Wednesday, May 16, 2018

CabaranBesar PH P/Pinang, Memenuhi 68 Janji Manifesto.

Barisan Exco kerajaan negeri Pulau Pinang yang baharu.
Barisan Exco kerajaan negeri Pulau Pinang yang baharu.


PULAU PINANG – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang berdepan cabaran besar dalam memenuhi sebanyak 68 janji yang dibuat kepada rakyat pada PRU-14 lalu.
Bagaimanapun, Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri yakin dapat merealisasikannya berdasarkan barisan Exco baharu yang dibentuk hari ini.
Menurut beliau, barisan 11 Exco termasuk beliau itu merupakan individu adalah seimbang dengan lima daripadanya merupakan Exco daripada kerajaan negeri terdahulu manakala lima lagi ialah muka baharu.
“Saya amat berharap barisan Exco kerajaan negeri yang dibentuk selepas mendapat sokongan kuat rakyat akan melihat pelantikan ini sebagai peluang yang dikurniakan rakyat untuk memenuhi aspirasi mereka.
“Saya percaya prestasi yang telah dicapai sepanjang 10 tahun pemerintahan Pakatan Harapan di negeri ini telah menyediakan landasan kukuh untuk kita mara ke hadapan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu awal pagi ini, seramai 10 Exco mengangkat sumpah jawatan masing-masing di hadapan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas di Dewan Sri Pinang, di sini.
Dalam pada itu, ditanya mengenai ketiadaan wakil pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Amanah Negara (Amanah) dalam barisan Exco baharu, Kon Yeow berkata, keputusan mengekalkan status quo itu adalah berdasarkan persetujuan bersama semua parti komponen Pakatan Harapan negeri.
Ujar beliau, keputusan itu juga dibuat bagi memastikan kerajaan negeri mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Ini juga adalah persefahaman antara kita (parti komponen Pakatan Harapan) dan tumpuan kita ketika ini adalah bergerak ke hadapan dalam melaksanakan janji yang dibuat kepada rakyat,” katanya.
Pada PRU-14, Pakatan Harapan Pulau Pinang memenangi sebanyak 37 kerusi daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan 19 kerusi dimenangi DAP; PKR (14) dan masing-masing dua oleh PPBM dan PAN.
Senarai Exco Kerajaan Pakatan Harapan P. Pinang:
  1. Chow Kon Yeow – Ketua Menteri dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Tanah dan Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Penerangan.
  2. Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman – Timbalan Ketua Menteri I dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Pembangunan Industri dan Perhubungan Masyarakat.
  3. Prof. Dr. P. Ramasamy – Timbalan Ketua Menteri II dan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi Negeri, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi.
  4. Chong Eng – Pengerusi Jawatankuasa Wanita dan Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam.
  5. Jagdeep Singh Deo – Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar dan Desa.
  6. Phee Boon Poh – Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar.
  7. Dr. Afif Bahardin – Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar.
  8. Zairil Khir Johari – Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir.
  9. Datuk Abdul Halim Hussain – Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Antarabangsa, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan.
  10. Yeoh Soon Hin – Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan, Warisan, Kebudayaan dan Kesenian.
  11. Soon Lip Chee – Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan. (MG)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails