Monday, May 14, 2018

Janji Manifesto PH. Pemuda PAS Pantau..



MARANG: Kestabilan politik kerajaan negeri di bawah kepimpinan PAS Kelantan dan Terengganu, menjadikan negeri itu lebih awal berlaku pembentukan kerajaannya.

Namun, Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhamad Khalil Abdul Hadi turut merakamkan ucapan tahniah kepada Kerajaan Persekutuan yang baharu ditubuhkan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 ini.

Katanya, ucapan tahniah juga kepada kerajaan negeri lain yang selesai majlis angkat sumpah serta pelantikan Menteri Besar masing-masing.

"Alhamdulillah, negeri pertama yang selesai menubuhkan kerajaan baharu selepas PRU14 ini, Kelantan dan negeri pertama yang membentuk kabinetnya Terengganu dan Kelantan.

"Ini menunjukkan kestabilan politik kerajaan di negeri yang kita (PAS) kuasai," ujarnya dalam satu Sidang Media Pemuda PAS Malaysia di Pejabat Kesatuan Ulamak Islam Sedunia (KUIS) di Masjid Rusila, di sini tadi.

Menurutnya, pada PRU14 lalu PAS mendapat undi popular seluruh negara yang jauh lebih banyak dari sebelum ini. Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Buruk, mahukan kerajaan pusat pimpinan Pakatan Harapan (PH) menghormati Perlembagaan Negara.

"Kita (PAS) mahu Pakatan Harapan (PH) yang mengambil-alih tampuk pemerintahan negara ini menghormati Perlembagaan Negara, yang meletakkan Islam sebagai agama (rasmi) negara. Raja-raja, hak-hak (keistimewaan) orang Melayu, bahasa Melayu, dalam masa yang sama menghormati bangsa dan kaum lain. 
"Kita mahu asas dalam Perlembagaan itu ialah semangat federalisma mestilah ditunai dan tidak diulang kesilapan lalu dibuat oleh Umno-Barisan Nasional dahulu," tegasnya.

Dalam konteks ini, kata Muhammad Khalil, Pemuda PAS juga akan memantau janji-janji manifesto pilihan raya Pakatan Harapan. Antaranya jelas beliau, hubungan Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri dalam isu mendapatkan hak royalti petroleum di Kelantan dan Terengganu.

"Dalam konteks ini, isu royalti (petroleum) bagi Kelantan dan Terengganu merupakan negeri yang mempunyai petroleum dan mestilah dihormati dengan apa yang ditetapkan dalam Perlembagaan Negara. 
"Kerajaan Terengganu khususnya menuntut hak royalti yang ditarik balik ketika PAS memerintah Terengganu (1999-2004) oleh kerajaan Umno-BN," jelasnya yang ditemani Timbalan Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin. -HARAKAHDAILY 13/5/2018


No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails