Wednesday, May 16, 2018

Berilah Masa Anwar 'Berehat'. -Wan Azizah



KUALA LUMPUR — Berikan masa kepada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berehat dahulu sebelum kembali terlibat dalam politik, kata isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.


Selain itu, katanya, ruang harus diberikan agar peralihan kuasa kepada kerajaan hari ini dapat dilaksana dengan lancar dan aman.
“Biarlah dia sihat dahulu dan biarlah proses itu (peralihan pemerintahan kerajaan baharu) berlalu dahulu sebelum beliau aktif kembali mengambil bahagian.
“Alhamdulillah, dia beransur pulih dan menunggu saat kebebasan dan untuk menyambut Ramadan bersama keluarga dan bertarawih,” kata Presiden PKR itu yang turut dinamakan sebagai Timbalan Perdana Menteri bagi kerajaan PH, kepada pemberita di sini, hari ini.
Dr Wan Azizah berkata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menghubungi beliau sendiri untuk memaklumkan Lembaga Pengampunan Diraja akan bermesyuarat pada Rabu ini bagi mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berhubung pengampunan dan pembebasan Anwar.
Sebelum itu, Dr Wan Azizah melawat Anwar yang menjalani rawatan di Hospital Rehabilitasi Cheras.
Anwar menjalani hukuman lima tahun penjara pada Februari 2015 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan bersalah atas sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya.
Anwar, yang dipenjarakan di Penjara Sungai Buloh, sepatutnya dibebaskan pada 8 Jun ini. – BERNAMA

1 comment:

Anonymous said...

Bila tgk keadaan dr mahathir masa berucap smlm. Nmpk mcm dah lemah sangat. Cam kesian pun ada... buat saya teringat pada atok... Yg memerlukan rehat rasanya lebih kepada mahathir bukannya dsai...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails