Friday, May 18, 2018

Kerajaan PH Tamatkan 17,000 Lantikan Politik BN




PUTRAJAYA – Kerajaan Pakatan Harapan hari ini mengumumkan bahawa seramai 17,000 penjawat awam dari lantikan politik kerajaan terdahulu akan ditamatkan kontrak.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata bahawa terlalu banyak pegawai kontrak dilantik secara politik pada pemerintahan kerajaan lalu.
Jelasnya, tindakan tersebut merupakan salah satu strategi untuk mengurangkan perbelanjaan kerajaan yang merupakan salah satu masalah yang perlu diselesaikan.
Bagaimanapun, penamatan itu juga dilihat sebagai satu tindakan balas dendam sekiranya dilaksanakan secara tergesa-gesa dan tanpa proses yang betul.
“Kami mendapati, seramai 17,000 pegawai dan kakitangan awam berstatus kontrak dilantik dan ada antara mereka sudah tamat kontrak, dan akan ditamatkan kontrak.
“Terlalu banyak pegawai kontrak dilantik sama ada untuk keperluan politik dan keperluan pentadbiran,” katanya dalam satu sidang media, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Mahathir berkata, kerajaan akan mengkaji kedudukan penjawat-penjawat awam terbabit yang bergaji rendah dan bersifat sokongan seperti pemandu yang tidak akan ditamatkan kerja.
“Ada antara mereka ini bergaji rendah dan ini menyusahkan mereka jika tiba-tiba mereka diberhentikan dan ditamatkan kerja sekali gus tiada bayaran gaji.
“Kita tidak perlu (menamatkan kerja mereka) dan oleh itu, kita akan beri jawatan lain yang sesuai dengan kelayakan mereka,” ujarnya.
Tambahnya, proses itu akan mengambil masa dan pihaknya akan cuba mencari penyelesaian berhubung penukaran tanggungjawab itu  secepat mungkin.
Sebelum ini, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memberitahu bahawa mereka tidak menerima sebarang aduan mengenai dakwaan kontrak penjawat awam ditamatkan perkhidmatan.
Ujar Presidennya, Datuk Azih Muda, pihaknya tidak menerima sebarang aduan sama ada secara lisan atau bertulis dan enggan membuat spekulasi tentang kesahihan dakwaan tersebut.
Namun begitu, beliau tidak menafikan bahawa mereka yang dilantik atas kapasiti politik, ditamatkan perkhidmatan oleh kerana individu yang melantik mereka sudah tidak lagi berkuasa.
Katanya, perkara itu merupakan situasi biasa jika ditamatkan tugasan kerana kerajaan baharu pasti mempunyai penasihat dan petugas mereka sendiri.
Isu berkenaan penamatan kontrak penjawat awam mula timbul susulan peralihan kuasa daripada kerajaan Barisan Nasional kepada Pakatan Harapan pada Pilihanraya Umum ke-14 yang lalu. – MYNEWSHUB.CC/EZ

2 comments:

Abu Naim said...

Ya Allah permudahkanlah urusan mereka. Semoga pm bersikap adil dan kasih sayang sesama muslim lbh dr org kafir yg lain dan.memerintah nagara lbh baik dr seblimnya dari sudut ukhrawi dan duniawi

Anonymous said...

Itu belum lagi lantikan politik di glc. Haii macam2 dunia...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails