, berbeza dengan Islam Liberal yang hanyut dan tidak juga melampau seperti Taliban dan ISIS.
“Sejahtera Bersama Islam”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 28 Syaaban 1439 / 14 Mei 2018 - HARAKAHDAILY 14/5/2018
No comments:
Post a Comment