Monday, May 14, 2018

Dunia Politik Baru M'sia. PAS dan PH.




MUKADDIMAH
Tarikh 9 Mei 2018 akan dikenang sebagai permulaan politik baru di negara kita. Bukan saja BN telah tumbang di kebanyakan negeri, bahkan BN tumbang di peringkat Kerajaan Pusat.
Sesuatu yang tidak mampu dilakukan oleh banyak parti sebelum ini. Dan tidak juga berjaya dilakukan oleh beberapa pakatan politik terdahulu seperti Angkatan Perpaduan Ummah (APU), Barisan Alternatif (BA) dan Pakatan Rakyat (PR).
BN akhirnya tumbang di peringkat Pusat di tangan Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin Tun Mahathir Mohamed. Amarah rakyat kepada BN dan DS Najib ibarat rempuhan Tsunami besar yang meranapkan BN di seluruh pelusuk negara.
Tanpa ragu lagi, arus perdana politik Malaysia baru akan bertunjangkan kepada PH. BN pula sudah mula kehilangan pengaruhnya lebih cepat daripada yang disangka. Sementara PAS pula kekal mempertahankan prinsip perjuangannya, tetapi akan lebih mempelbagaikan pendekatannya.
PAS adalah sebahagian 'Tsunami' di Kelantan dan Terengganu  
Ramai yang hairan kenapa PAS tidak turut dihanyutkan oleh Tsunami itu di Kelantan dan Terengganu. Sebabnya ialah PAS adalah sebahagian daripada Tsunami yang meranapkan BN di dua negeri itu.
Bagaimana?
Pengundi di dua negeri ini sangat mengenali PAS, justeru mereka tidak mempercayai serangan propaganda PH pada sepanjang PRU14 "Mengundi PAS = Mengundi BN". Mereka kenal PAS bukanlah BN. Mereka kenal PAS istiqamah menentang BN dan segala kebejatannya. Lantaran itu, PAS menerima undi yang sangat besar daripada para pengundi di kedua-dua negeri itu.
Politik baru yang berpaksikan kepada kesejahteraan rakyat 
Semasa PRU14 sedang berlangsung, PH, PAS dan BN mengemukakan manifesto masing-masing sebagai janji yang akan dilaksanakan jika diberi amanah memerintah.
Manifesto BN awal-awal lagi ditolak oleh rakyat. Sebabnya BN dan DS Najib tidak lagi dipercayai oleh rakyat. Terlalu banyak janji BN yang dicapati sebelum ini. Tiada juga janji menghapuskan GST yang menggusarkan semua pihak.
PH dan PAS pula menawarkan manifesto yang hampir seiring daripada aspek pembinaan negara yang lebih berintegriti, bebas rasuah dan berpaksikan kepada kesejahteraan rakyat. Kedua-duanya mahu membaiki kerosakan teruk yang dialami oleh negara hasil daripada pentadbiran BN dan DS Najib.
Yang membezakannya ialah pilih PH atau pilih PAS untuk melaksanakan matlamat tersebut berdasarkan pendekatan masing-masing. Dan rakyat telah pun memilih.
Memberikan peluang kepada Kerajaan Pusat yang baru 
Menjatuhkan BN adalah matlamat bersama PH, PAS dan seluruh rakyat yang tertekan di bawah pentadbiran BN. PH berjaya menjatuhkan BN di peringkat Pusat dan kebanyakan negeri. PAS juga menjatuhkan BN di Terengganu dan menghalang kemaraan BN di Kelantan.
Oleh itu kejatuhan BN, patut diraikan dan disyukuri oleh semua pihak. Lantaran itu, kita sewajarnya memberikan peluang kepada Kerajaan Pusat yang baru untuk merangka dasar dan pendekatan baru yang akan menggantikan yang lama. Banyak lagi yang dilihat tidak selesai dan kabur pada peringkat ini. Tetapi keadaan ini adalah biasa bagi mana-mana kerajaan yang baru mengambil alih kuasa.
Bagi PAS, jika PH menunaikan janji-janjinya antaranya untuk menghormati perlembagaan, memastikan kedaulatan undang-undang, menghormati Konsep Federalisme yang adil kepada negeri-negeri dan memberikan 20 peratus royalti kepada negeri pengeluar minyak, semua itu akan memberikan satu lonjakan besar kepada kemakmuran demokrasi di negara kita dan kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya.
Bentuk hubungan kerajaan-kerajaan negeri bukan PH dengan Kerajaan Pusat yang baru diharapkan akan jauh berbeza dengan bentuk hubungan yang ada semasa kerajaan BN. Di mana ketika itu, kerajaan-kerajaan negeri dianak tirikan dan dinafikan pelbagai hak oleh Kerajaan Persekutuan dengan sewenang-wenangnya.
Tentulah PH tidak mahu meneruskan dasar BN yang tidak menghormati hak demokrasi rakyat di negeri-negeri terbabit sehingga sanggup mengkhianati prinsip hubungan Federalisme dan negeri-negeri yang digariskan oleh Perlembagaan.
Perdana Menteri ke-7 menenangkan suasana  
Tun Mahathir telah memberikan garis-garis asas pentadbiran beliau sebaik saja mengangkat sumpah sebagai PM Malaysia ke-7.
Antaranya, kerajaan baru ini tidak akan membalas dendam kepada musuh politiknya, tetapi yang melanggar undang-undang tetap akan diadili. Kerajaan baru juga akan menunaikan janji-janji di dalam manifesto mereka. Pengampunan Diraja untuk DS Anwar akan diuruskan segera dan DS Anwar akan menggantikan beliau setelah Tun Mahathir berjaya menyelesaikan beberapa perkara yang perlu.
Tun Mahathir juga memberikan jaminan kepada para pelabur untuk melabur di Malaysia. Kerajaan baru adalah mesra pelabur, sekalipun akan menjejaki duit 1MDB di Malaysia dan seluruh dunia.
Tentang pembentukan Kabinet pula, beliau akan berbincang dengan semua Presiden komponen PH.
Itu adalah ucapan yang patut dipuji. Terutamanya ketika penyokong PH sedang dalam keadaan sangat gembira, penyokong BN dalam keadaan yang sangat sedih dan terkapai-kapai, pegawai-pegawai kerajaan yang tertanya-tanya dan sebahagian rakyat yang masih tidak memahami apa yang telah berlaku.
Penyokong PAS pula gembira kerana PAS memenangi dua negeri, sekalipun sedih dengan kehilangan banyak kerusi di pantai Barat. Mereka juga tertanya-tanya tentang model Kerajaan Persekutuan yang baru, sekalipun PAS sudah biasa menjadi pembangkang di peringkat nasional.
Ucapan PM ke-7 itu menjawab beberapa persoalan paling asas bagi episod baru dunia politik negara.
Ketiadaan BN
Ketiadaan BN di Pusat adalah satu keadaan yang agak mengelirukan kepada kebanyakan rakyat. Mereka telah dibiasakan dengan politik BN yang akan menyusahkan mereka, jika mereka dilihat tidak bersetuju dengan kerajaan.
Ketiadaan BN bermakna pegawai kerajaan yang kuat BN di Jabatan-jabatan Kerajaan Peringkat Negeri dan Pusat sudah tiada lagi 'kuasa' untuk berbuat sesuka hati kepada penjawat awam yang tidak menyokong BN. Mereka tiada lagi 'kuasa' untuk menukarkan, menurunkan jawatan dan mengugut pegawai bawahan sesuka hati mereka kerana mereka adalah BN. Kebebasan bersuara dan menyampaikan pendapat tidak lagi dianggap 'jenayah' seperti era BN.
Bahkan, nasib pegawai-pegawai yang kuat BN dan menganiayai orang lain dalam perhatian kerajaan yang baru. Begitulah bulatnya dunia ini. Seperti kata pepatah "Bertemulah Rabu dengan Khamis" atau "Bertemu buku dengan ruas" dalam PRU baru-baru ini.
Ini adalah seribu rahmat kepada penjawat awam. Ya-lah, sekurang-kurangnya sehingga sebelum munculnya pengampu baru PH dalam pentadbiran baru. Dan akan sentiasa ada orang sebegitu. Namun kita tetap berharap, tidak berlaku seperti itu lagi. Kerana penjawat awam tidak boleh lagi diperkotak-katikkan oleh pihak berkuasa seperti itu. Jika tidak, '9 Mei 2018' akan muncul lagi.
Di peringkat Negeri Terengganu dan Kelantan pula, BN negeri tiada lagi 'tongkat sakti' daripada Kerajaan Pusat bagi membantu mereka memulihkan kekuatan dan mendapatkan pengaruh rakyat dengan cara 'merompak' hak demokrasi rakyat dengan menyalurkan peruntukan Pusat bukan melalui kerajaan-kerajaan negeri.
Penutup
Politiking yang melampaui sehingga mengorbankan semangat demokrasi, menyanggah perlembagaan dan menggadaikan kesejahteraan rakyat adalah politik era lama. Politik era baru diharapkan akan lebih matang dan sejahtera.
PAS dan PH masih ada beberapa isu yang tidak disepakati bersama, tetapi biarlah isu-isu yang disepakati bersama dapat direalisasikan tanpa bergantung kepada penyelesaian semua isu secara sekali gus. Ia wajar dilakukan demi kesejahteraan rakyat dan negara keseluruhannya.
Isu-isu berkaitan Enakmen Islam dan pemerkasaan Undang-undang Syariah di negeri-negeri adalah antara isu yang tidak disepakati bersama oleh PAS dan PH.
PH sendiri juga masih mempunyai beberapa isu yang tidak disepakati bersama antara komponen-komponennya. Pergolakan dalaman sedikit sebanyak di dalam PH mungkin akan ada.
Umumnya, PAS akan kekal sebagai pembangkang yang menjalankan tanggungjawab semak dan imbang di peringkat nasional. Namun begitu, bentuk hubungan dengan Kerajaan Persekutuan yang baru juga akan diusahakan dengan sebaik-baiknya oleh PAS demi kebaikan Islam, rakyat dan negara. Selamat datang ke dunia baru politik Malaysia.
ZAKARIA ISMAIL 

AJK PAS Kawasan Marang
13 Mei 2018 - HARAKAHDAILY 13/5/2018

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails